Monday 21 November 2011

Garuda Patah Sayap Dan Paruhnya

Malaysia membenamkan Indonesia akhirnya, menundukkan lawan 4-3 melalui sepakan penalti setelah terikat 1-1, Temasya Sukan Sea XXVI 2011 mencatat sejarah tersendiri kepada skuad bawah 23 negara kita, selain berjaya mengekalkan pencapaian pingat emas di Laos dua tahun lalu, kemenangan mereka semalam memberi kenangan manis yang tak ternilai kepada diri mereka sendiri dan seluruh rakyat Malaysia khususnya penyokong setia Harimau Muda. Banyak yang kita dapat pelajari daripada kejayaan ini. Ia mengajar kita untuk terus berani demi mencapai kecemerlangan.

Saya sendiri bukanlah seorang yang 'gila bola' sebenarnya, tapi sebolehnya taknak ketinggalan menonton perlawanan penting yang membabitkan pasukan negara. Permainan mereka dalam Piala Suzuki adalah yang terakhir saya amati sebelum perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno malam tadi. Kepada saya permainan bola sepak punya pemahamannya yang tersendiri, ia aplikasi dalam hidup, menontonnya memperlihatkan kepada kita tentang banyak prinsip hidup seperti keberanian, strategik, kelicikan malah tipu helah demi mencapai matlamat. Saya fikir untuk menjadi perancang yang baik salah satu caranya adalah dengan melibatkan diri dengan permainan ini.

Harimau Muda malam tadi diasak seawalnya sehingga Garuda menjaringkan gol pada minit kelima, sebelum itu mereka dicabar dengan dua cubaan berbahaya. Minit pertama menyaksikan pasukan kebangsaan kita membuat serangan balas untuk mendapatkan gol penyamaan dan sebagaimana semua tahu ia kekal hingga tamat separuh masa pertama. Separuh masa kedua kedua - dua pasukan memburu gol tambahan yang memungkinkan kemenangan tetapi ternyata perlawanan terheret ke masa tambahan dan akhirnya penalti menjadi penentu kepada segalanya.

Saya pasti banyak pengorbanan yang diberikan oleh pasukan ini untuk memastikan kita tidak dimalukan. Jurulatih, pemain, tenaga kerja juga kementerian dan menteri yang menjaganya amat wajar diberi penghormatan terhadap kejayaan ini. Ia bukan sekadar kerana kita menang tetapi adalah ke atas segala ketabahan dan kegigihan yang mereka pamerkan selama ini. Pasukan kita difahamkan menghadapi segala bentuk perang psikologi yang amat menekan seperti jadual perlawanan yang ditunda saat akhir, lokasi latihan yang jauh dan dalam masa yang tak munasabah, kutukan dan ejekan juga ancaman dan tindakan agresif yang berselindung di sebalik teknikal dan seumpamanya. Bahkan kerusi pentas utama pun katanya dihadkan, semacam Pak Menteri kita sendirian di atas sana.

Ternyata Ong Kim Swee dan anak buahnya tidak tertewas dalam mengahadapinya., Semasa permainan seolah tidak ada apa yang menggangu mereka walaupun dilingkungi sorakan provokasi hampir 100000 orang penyokong lawan. Mereka terus fokus memecah kebuntuan menggunakan seluruh kudrat yang ada menghabiskan perlawanan. Khabarnya mereka pulang ke tanah air malam tadi juga dengan pesawat sewa khas yang diluluskan kabinet atas permohonan kementerian terlibat. 1000 orang penyokong dianggarkan menyambut ketibaan mereka dari Jakarta di LCCT, Sepang pada 7.30 pagi tadi. Esok mereka akan bertarung lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Syria dalam perlawanan kelayakan olimpik. Diharapkan mereka mendapat rehat yang cukup walaupun diakui sukar untuk kembali cergas dalam jangka masa sependek ini. Saya mengucapkan tahniah kepada saudara semua dan mengharapkan walauapapuan habuan yang diberi selepas ini walau sebanyak mana pun ia diharap tidak melunturkan keikhlasan kita berjuang demi mengahrumkan nama negara. Demi memastikan kita dihormati atas pencapaian kita sendiri, siapa sangka hari ini nkitalah pasukan yang terkuat di seluruh rantau. Memang ada yang mengatakan kekuatan kedua pasukan seimbang tetapi melihatkan daripada faktor Indonesia selaku tuan rumah dan penganjur utama temasya dan sikap fanatik penyokong lawan sehingga pemain kita terpaksa naik Barracuda tiap kali ke stadium maka tiada apa yang dapat menafikan gelaran pasukan terkuat di rantau ini.

kita berjaya mematahkan kedua - dua saya garuda malahan paruhnya. Indonesia mungkin menjuarai keseluruhan temasya dengan pencapaian 170 emas sehingga tengah malam tadi tetapi teRlepas ibu segala pingat dalam perlawanan malam tadi di tempat sendiri di hadapan ratusan ribu rakyatnya adalah amat memalukan dan mengundang sejuta kedukaan. Kemenangan mereka pada 1991 melengkapkan episod malang Sang Garuda untuk dua dekad lamanya.

Perlawanan malam tadi banyak memberi pengajaran, melihat daripada sudut semangat kita adalah serumpun, perlawanan ini diharap dapat memperkukuh hubungan diplomatik di antara kedua buah negara islam ini. Nilai yang dibawa setiap pemain kita pula saya jangka berjaya mempamerkan keunikan sebuah negara bermasyarakat majmuk seperti kita yang dinaungi di bawah satu bendera. Tekad dan kesungguhan pemain muda seperti Kapten Badrol Bakhtiar yang begitu licik memintas lawan, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang sentiasa ada di saat memerlukan dan tidak pernah mengecewakan dibantu rakan sepasukan mereka saya yakin mampu membenih dan menyuburkan bakat - bakat muda sukan bola sepak dalam negara kita di semua peringkat. Walaubagaimanapun ada juga perkara yang saya dukacita melihatnya seperti sikap penonton lawan yang langsung tidak berdiri dan menunjukkan rasa hormat apabila lagu Negaraku dimainkan pada awalnya. Akhirnya lagu itu berkumandang tanda kemenangan dan mereka masih begitu. Mungkin kenyataan Timbalan Menteri Belia bahawa tindakan pemimpin tertentu  yang sering memburukkan negara sendiri di sana membawa kepada manifestasi ini. Kepada saya nak berpolitik sehingga ke tahap mana sekalipun tidak menjadi masalah tetapi janganlah sehingga mencaci maki negara sendiri demi keuntungan politik luar. Pemimpin seumpama ini ialah pemimpin yang sudah tidak punya harga diri, lebih hina daripada seorang pelacur. Kepada tuan rumah walaupun anda mempunyai banyak kelebihan tetapi janganlah bersifat membuli hinggakan ada laporan tidak sahih mengatakan ada pemain kita yang mengalami gangguan kesihatan kerana makanan dan seumpamanya. Sukan adalah bidang yang profesional dan penganjuran yang profesional, penonton yang profesional adalah sebahagian daripada tuntutannya. Tidak menghormati negara lain adalah cerminan kepada taraf kehormatan diri sendiri. Mujur pemain daripada kedua pasukan baik Malaysia mahupun Indonesia menunjukkan tahap profesionalisme yang amat tinggi, mereka bermain dengan penuh maruah dan semangat kesukanan sebenar. Pihak pasukan pengadil juga harus dipuji, dilihat tidak terlalu banyak kerja kerana kebijakannya mengawal permainan. Mereka semua mengajar kita erti profesional tetapi tidak kepada hampir semua penyokong lawan.

Semoga dengan pelbagai rintangan yang dihadapi dan kejayaan yang dikecapi memberi tambahan suntikan semangat yang lebih membara kepada pasukan kita semasa melawan Syria esok. Jangkanya pemain yang tidak diturunkan di Jakarta akan bermain esok, sudah tentu Malaysia akan melihat dan memberi sepenuh sokongan kepada kalian. Kita berjaya membuatkan Laskar Garuda menangis di bumi sendiri, tidak mustahil Syria akan menangis juga nanti. Terima kasih kepada semua kerana menghadiahkan kepada kami rakyat Malaysia kejayaan ini. Markah cemerlang untuk Pak Menteri dan kementeriannya, juga kepada warga kerja majlis sukan yang bertanggungjawab daripada awal hingga ke akhir. Laluan kita masih panjang dan kawan dan lawan sentiasa menantikan kita. Tahniah kepada pimpinan negara dan orang politik kita yang meminati bola sepak dan sentiasa menyokong usaha memperkasakannya. Kalau tak pandai bermain bola sepak pun tidak mengapa asalkan pandai menyokong dan menguruskannya, janganlah sampai tak ambil tahu langsung!. Bola sepak selaku sukan kegemaran antarabangsa turut banyak mempunyai elemen kepimpinan yang mulia yang wajar dicontohi orang politik tetapi bukan semua kerana seperti amalan jatuh menjatuh, berpura - pura dan gelojoh dek ketamakan mendapat laba dan seumpanya pula harus dielakkan.

FARIHIN : Kena halau, itulah nasib yang diterima sekumpulan petugas yang tergesa - gesa ingin mengambil sampel air kencing pemain kita di saat pemain kita masih meraikan kemenangan, macamlah tak ada masa lain.

ORANG JAHAT AKAN MENANG KALAU ORANG BAIK BERDIAM DIRI


Muhammad Farihin Hassan
22 November 2011

Monday 7 November 2011

Sajak : Dengan Tangan Ini


DENGAN TANGAN INI

Dengan tangan ini
Aku berjalan mendaki perjalanan hidup
Selangkah demi selangkah setapak
Demi setapak berteman wajah sejarah

Dengan tangan ini
Aku berteman dan bersunyi
Belajar tentang semangat dan cinta
Belajar tentang juang dan bersabar

Dengan tangan ini
Aku melakar segalanya mungkin jua
Yang mendidikku hari ini, semalam dan esok
Kiblat bagaimana, ke mana arah mana dalam sajak

Dengan tangan ini
Aku tak ternanti sajak apa diberi
Bahkan bagaimana aku menulisnya dan kisah terlukis
Hari muka dengan pelbagai warna seakan
Mendekat dengan saat akhir di jemari

Dengan tangan ini
Ironinya, aku berdusta dan aku membenar
Menganyam luhur budi mencanai ceritera dengan
Tapak tangan dan buku lima dan menggamit coretan ukiran lalu
Yang zalim, yang kejam dan celaka oleh Si Bangsat

Dengan tangan ini
Ramai yang teralpa terbuai dalam mimpi
Tentang misteri hidup dan sebesar anugerah
Yang cuma bisa dibaca dan dicoba dalam novel yang
Menulis senja kala mendung petang awan malam dinihari

Dengan tangan ini
Sedangkan aku mengungkit takbir
Menghalakannya ke arah rumah hitam dan menghalalkan
darah membiarkan Sang Pemberi menentukan semua dengan sepasang tanganNya


“ Orang jahat akan menang kalau orang baik berdiam diri ”


Muhammad Farihin Hassan

Sempena Hari Raya Korban 2011 / 7 NOVEMBER 2011 /  11 ZULHIJJAH 1432H