Tuesday 11 October 2011

MENJELANG BAJET 2012


Menjelang Bajet 2012
                Beberapa hari sebelum Bajet 2012 dibentangkan di Parlimen, saya menulis dalam FB tentangnya, saya kaitkan dengan tingkah laku pembangkang yang terlalu banyak berpolitik menyebabkan segala keputusan kerajaan turut berbaur politik. Apabila kerajaan membuat sesuatu keputusan di atas faktor politik semata – mata saya katakan bahawa ia menyebabkan proses memajukan Negara menjadi semakin lembab.
                Saya katakan demikian di saat tahun 2020 mendekati kita (atau sebaliknya) seharusnya kerajaan tidak boleh terlalu berpolititk dalam setiap keputusannya di dalam perkara apa sekalipun. Saya memberi kefahaman bahawa jika hanya faktor politik menjadi rujukan sesebuah kerajaan dalam membangunkan Negara, dalam menggubal undang – undang, memperkasa pendidikan, memperkukuh ekonomi, menambah kemudahan kesihatan rakyat, prasarana pengangkutan awam, menjalin hubungan antarabangsa maka segalanya akan merencatkan usaha memajukan Negara.
Menjadikan Negara ini sebuah Negara membangun kepada sebuah Negara maju adalah perjuangan semua rakyat selama ini. Kerajaan bersalah seandainya lembab bertindak, kelihatan dangkal dalam mentadibir dek kerana terlalu terikut rentak pembangkang di Malaysia yang berpolitik sepanjang tahun, sebelum dan sesudah pilihanraya.
Saya salahkan pembangkang Malaysia kalau kita masih tidak mendapat status Negara maju pada 2020 kerana sememangnya mereka yang bersalah. Masakan tidak, kerana merekalah kerajaan Malaysia hari ini menjadi terlalu berhati – hati. Saudara bayangkanlah, kerajaan terpaksa menyusun kata, mengatur langkah berjengket – jengket dan sentiasa beralah dalam menangani apa jua isu hanya kerana takut hilang undi.
Dan kita sama sekali tidak boleh menyalahkan kerajaan lembab ini kerana kalau kerajaan tak menari ikut gendang yang dipalu pembangkang maka kerajaan akan hilang sokongan hilang undi dan kepercayaan daripada rakyat yang sememangnya akan berkehendakkan apa sahaja yang menguntungkan mereka apatah lagi keuntungan itu bersifat segera dan kekal. Rakyat akan melenting apatah lagi jika diapi – apikan oleh pembangkang.
Jika kerajaan lembab ini bersifat keras dan tegang, dilihat tidak fleksibel dan banyak memilih tindakan yang tidak populis maka tunggulah balasan dan akibatnya kerana rakyat akan dihasut untuk bangkit melawan. Kerajaan akan ditohmah zalim, tak pandai memerintah, tak fikir nasib rakyat dan bermacam lagi. Rakyat akan disampuk hantu pembangkang dan meracau ke sana ke mari. Hantu pembangkang akan menjelma sebagai superhero supaya rakyat beraksi wah !. Rakyat bagai dirasuk masalah paranormal dan mula menyimpan tekad menjatuhkan kerajaan.



Ya itulah yang saya tegaskan bahawa dosa besar pembangkang Malaysia adalah apabila perjuangan utamanya adalah untuk menjatuhkan kerajaan, untuk menjadikan pemimpin utamanya perdana menteri ketujuh Malaysia dan memerintah Malaysia. Mereka langsung tidak berjuang untuk menjadi pengimbang dalam kerajaan itu sendiri supaya dengannya nasib rakyat akan terbela kerana kerajaan tidak boleh berbuat sesuka hati dengan adanya pembangkang yang memeriksa dan menimbang setiap tindakan kerajaan.
Pembangkang kita dungu sebab tidak faham bahawa mereka juga adalah kerajaan sebenarnya yang rakyat wakilkan untuk menjaga kepentingan mereka (rakyat). Sebab itu tidak seperti di Negara maju dan membangun lain, pembangkang kita berpolitik 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 365 hari setahun. Apa sahaja isu dipolitikkan, jabatan kerajaan dipolitikkan, sekolah dipolitikkan, aset Negara, polis,tentera bahkan YDP Agong pun pembangkang heret untuk dipolitikkan. Hal politik dah tentu dipolitikkan malahan kalimah Allah, hukum islam dan agama suci itu pun dipolitikkan. Lebih jijik video aksi lucah, gambar mengghairahkan pun pembangkang Malaysia politikkan dan paling menjijikkan hal orang mati pun mereka politikkan sampai terpaksa gali semula kubur!.
Mereka politikkan segalanya dan kerajaan Malaysia pun kalau kerajaan ini baik sekalipun, ia menjadi lembab kerana terpaksa sibuk menepis dan menangkis setiap satu daripadanya. Pabila sampai masa sesuatu keputusan Negara perlu dibuat, kerajaan terpaksalah kaji dan ambil kira semua faktor ini disebabkan tidak mahu menjejaskan undi rakyat kepada mereka. Sebab itu dalam usaha memajukan Negara, kerajaan jadi lembab kerana kelemahan pembangkang Malaysia yang tidak professional dan tidak tahu fungsi. Saya katakan begini dalam FB menjelang pembentangan bajet lalu sebab saya amat gusar dan risau kerajaan akan membentangkan Bajet 2012 yang macam saya katakan di atas bahawa menifestasi segalanya adalah berbaur politik.
Saya risau kerajaan tidak bentang bajet yang  boleh beri impak sepatutnya iaitu yang seperti di bawah :
1.       Tidak mampu membawa kita terus ke hadapan iaitu ke arah sebuah Negara membangun yang pesat membangun dan maju.
2.       Bajet yang tidak menjana lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan strategik.
3.       Tidak menumbuhkan sebanyaknya peluang ekonomi,perniagaan dan perkhidmatan di kota dan desa.
4.       Tidak boleh meningkatkan pendapatan rakyat terutama melayu di pedalaman, kampung – kampung dan hulu sungai.
5.       Selepas Bajet 2012 pendapatan mereka (orang kampung terutamanya melayu) masih tetap sekitar RM20 sehari walaupun bekerja selama hampir 12 jam walhal pendatang asing yang bekerja sebagai buruh binaan pun boleh dapat RM40 – RM60 sehari.
6.       Selepas bajet masih ada lagi rakyat terutama orang melayu yang tak mampu berbelanja di pasar basah atau pasaraya walaupun seminggu sekali dengan sekali perbelanjaan sekurangnya RM150 – RM200 kerana pendapatan mereka tak sampai RM100 dalam seminggu.
7.       Masih ada lagi pengusaha industri kecil sederhana yang berhadapan masalah pemasaran, perlabelan dan status halal sedangkan merekalah orang kampung miskin,ibu tunggal anak ramai dan keluarga miskin tegar yang berazam untuk mengubah hidup dengan meniagakan barangan dan makanan orang kampung.
8.       Bajet ini juga dibimbangi gagal menarik seramai mungkin pelabur dan pelancong asing.
9.       Juga bajet yang gagal membebaskan belenggu nelayan dan petani yang hidup miskin tidak berkenderaan dan berumah yang selesa sedangkan mereka bekerja siang dan malam berpanas berhujan tetapi apabila mereka naik ke pantai dengan membawa hasil tangkapan, gaji mereka sehari ditentukan oleh peraih. Manakala Si Pak Tani itu tadi membawa sejumlah hasil taninya tetapi gajinya juga ditentukan oleh peraih dari kota iaitu tauke – tauke. Kalau peraih kata gaji sehari mereka RM12 – RM15 sehari maka itulah pendapatan mereka dan kalau kita bagi apa kemudahan sekalipun pembajak untuk membaja, baja percuma dan benih subsidi sekalipun. Nasib mereka tetap sama iaitu kemiskinan.
10.   Bajet yang lemah juga akan membantu pertambahan miskin Bandar dan desa yang menimbulkan masalah kerana kesempitan hidup dan akhirnya memilih cara salah iaitu jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup.
11.   Juga bimbang bajet ini tidak mampu menjana pelaburan domestik di mana kepada saya pelabur tempatan yang takut dan tidak mahu melabur di Negara kita adalah musuh kita dalam ekonomi Malaysia baru menuju 2020 (termasuklah yang berstatus usahawan yang kalau rugi kerajaan bantu kerana syarikatnya berstatus tertentu, kalau untung pergi melancong).

Dan banyak lagi yang saya sebutkan di mana di sini sekadar menyebut beberapa fakta sahaja. Memanglah ramai yang akan katakana insyaAllah akan baik segalanya, kerajaan akan buat terbaik dan sebagainya dan paling dangkal apabila ada yang mempertikaikan kegusaran saya dengan menyatakan fakta daripada akhbar pro kerajaan bahawa Malaysia akan menjadi Negara maju dan berada dalam posisinya.
Masalahnya saudara pembaca, bukannya itu yang saya utarakan. Bukannya Negara maju yang ada bangunan besar, jalanraya luas, pasaraya hebat dan pelbagai mercu tanda yang saya maksudkan. Semua itu dah diwujudkan kerajaan sejak zaman Tun M lagi. Pada zamannya segala bentuk projek mega dibina dan digerakkan demi melihat aliran ekonomi pesat mengalir walaupun seringkali orang kampung mendapat lelehan dan tempiasnya sahaja, masakan tidak kalau yang meratakan hutan orang asing, pekerja pembinaan orang asing, yang kerja kilang orang asing, pemilikan hartanah, pelaksana projek semuanya orang asing manakala orang melayu jual burger sebelah seven e sahaja, itupun malas sebahagiannya. Orang melayu lagi suka kerja kampung gaji RM20 daripada panjat bangunan tinggi dapat RM50 sehari sebagai buruh binaan.
Pembaca sekalian, saya tidak pasti saya bercakap mewakili kelompok mana. Yang tentunya saya bercakap bagi pihak rakyat terutama orang melayu dan bumiputera di kampung – kampong dan rumah panjang seluruh Negara. Tidak dilupakan nasib peniaga dan pengusaha rakyat berbangsa tionghua yang perniagaan mereka kian terjejas dengan ancaman kenaikan harga dan kehendak yang menurun atau bercelaru. Juga rakyat Malaysia berbangsa india yang tinggal di estet – estet, pinggir Bandar, ladang persendirian dan di rumah teres kos sederhana dan sederhana rendah. Paling diingati, bumiputra sabah Sarawak terutama yang di kejauhan di mana saban hari bergelut dengan masalah infrastruktur jalan perhubungan, bekalan air dan elektrik dan sebagainaya.
Semua ini adalah rakyat yang kerajaan nak bawa ke depan ke tahun 2020. Mereka tidak boleh berwajah begitu lagi pabila wawasan menjelma. Mereka mesti berubah dan kerajaan harus mengubahnya bermula  dengan :
1.       Mengubah cara mereka berfikir.
2.       Memaksa mereka untuk berubah.
3.       Menyatakan dengan tegas kalau mereka tidak berubah mereka akan mati.

Masakan kerajaan sanggup dan mampu berbuat begitu, sebab kalau kerajaan mahu sekalipun, tatkala itu akan muncul hantu pembangkang Malaysia merasuk dan menyampuk. Menyusun rakyat dalam perhimpunan agar membenci kerajaan, mendesak pemimpinnya berundur untuk memberi peluang mereka pula yang berkuasa. Dengan kuku yang tajam dan taring panjang berkilat, mereka akan menjadikan pula Negara ini bangkai untuk dibaham, dimamah perlahan demi perlahan. Ini kerana dasar mereka pastinya rakus dan bagaimana rakyat nak mengetahuinya, lihat sahaja ketika mereka menjadi kerajaan di beberapa negeri dan apabila dah jadi pembangkang yang agak kuat dalam Negara ini pun mereka masih gagal menjadi pembangkang dan kerajaan yang baik.
Kesimpulannya pembangkang mesti jadi kerajaan yang baik baharulah kerajaan akan jadi baik. Pembangkang yang jahat adalah krisis paling besar dalam Negara kita hari ini. Sebagaimana saya sebut di atas bahawa pembangkang juga adalah kerajaan. Perlu sama – sama membawa Negara ini menjadi sebuah Negara maju. Takkanlah kita nak lihat Negara ini mundur dan hancur walau apapun ideologi parti politik kita. Kalau digabungkan segala kekuatan maka akan lenyaplah semua kelemahan. Bayangkanlah kalau kerajaan dan pembangkang bersatu memaksa rakyat mengubah pemikiran untuk terus meningkatkan pendapatan dan menjadikan segalanya yang ada dalam Negara ini mahal termasuk gaji rakyat sendiri. Ia lebih baik daripada asyik bersilat dalam gelanggang yang mempolitikkan segalanya. Untuk itu pertamanya Pembangkang Malaysia harus berubah bermula dengan menukar puncuk pimpinannya yang berkelas 1 bukan yang berkelas 3 macam sekarang ini.
Kerajaan pula nak buat apa berubah kalau masalahnya itu juga. Tapi terpaksa guna kata perubahanlah, transformasilah, islah, reformasi dan seumpanya kerana penggunaan istilah ini juga suatu yang berbaur politik. Kalau PM tak buat macam ni nanti orang kata dah kalah teruk pun masih di takuk lama lagi dan nanti pembangkang juga yang merasuknya sampai ramai rakyat yang meracau – racau. Sedangkan nak buat apa berubah kalau masahnya sama, rakyat miskin, petani miskin, nelayan miskin dan pelbagai lagi. Kerajaan tak perlu slogan perubahan agar dinilai baik kerana apa yang dibuat selama bermula kemerdekaan ke hari ini telah banyak mengubah kita menjadi Negara yang ditindas kepada Negara yang disegani. Tak percaya lihatlah peratus kemiskinan tegar yang kian menurun dan popularity pemimpin Negara kita di peringkat antarabangsa dan betapa kayanya bumi Malaysia ini yang menjanjikan segalanya. Kerajaan menjadikan Negara kita ini madu yang manis dan lazat.
Bagaimanapun ada juga orang kata dalam FB mengatakan saya jangan asyik menyalahkan pembangkang atau mengkambing hitamkan pembangkang. Untuk anda yang berpandangan begitu selepas membaca tulisan saya di blog dan FB saya, hanya satu saya boleh katakan agar anda insaf yang kerajaan lembab tidak boleh memajukan Negara manakala pembangkang juga adalah kerajaan dan kalian semua harus sedar bahawa ….

ORANG JAHAT AKAN MENANG KALAU ORANG BAIK BERDIAM DIRI

Ikhlas daripada saya
Muhammad Farihin Hassan
11.10.11