Tuesday 26 June 2012

SENASKAH CERITA


Beralih mengenangnya sebentar tadi
berhari - hari lalu katakanlah
aduhai sekejap benar ia
bagaikan judulnya baharu dibaca


Subur ingatan ini senaskah buku
yang sarat dengan juang dan perasaan
melimpahi kekentalan, kecekalan
walau mentahnya pengalaman


Tajuk - tajuknya cerita teman - teman
menelan tawa, duka, pendustaan dan segala
kisahnya umpama bab demi bab
dalam buku yang paling aku sayang

Muhammad Farihin Hassan
Bandar Dato' Onn, Johor Bahru
27 Jun 2012 / 7.21 pagi
(kenangan SKFUT 2004 - 2009)


Monday 25 June 2012

TIADA GUNA GELARAN



Sedetik lagi ke musim baharu
sedang aku masih memerhati gerak gerimu
memerhati lama - lama dengan sepasang mataku
yang menikam tajam wajahmu


Hairan benar dengan segala tingkahmu
Tampak dangkal watakmu juga angkuh
langkahmu mula tumpul senimu juga pincang
kezaliman tak terselindung oleh perawakan


Bagaimana hingga disogokkan begini
rakusnya kau melahap mata benda
dalam lemas sorak sorai
ketawa besar sanak kroni memperdaya


Ingatlah aku dalam tiap tawamu
tiap kali kau menghela nafas
aku ada di situ tuk menghentikannya
biar kesengsaraan mengekorimu

Muhammad Farihin Hassan
Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru
26 Jun 2012
7.10 pagi

Tuesday 12 June 2012

MENGHADAP UMUR


Menghadap Umur
(Sempena 28 Jun 1982)



Mesyusur sedalam mungkin
Seumur ini mahukan pencerahan
Sekali hadapan kebenaran beribu kesilapan
Roda – roda pun bingkas berputar

Kendalikan darjah penghidupan
Sebatian rasa setawar elemen ketulusan
Mantapnya capaian pincanglah keputusan
Langkah – langkah makin pudar

Kekesalan, kerunsingan adalah
Litar biasa menghadap ke seumur ini
Ia bukan pintasan kecil berperintang besar
Kepada aliran permulaan renjatan kesudahan


Muhammad Farihin Hassan
Taman Daya, Johor Bahru
13.6.2012
 0815


Ya Allah aku bersyukur atas segala peluang yang Kau berikan, janganlah aku ini tergolong dalam golongan yang sia - sia.

Monday 4 June 2012

SUNGAI KOTA TINGGI

Sebatang Sungai Kota Tinggi
Melarikan deras air berempuhan
Sesama daunan kecil, menelan hanyut
Reranting tua, buih - buih tipis
Bahan buangan sampah sarap pelahap
Berkitar di pusaran di permukaan

Sambil – sambil lalu seorang nyonya
Memulakan perasaan melintas
Mengimbau dalam rintik hujan
Yang nian meruntuhkan

Di situ nelayan – nelayan sungai
Merenung demikian nasib
Berhari – hari dalam pertarungan
Bergelut asalkan mencapai lelehan
Bekalan bawa pulang
Menjelang petang nanti

Bermusim hujan itu
Berbahasa pekan luas Kota Tinggi
Sepanjang kesesakan sungai
Ada dada yang memberat tercurah
Risau gusar bimbang sasau nanti

Sementara ia terus lebat
Dari tebing bermenung nada air
Sampan – sampan pun bersangkutan
Bukan peduli sesiapa


Muhammad Farihin Hassan
Kota Tinggi, Johor
Isnin, 4 Jun 2012
12.15 tengahari