Saturday 28 July 2012

FALSAFAH PENDIDIKAN SAYA


FALSAFAH PENDIDIKAN SAYA
Tugasan sem 2 aeu

          Falsafah Pendidikan Saya adalah proses pendidikan ke arah mendidik dan melatih manusia yang menyatupadukan kebolehan fizikal dan mental mereka untuk mereka cipta sesuatu berteraskan sains dan teknologi tinggi melalui penerapan disiplin. Proses ini bermatlamatkan untuk membentuk warga negara yang menggunakan pengetahuan tinggi untuk menjadikan negara mereka sebuah negara yang menguasai dunia.
           Asas kepada falsafah saya ini adalah berdasarkan laporan dan kajian pendidikan iaitu manusia perlu patuh dan taat kepada ajaran agamanya dan hidup bertuhan. Ini kerana seseorang manusia yang beragama sahaja yang mampu menjadi pemimpin yang baik dan menjadi pengikut yang mulia. Manusia yang tidak beragama dan tidak patuh kepada hukum hakam agamanya tidak akan mampu menjadi pengurus, pentadbir dan pemimpin yang baik dan berkesan. Mereka mungkin mempunyai kelebihan luaran tetapi memiliki kebolehan rohani yang rapuh. Oleh kerana itu manusia perlu dididik ke arah pematuhan tersebut melalui segala pendekatan pendidikan yang berasaskan memberi contoh yang baik, penerapan nilai, amalan kerohanian dan peraturan ketat dengan tujuan pembentukan berhala tuju. Sumbernya pula adalah melalui kitab dan pusat pengajian yang sentiasa bersedia untuk direformasikan signifikasinya. Contohnya institusi pendidikan mesti berkeras dalam etika mengamalkan agama dan ertikata yang sebenar. Institusi pendidikan di peringkat seawalnya perlu mengajar manusia tentang kehendak agama yang sebenar, bukannya yang terpesong atau yang obses secara membuta tuli. Tetapi bukanlah bermakna agama itu ditafsir semula atau diperbaharui Cuma kebenarannya perlu diserlahkan aplikasinya manakala corak pemikiran dan cara  minda manusia itu menerimanyalah yang mesti direvolusikan.
            Bagi mencapai matlamat dan tujuan falsafah saya ini, proses latihan akan menjadi asas dan rujukan manifestasi sistem pendidikan yang bakal dirangka dan disesuaikan mengikut peringkat. Latihannya adalah ke arah menekankan yang manusia perlu belajar dengan segala kemudahan yang disediakan kerajaan dengan syarat mereka perlu berkerja dengan gigih sebaik sahaja kebolehan diri mereka dikenal pasti. Konsep berkerja juga adalah sejenis amalan pematuhan kepada tuhan cuma ia perlu mencapai kejayaan melalui penetapan sasaran yang jitu. Daripada itu sistem yang digunakan juga mesti memfokuskan latihan yang bermatlamatkan demi negara. Bermaksud manusia mesti belajar, berkerja hingga berjaya demi negara. Sumbernya adalah modul pelaksanaan secara latih tubi dan penetapan dasar – dasar tertentu yang konsisten. Contohnya sistem pendidikan mengajar manusia tentang kemahiran manakala sistem kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada manusia yang sedia terlatih itu di mana sasarannya telah ditetapkan melalui dasar kerajaan.
              Ketiganya, amalan pendidikan mesti berteraskan dengan pengetahuan pengurusan disiplin aras tinggi dan amalan keseragaman sebagai membentuk kumpulan beridentiti. Keseragaman adalah lambang penyatuan hati dan matlamat. Melaluinya juga sesuatu pasukan akan mendapat kehormatan dengan syarat ia diuruskan dengan pengetahuan dan latihan disiplin yang tinggi. Semua elemen ini akan dirangkumkan dan dilatih dalam sistem pendidikan supaya ia menjadi kebiasaan. Kelaziman dididik dengan disiplin yang ketat akan membentuk generasi yang mudah lentur dalam masa yang sama mempunyai kebebasan berfikir dan tidak terperangkap dengan konflik hak kemanusiaan. Segala ini asalkan generasi manusia yang dibentuk ini tahu dan mengerti hala tuju, matlamat dan generasi mereka untuk membawa mereka ke mana. Sumbernya adalah kita mesti mempunya pemimpin di semua peringkat terutamanya di peringkat pemerintah yang berprinsip dan sentiasa konsisten dengan objektif, bukannya pemimpin yang sekejap lain sekejap lain. Segmen disiplin mesti tidak sewenangnya diubah – ubah. Ia adalah tetap bagaikan rukun yang tak boleh ditinggalkan sebilang masa. Melaluinya generasi yang dilahirkan akan menjadi generasi yang berfokus, menepati masa, datang awal dan tidak akan buat silap walau sekecil mana pun. Contohnya latihan ketenteraan yang dilaksanakan selama ini. Asasnya adalah kawad manakala persembahannya adalah dalam perbarisan berpasukan mahupun individu. Begitu juga dengan imej keseragaman yang nampak gah dikenakan pasukan tentera. Mengapa dua elemen ini penting dan disatukan dalam amalan ketenteraan. Ini kerana meliteri adalah antara profesion di dunia yang bermatlamatkan sifar kegagalan. Oleh kerana itu amat sukar untuk kita melihat kesilapan kecil apatah lagi kesilapan besar dalam sebarang perbarisan, ini kerana disipin militer mengajar ahlinya bahawa mereka akan menerima akibat buruk jika melakukan kesilapan walaupun secara tidak sengaja dan akibat tersebut bukan sahaja bakal ditanggung individu yang melakukannya sahaja bahkan seluruh pasukannya terutama yang berpangkat ketua.


              Demikianlah asas – asas kepada pembentukan falsafah pendidikan. Pelaksanaanya secara menyeluruh akan membawa kepada  matlamat akhirnya. Sistem pendidikan di pra sekolah, peringkat rendah, menengah dan universiti mesti mengajar tentang semua sistem pembangunan manusia yang ada di dunia, ia termasuk falsafah dan seumpamanya. Walaubagaimanapun di akhirnya nanti hanya satu sistem yang akan dipilih.
             

Friday 27 July 2012

Sajak : Spastik



Di sini ini
Perkataan sedaya upaya
Pertuturan kabur
Penglihatan hambar
Pergerakan sempadan
Keinginan terhad kesempatan

Spastik Johor ini
Tempat penerimaan
Guru seikhlasnya murid teristimewa
Tiada ketidakjujuran di sini
Kerana semuanya hadiah tuhan

Segala rasai nikmati
Terima kasih atas sudi kalian ini
Di sini menggembur budi
Nanti dibalas intipati firdausi

Muhammad Farihin Hassan
Jalan Dato' Menteri, Johor Bahru
26/07/2012

Thursday 19 July 2012

Sajak TSN/JMF


TIMBALAN SETIA NEGERI
(JOHOR MILITARY FORCES)
SELEPAS 126 TAHUN

Timbalan Setia berbaris
Mendabik dada lantas penuh taat
Sekian lama sejarah jasa
Menjaga nusa dan negeri bangsa

Di setiap daerah adanya mereka
Megah rakyat aman wilayah sentosa
Berdarah hingga habis nyawa
Bersama rakyat bertahan
Melimpah ruah kata bangga  
Nikmat kepada tuhan berserah

Sepagi di Bukit Timbalan
sepanjang hari ditulis dalam jawi
tercatit keberanian pertiwi
lagenda terpatri dalam kedaulatan
rakyat dan negeri sejahtera berzaman lagi

Timbalan Setia pada waktu petang
simbol curahan bakti muda mudi
anak negeri gagah berani kerahan budi
terhormat menghias peribadi
jarang amarah mudah berani
bilamana di hadapan pantang undur
petualang, penderhaka lekas luntur

Perajurit Askar Timbalan Setia
Ketaatan, kesetiaan, kesatuan dan ketangkasan
Perluasan kuasa satukan di sini
Sedari awal dinihari negeri ini
Ketumbukan Timbalan Setia
Tidak perlukan sebarang kebetulan
Kerana mereka adalah kebenaran



Muhammad Farihin Hassan
Perbarisan Tamat Latihan Rekrut Askar Timbalan Setia Negeri Johor
Pejabat Askar Timbalan Setia Negeri Johor (A.T.S.N)
Johor Military Forces (J.M.F)
Bukit Timbalan, Johor Bahru
2012-07-19 / Khamis


Tuesday 17 July 2012

Puisi : Kibarkan panji - panjimu

Bulan sabit keluhuran
bintang prinsip
jalur penghormatan
warna merah ketuanan
warna putih maruah
warna kuning sejarah
warna biru kekuasaan

Kibarkan gagah panji - panjimu
biar ia khabarkan seluruh buana
walau apapun terjadi
ia kan kita pertahankan
hingga ke titisan darah yang penghabisan

Muhammad Farihin Hassan
Sg Besi, Kuala Lumpur

Ruangan : Orang Jahat Orang Baik

BULAN PUASA

Tiga hari lagi kita akan berpuasa, semoga kita diberi umur untuk menunaikannya dan moga ramadhan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya. Pasti ramai yang tak sabar nak bangun bersahur bersama keluarga, masak untuk berbuka dan bertarawih di masjid dan surau. Ramadhan ternyata bukan sekadar bulan biasa, di dalamnya penuh pengertian dan maksud hidup yang amatlah mendalam. Sama - samalah kita menanam keazaman untuk meningkatkan kualiti ibadah kita sempena mengambil hikmah kehadiran bulan penuh keberkatan itu. Amalan sunat diberi ganjaran besar amalan wajib diberi pahala berlipat kali ganda. Di saat orang baik berpuasa dan memperbanyak amalan, orang jahat seperti biasa hidup dalam kelekaan. Semoga kita semua bertaubat atas segala keinkaran yang dah dilakukan, Dr Fadhilah Kamsah kata solat taubat mesti dibuat setiap malam kerana kita tak tahu samaada kita boleh hidup lagi pada hari esok. 

Farihin : Teringat lagi bulan puasa tahun lepas, apa pun tak ada dalam kocek, berbulan - bulan tanpa pendapatan, penganiayaan ini takkan mudah saya lupakan, itulah balasan perjuangan, perjuangan konon.


PILIHANRAYA

Sana sini orang bercakap pasal pilihanraya, ada yang nak bersatu atau kembali bersatu kononnya sempena nak pilihanraya. konon katanya apalah gunanya jawatan pangkat kalau parti kalah dalam pilihanraya pigi dahhhh!!!!

Korang ingat PRU ni macam main bola ke? pilihanraya adalah kepercayaan tau tak, kepercayaan rakyat terhadap pemimpin dan parti yang berkuasa. Rakyat ialah bos, dia dah amanahkan kamu menjaga negara kalau selama ni kamu cuai dan tidak amanah janganlah berangan nak dipilih lagi apatah lagi nak menang lagi.
 
Keduanya, jangan ingat kalau dah jadi ahli parti tu dah bergaul dengan saudagar politik tu maknanya kau dah pandai sangat dalam politik. Kemudian nak jadi raja politik hero isu itu dan ini kemudian susun orang untuk kedudukan sendiri atau tauke politik yang sanggup bayar upah yang mahal demi jawatan. Wei bro, politik ni adalah kepimpinan yang mesti disandang oleh orang yang berintegeriti orang yang ada rekod amanah dalam melaksanakan kerja bukan yang sebat apa sahaja!!!

Farihin : Bagus juga puasa, berhenti sekejap cakap pasal pilihanraya (itupun ada jugak yang bergerak kerja ke arahnya, untuk rakyat atau reputasi diri? bersama kita memerhatikannya.) yang penting kita nak pemimpin daripada kalangan orang baik bukannya orang jahat atau orang baik yang pernah dan selalu buat jahat.

BERSAMA MUHASABAH DIRI
SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN 2012

Thursday 12 July 2012

CONTOH MINIT MESYUARAT


MINIT MESYUARAT
SAMBUTAN HARI
KEMERDEKAAN

SK PRECINT 11 (2) PUTRAJAYA
KOD SEKOLAH : WJA 4276

MINIT MESYUARAT JAWATANKUASA SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN
PERINGKAT SEKOLAH BAGI TAHUN 2012

 BIL 02 / TAHUN 2012

Tarikh                          : 28 Jun 2012 / Khamis

Masa                            : 2.00-3.30 petang

Tempat                        : Bilik Seminar 2 SKP11(2)

Pengerusi                     : En.Mohd Farihin bin Hassan.

Kehadiran (Bilangan)  : 21/21

Turut Hadir : Kolonel Prof Dato’ Dr Hj Syed Danial Zainulbiden Al Kudsi (Bersara) (YDP PIBG).


1

KATA ALU-ALUAN PENGERUSI
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab Al Fatihah.
Terima kasih atas kehadiran semua ahli jawatankuasa.
Menerangkan bahawa tujuan jawatankuasa ini dibentuk adalah bagi melaksanakan Majlis Sambutan Kemerdekaan Peringkat SKP11(2) dengan jayanya bagi tahun 2012 sebagaimana persetujuan mesyuarat yang lalu.                           








2
MEMBENTANG DAN MENGESAHKAN MINIT MESYUARAT YANG LEPAS.

2.1.  Dibentang oleh Pn.Noraniza Zaaba
        Dicadang untuk disahkan oleh Pn.Nur Azlin Bt. Jawahir
        Disokong untuk pengesahan oleh Ustaz Haji Azri bin Fakeh

3

PERKARA BERBANGKIT :

3.1 Semua guru yang telah dilantik harus melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna di mana sebarang kemusykilan hendaklah dirujuk kepada penyelaras.
                                                                                             
   Tindakan : Penyelaras Program.                     

3.2  Pada 25 Jun 2012 yang lepas, pihak penyelaras telah mendapat persetujuan pihak Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpengkalan di Kem Sungai Besi yang bersedia untuk berkerjasama dengan pihak sekolah bagi menjayakan sambutan ini di sekolah kita.
                                                                                 Tindakan : Penyelaras Program.

3.3  Pihak jawatankuasa juga telah mengesahkan semasa sambutan itu pihak sekolah bakal menerima tetamu undangan teristimewa iaitu seorang tokoh yang menerima pingat tertinggi negara iaitu Pingat Gagah Berani (PGB), beliau ialah Temenggong Datuk Kanang anak Langkau seorang wira negara.

                                                                                Tindakan : Penyelaras Program.                     

                                                                                                 

                                                                             



      

4

PERBINCANGAN BERKAITAN SAMBUTAN  :

4.1. Pn. Noraniza selaku penyelaras membentangkan senarai jawatankuasa pelaksana sebagaimana lampiran dan meminta semua guru memahami skop tugasan yang bakal dilaksanakan dan mengenal pasti permasalahan atau halangan yang mungkin dihadapi.

                                                                                              Tindakan: Pn.Noraniza                      

4.2 Turut dibacakan pengenalan, matlamat dan objektif pihak sekolah mengadakan sambutan ini.
                                                                                                      

4.3  Semua ahli jawatan kuasa juga ditaklimatkan tentang tentatif program tersebut.

                                                                           Tindakan : Semua ahli jawatankuasa.         

4.4. Terdapat dua acara besar yang perlu diberi lebih tumpuan iaitu persembahan kawad kaki oleh pasukan tentera dan Ceramah Pengkisahan Sejarah Melawan Pengganas Komunis oleh tetamu jemputan.

                                                              Tindakan : Semua ahli jawatankuasa.

4.5. Jawatankuasa keselamatan diingatkan agar melengkapkan peti kecemasan dan menetapkan dua buah kenderaan bagi tujuan memastikan tindakan kecemasan dapat diambil serta merta jika menghadapi sebarang situasi tidak diingini.    

Tindakan : ahli jawatankuasa keselamatan.





  

5
                  
HAL-HAL LAIN

5.1. Semua jawatankuasa ditanya tentang pandangan dan cadangan lain berkaitan pengisian aturcara.

5.2 Disebabkan tiada cadangan lain maka perancangan ini diterima sebulat suara untuk dilaksanakan dan jawatankuasa disarankan agar segera menyenaraikan barang keperluan di dalam nota minta.

5.3 Untuk rekod, mesyuarat selanjutnya kali ketiga bakal dilaksanakan untuk menilai perkembangan semasa gerak kerja jawatankuasa yang ditubuh di mana tarikh, masa dan tempatnya akan diberitahu kelak secara rasmi dan bersurat.

                                                                         Tindakan: Setiausaha Program.        

PENUTUP

a)      Ucapan ringkas disampaikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru.
b)      Ucapan penangguhan oleh Pengerusi Mesyuarat dan peringatan mesyuarat yang berikutnya.
c)      Mesyuarat ditangguhkan pada jam 3.30 petang.


Disediakan  oleh,                                                                               Disemak  Oleh,


..........................................………                                           ……...............................……….
(DALYANA BINTI MD DAHAR )                                     (MOHD FARIHIN BIN HASSAN)
             Setiausaha                                                                                      Pengerusi
   Tarikh : 28 Jun 2012.                                                                      Tarikh : 28 Jun 2012



TUGASAN AeU SEM 2

CONTOH SURAT RASMI


SK TAMAN GAYA 3
Jalan Gertak Merah, 81200 Johor Bahru, Johor Darul Ta’zim
Pejabat : 07 2211 2020 samb. 308 / Faks : 07 2211 2021
Facebook : SKTG3 JB / Blog : sktamangaya3.blogspot.com / Email : sktamangaya3_JB@gov.com

Tarikh : 28 JUN 2012
Rujukan kami : 2012/srkpm/178/(19)

Kepada :

YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin
Menteri Pelajaran Malaysia
Aras 10, Blok E8, Parcel E
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 W.P Putrajaya
Malaysia

Tan Sri,

CADANGAN DAN IDEA BAGI MENINGKATKAN TAHAP PENDIDIKAN MURID DI SK TAMAN GAYA 3, JOHOR BAHRU, JOHOR.
Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.         Pihak saya ingin mencadangkan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melalui pejabat YBhg Tan Sri tentang idea dan cadangan yang saya yakini mampu mempertingkatkan tahap pendidikan murid di sekolah saya iaitu SK Taman Gaya 3, Johor Bahru, Johor. Untuk makluman YBhg Tan Sri, sekolah ini telah memulakan operasi pada 1 Januari 2000. Ia terletak kira – kira 11 kilometer daripada Bandaraya Johor Bahru dan berada di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru, Johor. Bermula dengan pendaftaran 850 orang murid pada tahun 2001, sehingga kini terdapat seramai 2756 orang murid yang sedang belajar disini. Jika dibahagikan mengikut komposisi kaum, seramai 1900 murid berbangsa melayu, 450 orang cina, 206 india dan 200 orang lagi terdiri daripada lain – lain kaum dan pelbagai etnik dari Sabah dan Sarawak. Manakala terdapat 124 orang guru dan staf berkhidmat di sekolah ini.

3.         YBhg Tan Sri, mencapai prestasi cemerlang dalam bidang pelajaran dan menyediakan kemudahan yang lengkap memang sentiasa menjadi matlamat dan keutamaan kami di sekolah ini. Murid – murid dibimbing dan didik dengan penuh kasih sayang manakala guru – guru sentiasa berusaha memastikan segala bentuk tugas dan tanggungjawab sebtiasa dilaksanakan mengikut piawaiaan yang telah ditetapkan. Warga sekolah ini juga amat bertuah kerana usaha memperkasa tahap pencapaian murid dan memepertingkat prasarana sekolah tidak kami laksanakan secara sendirian sebaliknya mendapat kerjasama erat daripada para ibu bapa dan penjaga murid yang merupakan masyarakat di persekitaran sekolah kami. Alhamdulillah, mereka amat responsif dalam segenap hal melibatkan perkembangan sekolah ini selain amat jujur serta rajin membantu pihak kami. Ramai di kalangan mereka juga bersifat dermawan dan mengambil berat bukan sahaja terhadap kebajikan anak – anak mereka di sekolah ini tetapi juga meliputi aspek komunikasi sosial dengan para guru dan staf juga daripada sudut memajukan kemudahan di sekolah ini.

4.         YBhg Tan Sri, Untuk makluman berkenaan dengan prestasi keseluruhan pencapaian murid di sekolah ini dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum maka pihak saya memohon agar pihak kementerian merujuk kepada maklumat rasmi di Jabatan Pelajaran Negeri Johor ataupun secara tidak rasmi saya mempersilakan pihak tuan mengakses makluman tersebut di laman sesawang kami di internet iaitu sktamangaya3johorbahrujohor.blogspot.com  di mana di situ turut terdapat pelbagai ruangan interaksi social atas talian yang dikendalikan Unit Media sekolah ini. Namun begitu di sini saya sediakan data awal bagi memberikan gambaran tentang unjuran sebenar, pertamanya dalam bidang akademik untuk 3 tahun kebelakangan ini iaitu pada tahun 2009 daripada 157 orang calon yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), 119 daripadanya telah mendapat 5A, manakala 9 orang mendapat 6A dan 1 orang mendapat 7A. Pada tahun 2010 pula seramai 171 orang calon mendapat 5A daripada 197 calon dan yang terbaru pada tahun 2011 lalu 185 orang Berjaya mendapat 5A daripada 211 orang calon yang menduduki peperiksaan itu. Kejayaan murid di sekolah ini juga turut dicatat dalam bidang kokurikulum di mana sekolah kami dikenali sebagai Johan 3 tahun berturut – turut Pertandingan Kawad Kaki Daerah Johor Bahru dan menjadi Johan dalam acara tersebut pada tahun 2011 di peringkat negeri Johor. Di peringkat kebangsaan pasukan sekolah kami Berjaya menduduki tempat ketiga. Sekolah kami turut menjadi pasukan digeruni dalam permainan bola sepak, hoki, bola baling dan sepak takraw di peringkat daerah. Ramai diantara murid di sekolah ini yang berpotensi besar dalam bidang sukan telah diterima masuk ke sekolah sukan di Bukit Jalil dan Bandar Penawar di mana catatan terbaik adalah pada tahun 2010 iaitu seramai 11 orang murid sekolah ini yang berjaya ke sekolah berasrama penuh itu. Dalam bidang agama murid – murid ini juga tidak ketinggalan dimana kami sering menghantar wakil ke Tiawah Al, pertandingan syarahan, berzanji dan hafazan Quran di peringkat daerah dan negeri.

5.         YBhg Tan Sri, biarpun begitu, masih banyak lagi bantuan dan perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran yang kami perlukan demi mencapai sasaran untuk menjadikan sekolah kami ini tersenarai sebagai salah sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada tahun 2013, setaraf dengan SK Bandar Baru Uda, Johor Bahru. Kami yakin dengan segala kelebihan yang ada, sokongan semua pihak dan kesediaan guru – guru yang komited untuk mencapai matlamat tersebut, hasrat kami itu akan tercapai jua. Walaubagaimanapun saya mendapati keazaman dan tekad yang kuat daripada warga sekolah ini sahaja tidak mencukupi untuk memperoleh kejayaan yang diidamkan sebaliknya ia memerlukan segala bentuk komitmen daripada pihak Kementerian Pelajaran sendiri. Hanya melalui usahasama kita sahaja yang mampu merealisasikan matlamat itu. Oleh yang demikian pihak kami telahpun mengadakan perbincangan dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru / PIBG  (sila rujuk minit mesyuarat yang dilampirkan) sekolah ini bagi memberi ruang kepada semua pihak memberi pandangan sehinggalah satu kesimpulan dapat dibuat. Justeru melalui surat permohonan ini kami ada menyenaraikan empat cadangan atau idea yang kami sepakati bersama dan kami yakin ia mampu melonjakkan usaha meningkatkan tahap pendidikan murid di SK Taman Gaya 3 ini. Idea tersebut adalah seperti berikut :



                                           I.            Menaik taraf Makmal Komputer Ibnu Sina, SK Taman Gaya 3 Johor Bahru kepada Makmal Komputer bersaiz dan berkelengkapan moden dan canggih.

                                        II.            Menambah peruntukan untuk Pusat Sumber sekolah ini berdasarkan senarai jenis bahan bacaan, peralatan dan rujukan yang disenaraikan pihak sekolah sendiri.

                                     III.            Menambah bantuan kepada unit kokurikulum sekolah ini melibatkan bantuan baju uniform untuk pasukan unit beruniform dan keperluan aktiviti sukan yang biasa atau baharu yang bakal disertai murid.

                                     IV.            Menambah kekerapan pembekalan pil vitamin untuk kecergasan minda murid kepada sekolah ini daripada sekali setiap tahun kepada sepuluh kali dalam masa satu tahun.

6.         Cadangan pertama kami kepada pihak KPM menaik taraf Makmal Komputer Ibnu Sina, SK Taman Gaya 3 Johor Bahru kepada Makmal Komputer bersaiz dan berkelengkapan moden dan canggih. Ia berdasarkan kemudahan makmal sedia ada yang cukup terhad untuk sekolah berkapasiti tinggi seperti sekolah kami. Melalui laporan kerosakan yang kami buat setiap tahun juga menunjukkan sebarang peralatan pengkomputeran yang rosak selalunya lambat diperbaiki dan walaupun proses hapus kira dah dibuat tetapi proses penggantian seringkali lewat. Semua ini memang mengganggu proses pembelajaran murid di sekolah ini sejak sekian lama. Pihak saya memohon agar kemudahan komputer ini dinaik taraf merangkumi perisiannya dan kelengkapan aksesori yang bertepatan dengan keperluan pengajaran. Ia dijangka mampu member impak kepada penguasaan muri dalam bidang teknologi maklumat (IT). Kelengkapan makmal juga akan digunakan secara maksimum dalam sesi pengajaran di mana murid sendiri akan terlibat secara efektif dan praktis.


7.         Cadangan kedua kepada KPM adalah dengan Menambah peruntukan untuk Pusat Sumber sekolah ini berdasarkan senarai jenis bahan bacaan, peralatan dan rujukan yang disenaraikan pihak sekolah sendiri. Permohonan ini amatlah jitu dengan perkembangan semasa hari ini. Kalau kita lihat di pasaran penjualan buku berkaitan pembelajaran murid, setiap dua bulan akan sentiasa adanya buku keluaran terbaru di pasaran. Ia juga meliputi buku rujukan, latih tubi, panduan guru dan seumpamanya. Oleh yang demikian pihak sekolah berharap pihak KPM dapat member peruntukan tambahan kepada perpustakaan yang terletak di bawah pusat sumber untuk memenuhi keperluan semasa murid. Kami yakin dengan sentiasa membekalkan bahan bacaan dan rujukan yang masa kini, ia akan membantu usaha pihak sekolah meningkatkan penguasaan murid dalam pelajaran terutamanya dalam aspek mengasah kemahiran berbahasa murid dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang selari dengan dasar Mempertingkat Bahasa Melayu Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) anjuran KPM sendiri. Kemudahan ini juga mampu menjana usaha guru – guru yang terlibat dalam Literasi dan Numerasi Sekolah (LINUS). Selain fokus kepada perpustakaan, permohonan ini juga terarah kepada kemudahan peralatan bahan bantu mengajar yang diperlukan guru – guru. Jika permohonan ini diterima, pihak sekolah akan mempertingkatkan kualiti bahan pengajaran kepada yang lebih terkini dan benar – benar menepati kehendak sukatan sesuatu pelajaran. Bahan pengajaran yang bersifat maujud akan diperbanyak dan system rekod penggunaan akan ditambah baik dengan menambah aspek impak yang akan dipantau pentadbir berdasarkan buku rekod mengajar setiap guru.

8.         Pihak sekolah juga mencadangkan KPM menambah bantuan kepada unit kokurikulum sekolah ini melibatkan bantuan baju uniform untuk pasukan unit beruniform dan keperluan aktiviti sukan yang biasa atau baharu yang bakal disertai murid. Permohonan ini adalah untuk menyemarakkan semangat 1 murid 1 sukan yang sedang dilaksanakan pihak sekolah. Pemberian uniform kepada murid akan meringankan sedikit beban ditangtgung ibu bapa dan akan member lebih semangat kepada murid untuk bergiat lebih aktif dalam aktiviti pasukan beruniform. Dalam masa yang sama pihak sekolah merancang untuk menambah baik peralatan dan kemudahan sukan dan permainan yang sedia ada di sekolah ini. Turut dirancang adalah pihak sekolah mahu mewujudkan permainan baharu iaitu boling padang dan sukan memanah yang kami lihat berpotensi untuk disertai murid di sekolah ini.

9.         Pihak KPM juga dicadangkan menambah kekerapan pembekalan pil vitamin untuk kecergasan minda murid di sekolah ini daripada sekali setiap tahun kepada sepuluh kali dalam masa satu tahun. Cadangan ini dibuat setelah mengambil kira selain keperluan fizikal murid yang selama ini diberi keutamaan, keperluan mental juga mesti diberi perhatian serius. Pihak sekolah amat perihatin dengan perkembangan tumbesaran fizikal dan mental murid di sekolah ini. Pencapaian proses kemahiran berfikir adalah bergantung kepada pada tahap mana minda seseorang kanak – kanak itu berfungsi dan berkembangan. Di mana perkembangan minda mestilah dituruti dengan perkembangan fizikal yang positif. Melihat keperluan ini pihak kami yakin murid perlu diberikan makanan yang seimbang berkhasiat dan makanan tambahan yang menggalakkan perkembangan sel – sel otak seperti vitamin yang pernah dibekalkan pihak KPM. Tetapi ia dilihat lansung tidak efektif kerana sebagaimana galakkan fizikal yang diberikan setiap hari, keperluan pembelajaran secara dalaman ini juga sepatutnya tidak berhenti. Ia harus dilakukan dengan kerap dan berskala. Dengan itu peningkatan dan pencapaiannya dapat dianalisa untuk kajian keberkesanan.

10.       Semoga cadangan ini mendapat perhatian serius daripada pihak Y.A.B Tan Sri, realitinya cadangan dan idea di atas amatlah releven dengan keperluan semasa semua sekolah hari ini, ia bukan sahaja diperlukan SK Taman Gaya 3 sahaja. Selama ini telah terlalu banyak kemudahan infrastruktur pendidikan telah kerajaan berikan dan pihak kami berharap permohonan ini tidak dilihat daripada sudut yang tidak tepat. Idea yang pihak kami berikan ini dibuat semata – mata demi meningkatkan tahap pendidikan anak didik kami di sekolah ini. Kami mahu mereka Berjaya dalam pelajaran, mampu bersaing dengan sekolah – sekolah bertaraf elit di Bandar besar lain dan juga kami mahu dengan segala yang tersedia mereka mampu menjadi modal insan terbaik dalam negara kita dan suatu hari nanti akan bersama – sama pihak kerajaan memajukan negara ini. Kami juga percaya bahawa pendidikan yang sempurna adalah mustahil untuk disediakan tetapi kemudahan pendidikan yang lengkap boleh dicapai.
Sekian, terima kasih.




‘Guru Inovatif Melonjakkan Tranformasi Pendidikan Negara’
‘Terima Kasih Cikgu’

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Saya yang menurut perintah,



…………………………………….
(MOHD FARIHIN BIN HASSAN)
                Guru Besar
            SK Taman Gaya 3
         Jalan Gertak Merah 6/2
           81200 Johor Bahru



Sk
                Fail Timbul



TUGASAN AeU SEM 2

Tuesday 10 July 2012

Sajak : Manalah Ramadhan


MANALAH RAMADHAN

Hati mana ramadhan
Berapa masa lagi tuk memikirkan
Mengertikah tentang maksud sebenar
Maksud dikau dihantar ke dunia

Takkanlah tuhan melahirkanmu
Memberi nyawa dan segala pemberian
Sekadar mencari makan, mengumpul harta cuma
Mendapat nama, pangkat dan keluarga hanya

Tentu ertinya tuhan lebih besar
Wahai sang hati yang mencintai kebendaan
Anak pinak, pangkat darjat, keturunan
Gelaran, pingat kesemuanya fitnah
Yang jelas dan ternyata sementara

Kematian seperti bangun daripada
Tidur yang panjang dengan mimpi
Kadangkala kita mengigau
Bila sedar kita dinantikan soalan

Wahai hati yang acap lupa, ingatlah
Soalan datang dari tuhan
Jawapan datang daripada amalan
Bukan daripada bijaknya pemikiran

Wahai hati yang jiwaku resah
Maut pasti menerpa
Tidak guna bicara tentang caranya
Mati terbakar, mati terbunuh, mati berlanggar
Sakit tenat terlantar sengsara
Biar apa sekalipun kaedahnya dicabut nyawa
Taklah sepenting persiapan dan kesediaan kita

Di mana ramadhan
Kali ini nanti ia menjengah
Berilah lebih kepastian tentang
Stesen pertama alam kubur
Mana satu jendela syurga atau neraka
Nak dibuka seluasnya
Menjemput wangian mahupun seksaan
Sebelum meneruskan perjalanan ke
Perhimpunan sekalian jin dan manusia
Bagaimanalah rupanya hatiku nanti
Ketika itu, kerna aku bimbangkan
Rahmat tuhan sudah tidak mengenaliku lagi


muhammadfarihinhassan.blogspot.com
Ahad, 8/7/2012
Kg Maju Jaya, Johor Bahru


Monday 9 July 2012

BUNGA UNTUK AZAH

Sekuntum dihadiah kepadamu
Sekuntum lagi kusimpan dalam diari bangsa
Manakala setiap kelopaknya kulukis
Kuukir pula nama budaya nama cinta
                                  
Bunga sejambak buatmu Azah
Buat belasungkawa
Selagi secantik bunga selama wanginya ia
Sehingga itulah adanya
Bunga untukmu

Kepergianmu takkan layu
Bunga itulah
Kerana bunga -  bunga itu
Bukan sebarangan, ia bunga budaya
Bunga adat, bunga seni, bunga santun
Ia mekar semekarmu dulu
Dan ia akan sentiasa kekal begitu
Zaman berzaman, lama selamanya

Muhammad Farihin Hassan
Asia e University
Kuala Lumpur

2012-07-10 10.40 pagi



Sunday 8 July 2012

L.K.T.P BUKAN MUDAH


L.K.T.P BUKAN MUDAH
(Selamat menyambut Hari Peneroka 2012)

Peneroka yang kenal berjaya
Menukar belantara menjadi kotaraya
Bermula daripada pokok pertama ditumbang
Hinggalah jenamanya terpampang
Dari pedalaman ke serata alam

Peneroka FELDA bukannya mudah
Dari kampung – kampung biasa
Mereka dahulu ialah anak muda berhijrah
Ke tanah jauh hutan dibuka
Yang di sana lebih banyak cara untuk merana
Daripada banyaknya punca untuk bahagia
Dengannya mereka hidup
Dan melahirkan ramai anak yang kecil dan comot
Tetapi sekarang mereka ada dalam pelbagai bidang
Menjadi pensyarah, pakar perubatan, Pembina bangunan
Penulis syair, usahawan, pendakwah, juruterbang bahkan budayawan tersohor

Pada setiap hari bangkitnya L.K.T.P
Sentiasa ada penceroboh dan penentang
Yang bijak merayakan kegagalan dan tohmahan
Berbanding pencapaian lagipun kejayaan

Hari ini tanah ladang luas kita raikan
Di ibu kota moden
Peneroka semangat tersergam, pengorbanan terjulang
Generasi sendiri pun ada yang masih tak
Kenal  wajah rupa datuk nenek mereka
Walau hasil titik peluhnya saban hari dirasakan

Menulis tentang FELDA tentang legasi peneroka
hingga ke hari ini di simpulan bahasa
dibaca bersama semua peribahasa
segala tiga kata - kata
Maruah, harga diri dan kehormatan
Semuanya ada di L.K.T.P, ia amat sempurna
Berbanggalah dengannya, jangan dirosakkan percuma

Muhammad Farihin Hassan
Lembaga Kemajuan tanah Persekutuan (Felda) Ulu Tebrau, Johor Bahru

Isnin 9 Julai 2012
1.37 pagi

Tuesday 3 July 2012

PEMAJU JANGAN ANGKUH



               Saya mewakili seratus tujuh puluh lima orang (selepas ini disebut PENDUDUK) yang bertanda tangan di atas ialah penduduk  sebuah taman perumahan iaitu Taman Konot Perdana / Type R  (selepas ini disebut KEDIAMAN) yang ingin membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam Wilayah Persekutuan tentang masalah pemaju taman perumahan kami iaitu Syarikat Perumahan Akuajaya Sdn Bhd sebuah anak syarikat Kumpulan Lion Gold (selepas ini disebut PEMAJU) yang beribu pejabat di b1-23-3 Kompleks Space, No 9, Persiaran Pasak Bumi, Taman Bukit Jelutong Jaya, Seksyen 2, 40150 Shah Alam.
            Aduan ini kami ajukan kepada pejabat pihak tuan berikutan satu mesyuarat yang telah pihak penduduk adakan pada 28 Jun 2012 hari Khamis pukul 9.00 malam yang lalu berkenaan sikap dan tindakan pihak pemaju di KEDIAMAN kami yang terlalu angkuh dan tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan perjanjian di antara PEMAJU dengan PENDUDUK. Setelah perbincangan panjang lebar dan persetujuan penduduk untuk bersama mengemukakan aduan ini pihak kami bersepakat menuntut agar pihak Biro Pengaduan Awam bertindak segera ke atas pihak PEMAJU.
            Kami pihak PENDUDUK telah tinggal di KEDIAMAN ini sejak Jun 2011 setelah menerima kunci daripada pihak PEMAJU. Sebaik memasuki rumah idaman kami ini, kami telah mendapati banyak perkara yang berlaku di rumah kami ini yang menunjukkan ia dilakukan PEMAJU secara tidak mengikut spesifikasi sebenar sebagaimana dijanjikan sebelum ini. Apa yang merunsingkan kami ia telah menjejaskan keselamatan kami seisi keluarga dan menimbulkan suasana tidak tenteram selama kami tinggal di KEDIAMAN ini. Ironinya setelah banyak aduan (sebagaimana salinan dilampirkan) dibuat kepada pihak PEMAJU, banyak aduan yang tidak dilayan dan tidak diambil tindakan sewajarnya manakala sebahagian kecil tindakan yang mereka ambil amatlah tidak memuaskan. Oleh yang demikian aduan rasmi ini PENDUDUK buat kerana sudah tidak sanggup lagi hidup begini dan kerana pihak PENDUDUK sudah hilang kepercayaan terhadap kredebiliti pihak PEMAJU dalam menyelesaikan masalah kami yang kian berlanjutan ini.
            Justeru itu, di sini pihak PENDUDUK menyenaraikan aduan rasmi kami untuk rujukan dan siasatan pihak Biro Aduan Awam Wilayah Persekutuan. Sebagai tambahan pihak PENDUDUK juga melampirkan salinan aduan dan surat yang pernah dihantar ke pejabat PEMAJU serta turut kami lampirkan dokumen – dokumen, butiran diri dan kenyataan rasmi berserta tanda tangan seratus tujuh puluh lima orang PENDUDUK. Untuk rekod, aduan kami ini akan dipantau oleh Firma Guaman Tetuan Azry Ismail dan  Zamrin Idrus  and Co beralamat di 19-7-3 No 8, Level 15 Wisma Felda, Jalan Semarak 40205, Kuala Lumpur yang akan bertindak sebagai peguam pemerhati di sini.
            Dengan penuh rasa tanggungjawab di bawah adalah senarai aduan kami untuk perhatian pihak tuan :
1.      Didapati lot kediaman PTD19623 – PTD19651 mengalami keretakan besar di bahagian dinding ruang tamu di pelbagai sudut. Keretakan tersebut telah diperiksa dan dijangka akan semakin merebak terutama apabila berlaku gegaran kecil sekalipun.
2.      Hasil pemeriksaan penduduk, banyak ruang parkir terutamanya di lot kediaman PTD19633 – PTD19671 telah mengalami rekahan serius, ia dipercayai kemungkinan berlaku akibat pemaju menggunakan bahan campuran gred rendah.
3.      Terdapat 18 aduan berekod berkaitan kerosakan serius sistem perpaipan sepanjang 90 hari yang lalu daripada tarikh aduan ini dibuat.
4.      Sehingga hamper setengah tahun penduduk mendiami kawasan perumahan kami ini, masih tidak ada jalan utama yang pemaju sediakan untuk memasuki kawasan taman perumahan kami di mana setiap hari penduduk terpaksa melalui jalan sementara yang rosak teruk dan tidak selamat.
5.      Terdapat aduan beberapa penduduk yang mengadu sebaik sahaja memasuki rumah baharu mereka, didapati bil air mereka telah mencatat penggunaan selama dua bulan melibatkan bil berjumlah lebih daripada RM100 yang amatlah mustahil berlaku kerana ketika itu mereka masih belum memasuki rumah. Kes ini berlaku dipercayai dilakukan pekerja pembinaan yang tidak bertanggungjawab mencuri air milik penduduk.
6.      Pada bulan ramadhan yang lalu berlaku pertelingkahan di antara syarikat pemaju dengan jawatankuasa penduduk. Ia disebabkan pihak pemaju melarang pihak penduduk mendirikan solat fardhu dan terawih berjemaah di tapak surau sedangkan ia memang tapak surau yang digazetkan dan dicatat dalam pelan utama yang dikemukakan pemaju. Sudahlah permohonan penduduk agar pemaju membantu menyediakan surau sementara tidak dilayan, tindakan penduduk bersolat di bawah khemah dijadikan isu pertikaian pula oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab ini.
7.      Sehingga kini pihak penduduk telah membuat dua laporan polis di Bit Polis Balai polis Cheras Baru (repot no 1765389RF/I.O : Ins Azmil Hassan) berikutan tindakan dua orang wakil pemaju yang bertindak ala gangster menyerang beberapa rumah penduduk.
Daripada aduan pihak PENDUDUK seperti di atas kami dengan ini membuat tuntutan agar tindakan segera diambil pihak Biro Aduan Awam Wilayah Persekutuan berdasarkan justifikasi berikut :
1.      Syarikat pemaju juga mempunyai beberapa projek perumahan lain di sekitar Lembah Kelang, dengan rekod sebegini dibimbangi banyak pihak lagi yang akan turut teraniaya. Oleh yang demikian adalah penting bagi pihak Biro Aduan Awam Wilayah Persekutuan merujuk syarikat pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab ini ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

2.      Masalah yang dihadapi penduduk adalah masalah biasa dihadapi pembeli rumah di tempat lain, Cuma adalah luar biasa kepada pemaju ini apabila mereka langsung tidak mengendahkan sebahagian besar aduan penduduk sedangkan rumah yang dibeli dengan harga ratusan ribu mencecah jutaan ringgit itu masih dalam jangkamasa jaminan lagi.


3.      Tindakan wakil pemaju yang bertindak ala gangster bakal mencetuskan pergolakan lebih serius seandainya gagal dikawal. Ini kerana sebilangan penduduk sudah mula bersikap agresif dalam hal ini.

4.      Pemaju seharusnya sensatif dengan isu keagamaan terutama yang melibatkan majoriti umat islam di sini. Disebabkan tiada sensitiviti pihak pemaju sanggup mencetuskan provokasi berkaitan isu solat berjemaah di atas tapak surau yang mereka sendiri tetapkan walaupun kami yakin ia diakibatkan pemaju bimbang reputasi mereka akan terjejas untuk menjual rumah bagi fasa seterusnya kelak, tetapi pihak penduduk berpendirian itu bukanlah masalah kami.


5.      Reaksi pemaju dalam menangani aduan penduduk memperlihatkan mereka amatlah dangkal dalam menjalankan strategi perniagaan ataupun menunjukkan mereka keliru dalam member keutamaan kepada pembeli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang di sini. Sehinggakan penduduk melihat berlaku pelanggaran terma perjanjian antara pemaju dengan pembeli secara amat jelas yang boleh membawa kepada tindakan perundangan pula.

6.      Di mana tanggungjawab sosial pemaju? Dalam beberapa kes terpencil pemaju amat berkira apabila jawatankuasa memohon sumbangan untuk program maulidurasul dan ramah mesra rakyat bersama wakil rakyat YB Dato Zainal Abidin yang juga Exco Kerajaan Negeri baru – baru ini. Tiada sumbangan dihulurkan bahkan permintaan kami untuk meminjam khemah dan beberapa peralatan turut tidak dilayan. Sebagai anak syarikat kepada sebuah entiti perniagaan daripada salah sebuah kumpulan GLC amatlah tidak wajar tindakan syarikat pemaju seperti ini dibiar berlarutan.


7.      Sekiranya pihak Biro Aduan Awam Wilayah Persekutuan masih tidak melakukan apa – apa tinjauan dan aduan daripada pihak kami ini dalam masa dua minggu maka selepas empat belas hari pihak peguam pemerhati akan mengambil tindakan terhadap kedua belah pihak yang diadu dan yang menerima pengaduan bagi pihak kami penduduk di sini. Semoga aduan ini ditangani dengan penuh integeriti kerana ia penting untuk member pengajaran kepada pemaju yang angkuh seperti ini. Sekianlah aduan kami.

sekadar tugasan AEU