Sunday 30 December 2012

PANTUN : PELAJAR MELAYU JOHOR 2013

Bukan mudah mengatur langkah
sejak bertatih kita berlari
alang - alang kita bertingkah
sampai jadi pejuang sejati

Hijau - hijau daun pandan
dibeli saudara dari Mersing
Johor negeri luas handalan
prinsip jangan berpusing - pusing

Di kanan tuan di kiri padi
anak gadis Bunga Melati
orang lama jasa dan budi
pimpinan muda setia bakti

Anak melayu berjalan - jalan
sedang berjalan menara gading
biar dikata sombong lupa daratan
asal jujur tidak berpaling

Pokok asam pokok serai
asam keping juga dicari orang
kalau setia senang terburai
segala jasa takkan dikenang

Bila laksamana bercekak pinggang
goloknya tumpul keris dihunus
pelajar melayu menjadi senang
perjuangan semakin lurus dan tulus

Mohd Farihin Hassan
Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, JB.

Sunday 23 December 2012

Sajak : Kabus Sebenar


KABUS SEBENAR

Sepenuh hati
garis wajah mereka
hidup dalam kabus
awan tipis memayungi

Di tapak tangan
hanya alam
di dada pula ikhlas
di sisi madu dan strawberi
di sebelah ada sayuran segar

Sedang duduk
bangku kamar usang
memerhati gelagat waktu
mendaki rasa yang sejati
lalu menuruni liku
berteman secawan teh

MUHAMMAD FARIHIN HASSAN
Kg Taman Sedia, Pahang

Disiarkan Harian Metro 12 Februari 2013

Friday 14 December 2012

CERPEN


DAN SEGALANYA
LANGIT PETANG
Oleh : Farihin Muhammad Mizan

Selepas menunaikan solat zohor, aku duduk di anak tangga rumahku. Memerhati halaman rumah yang telah digenangi air. Hujan lebat sejak awal pagi semalam ternyata mengundang banjir di kampung kami sebagaimana lazimnya berlaku. Sepatutnya bah tidak akan melanda lagi. Ini kerana pada hujung tahun lalu kerja - kerja pelebaran sungai dan pembinaan benteng telah disiapkan oleh pihak kontraktor. Dengan adanya Projek yang menelan belanja jutaan ringgit itu sepatutnya mampu menyelesaikan masalah penduduk kampung kami. Seluruh penduduk kampung bergembira kerana amat yakin selepas ini kampung kami tidak akan dilanda bah lagi. Ternyata Jangkaan kami meleset sama sekali, apabila musim tengkujuh tiba kali ini, hujan lebat yang mencurah selama tiga hari berturut – turut meranapkan harapan semua orang.
Penduduk kampung langsung tidak menduga dengan kedatangan banjir. Oleh itu, ramai yang langsung tidak bersedia menghadapi musibah tersebut. Apabila Penanda aras yang dipasang di sungai kampung kami mula menunjukkan air bah telah berada di paras berbahaya. Segerombolan pihak penyelamat yang telah tiba sedari awal mula mengarahkan penduduk kampung mengemaskan barang – barang, membungkus dokumen penting dan berharga sebelum berpindah ke tempat yang selamat. Pihak penyelamat berusaha keras mengerahkan penduduk keluar meninggalkan rumah bersama ahli keluarga dan dokumen penting masing – masing, ini kerana kedudukan kampung kami di kawasan yang rendah akan mempercepatkan air naik. Pada tahun lepas beberapa keluarga telah terperangkap, mujur sempat diselamatkan. Oleh yang demikian mereka tidak mahu kejadian yang sama berulang kembali.
Air telah mula mencecah lantai dapur rumahku. Rumah kami sebenarnya terletak paling hampir dengan anak sungai Semerah yang mengalir di belakang rumah tetapi agak jauh dari sungai utama, menyebabkan kami antara yang paling lambat bergerak untuk berpindah. Operasi menyelamat lebih mendahulukan mereka yang tinggal berdekatan dengan sungai. Namun begitu sudah namanya musim banjir, air datang tanpa diundang menyerbu masuk ke halaman rumah penduduk sedikit demi sedikit. Air yang berarus menyerbu ke kaki tangga rumahku saat ini, sejak tadi aku boleh melihat pergerakan air sedikit demi sedikit mula rakus membaham halaman rumah seterusnya merempuh masuk ke tangga rumah. Kuatnya pukulan air hinggakan pasu bunga kepunyaan emak pun terpukul lalu hanyut. Itik serati dan anak – anaknya lincah bermain air begitu juga angsa. Ayam kampung belaan jiran sebelah sudah lama meninggalkan reban bertenggek di dahan pokok rambutan mencari tempat selamat untuk berlindung. Penduduk yang di sebelah sungai besar memang tidak tunggu lama, dua hari hujan berterusan memadai untuk mereka bingkas samaada sukarela berpindah ataupun dipindahkan. Ayah dan emak bergegas mengemas sebagaimana dinasihatkan pihak penyelamat. Semua barangan berharga yang terpaksa ditinggal kami angkut ke tingkat atas rumah kayu ini. Rumah tua ini memang kuat, sejak dibina hampir setengah abad dahulu, ia telah menempuh puluhan kali banjir besar  yang melanda tetapi ia masih tetap utuh. Kata emak pada tahun 1960 an pernah berlaku banjir besar di kampong kami, habis tenggelam rumah ini tetapi jangankan hendak runtuh tiang seri tak bergoncang walau sedikitpun, bahkan tanah simen yang membendung struktur tapak rumah inipun tak terhakis. Cuma ada bahagian tertentu di dindingnya yang nampak jelas dah dimakan usia. Warnanya juga kian kusam mempamerkan teras kayunya.
Aku memang kepenatan, tergesa – gesa mengangkat perabot dan kelengkapan rumah tanpa bantuan sesiapa cukup meletihkan. Sementara ayah, ibu dan adik – adik membuat hal sendiri aku pula mengambil peluang sekali lagi merenung banjir di halaman rumah. Dari tangga ini jelas kelihatan bagaikan rumahku ini sebuah pulau yang berada di sebuah tasik. Hujan masih lebat, sesekali disusuli panahan kilat dan dentuman petir yang berbunyi kecil. Hari mula merangkak ke petang. Pastinya sebentar lagi bot pasukan penyelamat akan tiba untuk memindahkan kami pula ke pusat pemindahan. Dalam suasana itu deruan enjin bot jelas kedengaran melintasi anak sungai di belakang rumah kami ini. Tentunya mereka mengutamakan penduduk yang lebih memerlukan. Iaitu yang semakin dalam bahaya. Sebenarnya dalam keributan itupun masih ada yang ungkal, berdegil meningkah saranan pihak berkuasa agar segera berkemas memandangkan kedudukan rumah mereka paling berisiko tinggi. Di saat akhir seperti ini sudah terhantuk baru nak terngadah, penyelamat terpaksa berpatah balik, ternyata ia menjejaskan operasi tersebut. Dengar katanya beberapa buah keluarga yang berdegil itu sudah terkandas, ada yang dah memanjat bumbung rumah bersama barangan malahan ada yang turut mengheret haiwan ternakan mana yang boleh mana yang sempat dibawa untuk diselamatkan.
Aku berteleku, hujan lebat terus menerus, rintik – rintiknya bagai irama menghiasi langit petang itu. Tiba – tiba dalam leka aku bermenung, terpandang olehku akan sebuah objek yang hanyut di perdu pokok rambutan di luar pagar sebelah kanan halaman rumahku. Aku yakin Ia dihanyutkan air bah yang makin meninggi dan sedikit deras itu. Pada mulanya aku sangkakan yang aku berkhayal tetapi rupanya tidak. Aku memang masih di alam nyata. Apa yang pasti Aku ternampak kelibat sesuatu yang terapung. Sebaik kuamati dari jauh, Rupanya ia adalah sebuah peti berwarna hitam sebesar bateri kereta. Aku pasti yang ia bukan datangnya dari rumahku.ini kerana sebelum ini aku tidak pernah melihat peti hitam itu. Barangkali Ia dihanyutkan dari arah kebun kelapa yang terletak di antara rumahku dan anak sungai di belakang rumah kami. Rupa bentuk peti hitam itu amat menarik perhatianku, Ia dikelilingi corak kerawang berwarna emas dan dari sejauh aku nampak jelas di atasnya ada beberapa patah kata ditulis dengan tulisan jawi iaitu di atas penutupnya. Peti itu nampak usang, Tulisan dan coraknya tampak lusuh sangat. Pada fikiranku ia tentu barangan antik yang tinggi nilai harganya. Apabila aku lebih teliti baru kusedar yang ia bukan sebuah peti biasa sebaliknya sebuah peti besi yang misteri kerana aku tidak pernah melihatnya sebelum ini dan ia dihanyutkan pula dari arah belukar bersebelahan kebun kelapa sawit berhampiran rumahku. Ya itulah objek yang berkilat –kilat dapat kulihat dari jauh tadi, itulah yang membuatkan lama aku bermenung di situ. Kini jelas ia sebuah peti besi yang terus aku amati lebih teliti. Bayangan misteri itu entah mengapa tiba – tiba berlegar di mindaku. Di saat ini juga pelbagai cerita misteri yang pernah kubaca berebut menerjah fikiran.
Peti hitam berkerawang emas makin terumbang - ambing dibawa deras air. Ia  meningkatkan keinginanku untuk lebih menyelidiki asal usul peti berwarna hitam itu. Aku berasa teringin benar untuk mengetahui apa isi kandungannya. Barangkali ada barang berharga seperti emas atau berlian di dalamnya. Pelbagai kemungkinan menyesakkan fikiranku. Aku mula tercari – cari, mataku melingas memeriksa sekitar dalam rumah menerpa untuk mendapatkan sesuatu yang boleh mengait peti hitam tersebut ke arahku. Alangkah baiknya kalau aku ada sebatang galah yang panjang ketika ini.
Sedaya upaya aku mencari sesuatu yang mampu mengait peti hitam misteri yang hanyut itu namun usahaku menemui jalan buntu. Peti hitam terus bergolek – golek di permukaan air. Semakin ia bergolek semakin membuak perasaan di dadaku untuk mendapatkannya.
Akhirnya aku nekad membuat keputusan untuk cuba meredah air bagi mendapatkan peti hitam tersebut. Hanya dengan merapatinya sahaja akan dapat merungkai segala pertanyaan ini. Namun menilai keadaan air yang makin naik dan deras pula airnya, ia amatlah bahaya terutamanya untuk orang bertubuh genit sepertiku ini yang ringan mudah dihanyut air. Pasukan penyelamat pula akan sampai pada bila – bila masa sahaja untuk memindahkan keluarga kami. Kalau aku minta izin dari mak dan ayah sudah tentu mereka tidak akan membenarkannya. Terpaksalah aku curi – curi keluar tanpa pengetahuan mereka.
Aku menyinsing lengan baju dan seluar panjang yang kupakai. Rambut aku ikat sanggul biar mudah pergerakanku nanti. Sejujurnya Untuk terus berjalan meredah air bagi mendapatkan peti hitam itu membuatkan aku cukup takut. Yang kubayangkan ialah laluanku nanti terlalu dekat dengan parit besar yang terletak di hadapan rumahku itu. Kini parit itu sudah tidak kelihatan kerana ditenggelami air bah.
Bahkan pokok bunga kertas setinggi budak yang banyak ditanam oleh ibu memagari halaman rumah kami juga kini hampir tidak kelihatan kerana dilitupi banjir
Dengan air yang keruh sebegitu pada bila bila masa sahaja dengan mudah aku boleh tergelincir atau terjerumus ke dalam parit dan pusaran air yang semakin deras. Lagipun aku tidak tahu sedalam mana air bah di hadapan rumahku ini dan airnya pun mungkin teramat deras. Kalau tidak masakan peti hitam diperbuat daripada besi seberat itu boleh hanyut sampai ke sini. Aku sememangnya takut tetapi perasaan ingin tahu telah mengatasi segalanya. Aku mesti dapatkan peti itu walau apa yang terjadi, kalau kaki dah tak mencecah tanah nanti, terpaksalah aku berenang pula. Alangkah baiknya kalau ada pelampung, gerutu hatiku sendiri.
Kakiku mula mencecah air, kalau tadi daripada sepuluh mata anak tangga rumahku hanya tiga daripadanya ditenggelami air tetapi kini lima daripadanya sudah tenggelam. Sebaik terendam dalam air baru kutahu yang air sudah separas betis kemudian lutut sampai ke pinggang. Aku jangkakan kalau aku bergerak lebih laju, peti hitam akan segera berada dalam genggamanku. Aku mesti pastikan misi ini berjaya, ini kerana aku bimbang tindakanku ini disedari ayah, ibu dan adik – adikku yang lain sebaik mereka menyedari aku sudah tidak ada di rumah. Kalau hal ini diketahui tentu aku teruk dimarahi nanti terutamanya oleh ibuku.lagipun sebelum maghrib nanti bot penyelamat tentu akan sampai ke rumah untuk memindahkan kami sekeluarga.
Mengharung banjir bukan semudah disangka. Apabila air telah sampai ke dada aku panik sekejap. Sepuluh meter lagi aku hendak sampai ke peti besi yang sedang terapung – apung itu, tanpa disangka air sudah di paras mulut mencecah hidung. Aku tercungap dan tidak semena kakiku sudah tidak lagi menjejak tanah, beberapa saat kaki bagai terjerlus ke lubang yang dalam. Dalam situasi cemas itu aku tenggelam, tangan terkapai – kapai. Sekali aku berpeluang melonjakkan tubuh, aku gunakan untuk menjerit meminta tolong namun suaraku seolah tersekat di kerongkong. Pandanganku berpinar, mata jadi pedih tetapi sempat aku toleh ke arah peti besi tadi dan ia hilang daripada pandanganku. Tubuhku ditelan arus pula, dalam perangkap itu aku dihanyutkan deras air di bawah pemukaan. Tangan kiri tersentuh pagar kayu rumah yang terendam oleh banjir, walaupun di saat itu air yang keruh menghalang pandangan aku dapat mengagak itu pagar rumah yang dibina ayah. Dengan sepenuh kekuatan tangan kiriku aku menolak sekuat hati, tubuh terlonjak mengikut arus air. Aku berjaya timbul semula dan cuba mengapungkan diri sambil itu aku cuba memekik lebih kuat lagi dengan harapan ibu dan ayah terdengar dan membantuku yang hampir lemas di halaman rumah sendiri. Tetapi ia tidak lama, semasa kakiku mengais – ngais dasar air tiba – tiba terasa ada suatu yang menjepit kaki. Makin ku cuba lepaskan benda asing itu memeritkan kakiku bagai menggigit. Rempuhan air sekali lagi menolakku ke dasar sehingga aku rasa dipeluk oleh sesuatu yang panjang berselirat dan bergigi. Pelbagai bayangan muncul tentang apakah yang cuba mencengkam dan membelit kakiku ke dasar air. Adakah ia binatang yang hanyut dari arah sungai atau makhluk aneh yang menurut penduduk akan muncul setiap kali waktu banjir di kampung kami.

Aku menguak air cuba mencari udara untuk bernafas. Saat – saat yang penting itu aku dapat berfikir mengenang semula pada suatu petang ketika ayah membina pagar kayu yang mengelilingi separuh halaman rumah kami, ibuku pula sibuk mencantas rimbunan tebal pokok bunga kertas berdekatan dengannya. Ibu memang suka pokok bunga kertas, sebelum ada pagar yang dibina ayah, pokok itulah yang memagari sebelah kanan halaman rumah kami. Pokok bunga kertas boleh dikatakan pokok yang sentiasa berbunga, pada waktu pagi dan petang juga selepas hujan apabila aku melihat bunga – bunga kertas yang jatuh ke bumi, ia memang memberi sesuatu inspirasi yang tidak terluah ahupun mampu ditulis. Pokok bunga kertas selain mencantikkan perkarangan rumah kami, ia juga mudah dijaga, mungkin kerana itulah ibu gemar menanamnya.
Aku yakin bahawa aku terperangkap di rimbunan pokok bunga kertas ibu. Gigi yang aku sangkakan tadi tentu durinya dan aku tentu terperosok di tengah rimbunan yang tebal itu, kerana itu aku rasakan bagai terperangkap. Bersusah payah melepaskan diri dalam masa sama aku hampir lemas, akhirnya aku dapat melepaskan diri daripada keadaan nyawa umpama di hujung tanduk tadi. Tubuhku serta merta menjadi lembik akibat penat yan keterlaluan, mujur juga aku pandai berenang namun sudah tidak berdaya melawan asakan air, apa yang termampu aku lakukan hanyalah mengapungkan diri seberapa terdaya. Air yang semakin deras menghanyutkanku. Kakiku kejang, aku cuba aku menahan keadaan itu. Peti besi yang aku buru hilang entah ke mana. Ia bagaikan lenyap sekelip mata sedari awal aku lemas tadi. Dalam keadaan separuh sedar aku terpandang di celahan pokok kelapa sawit berdekatan peti besi itu tadi, satu susuk tubuh manusia berkelubung hitam berdiri membelakangiku. Kakinya mencecah air, wajahnya tidak kelihatan dan langsung tidak menoleh ke arahku. Perlahan – lahan manusia serba hitam itu berjalan di atas air meninggalkanku. Mataku mengecil hanya membiarkan lelaki asing itu menghilang, ia seolah jelmaan kepada peti besi hitam sebelum ini yang muncul ketika hujan semakin lebat turun dari langit petang tadi semata – mata bagi memperdayakanku agar turun ke air sedangkan ia amatlah berbahaya. Segalanya yang aku hadapi tadi semakin samar. Ia bagaikan imaginasi dalam khayalanku ketika aku dalam keadaan separuh sedar selepas bergelut antara hidup dan mati dalam air banjir yang melanda kampungku.

Langit petang menemui waktu maghrib juga akhirnya. Suasana di kampung kami masih sama bahkan cuaca semakin buruk. Hujan semakin lebat diselangi guruh berdentum dan kilat yang sambar menyambar. Sayup – sayup azan di masjid terdekat tetap setia menghebahkan seruan azan. Dengan kehendakNya aku tersedar. Namun mataku terpejam rapat. Mindaku terjaga dari lena yang panjang dan sangat memenatkan fikiran. Tubuh pula mengalami keletihan melampau sehinggakan tatkala aku dapat mendengar suara riuh rendah manusia  di sekelilingku, mataku masih pejam dan tidak dapat beri sebarang tindak balas. Tubuh terasa terangkat dan dirangkul pula seseorang. Dalam kebasahan, kesejukan yang mencengkam urat berurat dan menikam tulang belulangku, itu aku memaksa diri membuka mata. Sedikit demi sedikit, kelopak mata cukup berat tetapi aku tetap gagahi. Ada bunyi bising yang sungguh kasar menyerbu gegendang teinga.
Rupanya ia bunyi enjin bot pasukan penyelamat. Aku baru diberi bantuan pernafasan. Berada di kiri dan kananku di atas bot itu adalah ibu, bapa dan adik beradikku yang lain. Sebaik aku membuka mata keluarlah air mata jernih bercampur hujan. Kami semua menangis tanpa sebarang kata. Aku cuba duduk kerana tidak lagi selesa berbaring. Ibu memeluk dan menyelimutiku. Dia bersyukur anaknya selamat. Ayah kulihat lega, dia hampir menyangka yang keluarga kami akan kehilanganku. Tuhan maha berkuasa memberikan kita sesuatu. Bukan hujan dean banjir yang cuba membunuhku. Nyawaku ditaruhkan kerana aku berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang belum pasti. Entah apa sebenarnya yang aku kejar tadi. Samaada peti besi hitam itu wujud atau tidak aku sendiri tidak pasti dan siapa pula manusia berkelubung hitam itu tadi. Apakah semua ini khayalan atau imiginasi ataupun permainan senda gurau makhluk tuhan lain yang turut mendiami bumi ini. Segalanya tiada yang pasti. Apa yang pasti hanya satu iaitu banjir telah menguji keimanan kami. Rumah orang kampung banyak yang rosak teruk. Kemudahan jalan raya pecah di sana sini. Tiang elektrik dan telefon tumbang. Paip air bocor. Barang berharga seperti kenderaan tenggelam, perabot, pakaian, buku, peralatan sekolah dan seumpamanya ada juga yang dihanyutkan. Banjir melenyapkan segala harapan, ia juga seolah ‘membersih’ secara tersirat. Aku sentiasa berdoa agar sentiasa dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan. Kini baru kusedar yang semua itu tidak semestinya diberi kepada kita secara terus dari sebuah langit yang terbentang tetapi peuang untuk mendapatkannya telah diberi.
Di atas bot itu di kala langit petang bertukar merah, aku dapat melihat seluruh kampungku yang tercinta. Mujur ada bot penyelamat, saat itu semua penduduk putus hubungan. Dewan badminton dijadikan pusat penempatan banjir. Sekolah pun ditenggelami air. Kasihan sekolahku. Rumah – rumah, Balai Raya habis rosak teruk. Pelbagai peralatan rumah dihanyutkan termasuk pekakas dapur, perhiasan rumah dan barangan letrik milik penduduk. Segalanya punah. Di beberapa rumah terutama rumah batu, terdapat rekahan pada dinding tembok yang dibina. Banjir ini mengingatkan aku tentang banjir yang lepas, kita manusia biasa berusaha dan merancang sesuatu cuba mengatasi tetapi perancanganNya lebih mengatasi, banjir tahun ini dua kali ganda lebih dahsyat lagi. Melalui hadapan masjid kampungku, ia tetap dilingkungi air bah itu tetapi penduduk kampong tahu seperti selalu, ada air banjir yang masuk tetapi tidak terlalu menjejaskan struktur dan keselesaan jemaah masjid. Cuma perlu sedikit kerja pembersihan dan rumah Allah it terus boleh digunakan seperti sedia kala bahkan banjir langsung tak merosakkan apa – apa. Aku renung bencana kiriman Allah itu sedalamnya. Banyaknya hikmah di sebalik musibah ini yang Kau berikan dan aku bersyukur. Bah mengajar kita banyak makna agar selaku hambanya kita janganlah terlalu banyak mengeluh dan suka bersungut. Dan segalanya di kala langit petang itu mula dilitupi mendung hitam, menandakan hujan bakal mencurah lebih lebat dan lama lagi.

           





CERITA KANAK - KANAK :


ELENA TERJUMPA ROBOT CABIN
Oleh : Farihin Mohamad

Elena termenung di jendela rumahnya. Dia cuba mencari ketenangan dengan melihat cantiknya bulan yang terang dan bintang yang berkelip – kelip. Langit pula cerah dan lapang tanpa awan. Tetapi hati Elena masih tidak gembira. Dia masih risau memikirkan peperiksaan yang bakal menjelma. Apa akan jadi kalau dia gagal mendapat keputusan cemerlang. Tentu cita – citanya untuk menjadi juruterbang tidak akan tercapai dan ibu bapanya juga pasti kecewa. Elena juga merajuk dengan kedua ibu dan bapanya, kerana Elena menganggap mereka terlalu mendesak mahu dia berjaya dan menjadi anak yang baik. Ibu sering berleter kalau dia malas membantu mengemas rumah. Ayah pula akan marah sekiranya Elena tidak membaca buku dan mengulangkaji pelajaran. Namun Elena sedar yang mereka hanya mahukan yang terbaik untuk anak kesayangan mereka.
‘Kasihan ibu dan ayah, tentu mereka kecewa kalau saya tidak lulus nanti,’ kata hati Elena sendirian. Dia rasa seperti mahu terus berlari ke arah langit, mungkin dengan itu masalahnya akan pergi jauh. Hatinya memang gundah gulana malam itu. Suasana malam pula agak berlainan daripada biasa. Ia amat sunyi disusuli dengan angin bertiup kencang. Tiada bunyi unggas dan burung yang selalunya riuh pada waktu malam. Dalam kesepian malam itu, tiba – tiba Elena terpandang sebuah objek aneh melintas sepantas kilat di langit. Cahaya daripada objek itu begitu jelas terpancar menuju ke sebuah bangsal di atas bukit yang tidak jauh dari rumah Elena. Cahaya tersebut menerangi kawasan sekelilingnya buat seketika kemudian ia mengecil dan terpadam. Elena ternyata amat kaget melihat kejadian tidak dijangka itu.



Dia agak cemas tetapi segera terfikir untuk menyiasat apakah objek itu sebenarnya. Walaupun dia takut tetapi perasaan ingin tahu mengatasinya. Dengan senyap – senyap dia menyelinap keluar supaya ibu bapanya tidak tersedar. Elena mencapai basikal dan dengan bertemankan lampu suluh dia terus mengayuh basikalnya ke bangsal yang terletak tidak jauh dari sebuah ladang gandum yang terletak bersebelahan rumahnya. Berpeluh – peluh Elena, dia agak kepenatan berkayuh menaiki bukit untuk menuju ke bangsal itu. Setibanya di hadapan bangsal Elena memberanikan diri untuk melihat tempat objek aneh bercahaya itu jatuh tadi. Kali ini Elena melihat ada cahaya seperti lampu kapal terbang yang berkelip – kelip berwarna merah keluar dari celahan dinding bangsal using itu. Rupanya objek aneh yang jatuh melayang dari langit tadi jatuh merempuh bumbung bangsal. Elena merapati pintu bangsal dan membukanya perlahan – lahan. Sebaik daun pintu terkuak alangkah terperanjatnya Elena sebaik melihat apa yang ada di dalam bangsal itu.
Rupanya objek aneh tadi adalah sebuah robot yang diperbuat daripada sejenis kertas keras. Kepala, badan, tangan dan kakinya seperti bahagian – bahagian kotak yang disambung atau dicantumkan. Asap putih nipis berkepul – kepul keluar di sekelilingnya. Cahaya merah tadi terhasil daripada mentol lampu di dadanya. Badannya berwarna merah jambu, sepasang matanya kuning seperti lampu kereta. Robot itu terbaring di atas timbunan makanan kuda. Pada mulanya Elena menyangkakan ia telah mati kerana robot itu sudah tidak bergerak – gerak tetapi Robot itu bingkas bangun sebaik menyedari Elena masuk merapati dirinya. Elena menjadi panik. Dia takut melihat robot itu seperti mahu menangkapnya dan seakan mahu memberitahunya sesuatu.
“ Jangan takut Elena”, kata robot itu selepas melihat Elena ketakutan dan mahu lari. Suaranya bergetar seperti terkena aliran elektrik. Elena pula tersentak kerana robot itu tahu namanya dan boleh berkata- kata. “Siapa awak ? dan bagaimana awak tahu nama saya? ”, soal Elena kepada robot yang bertubuh kecil itu. Saiznya lebih rendah daripada Elena. “Oh saya ialah Robot Cabin,” datang dari Planet Masa Depan. “Setiap hari saya lalu di sini memerhatikan awak Elena”. Jawab Robot Cabin. Elena terpaku sejenak. “Saya sering melihat awak dimarahi ibu kerana tidak membasuh pinggan selepas awak makan, awak juga selalu malas mengemas bilik dan lain – lain lagi,” sambung Robot Cabin sambil tersenyum sinis. “Oh ya, ayah awak pun selalu menasihati awak supaya tekun belajar, jangan malas dan leka menonton televisyen sahaja, malah saya selalu melihat awak menunggang basikal pergi ke sekolah dan membeli aiskrim Elena.” Ujar Robot Cabin lagi. Perasaan Elena bercampur baur sebaik mendengar kata – kata Robot Cabin. Dia kehairanan bercampur geram kerana seolah Robot Cabin mengintai gerak gerinya selama ini, sedangkan dia sendiri tidak pernah kenal Robot Cabin. “Apa awak nak sebenarnya?”, soal Elena. “Saya tidak kenal awak, kenapa awak mengganggu hidup saya?,” Desak Elena lagi melontarkan persoalan yang terpendam di dadanya kepada Robot Cabin.
Robot Cabin bergerak ke arah Elena. Terdapat sepasang sayap seperti roket di belakangnya yang mengeluarkan cahaya laser. Robot Cabin mengapungkan dirinya seperti helikopter yang mahu terbang. Tapak kakinya mula mengeluarkan cahaya, ia tidak menjejak tanah. Robot Cabin bergerak terbang, dia di awang – awangan sambil merenung Elena. Lampu merah di dadanya telah bertukar menjadi warna hijau. Tubuhnya nampak canggih sekali. “Elena, saya ini robot berteknologi canggih, saya juga murid sekolah seperti awak di planet saya, saya rajin pergi ke sekolah setiap hari untuk belajar dan mendapat ilmu, suatu ketika dahulu planet saya aman dan damai tetapi sekarang tidak lagi kerana ada robot dari planet lain yang cemburu melihat kejayaan kami telah menyerang planet kami yang tercinta itu,” terang Robot Cabin panjang lebar. Dia menyambung lagi, “ramai askar robot kami yang tewas dan ramai juga yang masih bertahan, planet kami huru hara dan kacau bilau tetapi saya masih perlu ke sekolah. Ibu bapa saya pula sudah tidak lagi perlu menasihati saya supaya belajar kerana mereka sudah tidak ada lagi. Oleh kerana itu semakin hari semakin saya rajin dan gigih belajar untuk mendapatkan ilmu walaupun planet kami sedang berperang” nada suara Robot Cabin tersekat – sekat kerana sedih.
“ Saya dan ramai lagi kawan sekelas saya yang lain tidak berputus asa. Kami rajin mengulang kaji pelajaran. Oleh kerana itu kami tidak risau untuk menghadapi peperiksaan dan tidak akan bersedih kerana gagal di kemudian hari seperti yang awak akan alami sekiranya awak masih malas belajar dan suka membuang masa”. Kata Robot Cabin, dia tertunduk menahan sebak selepas itu kerana teringatkan ibu bapanya yang hilang dalam peperangan. Elena mahu bertanya lagi tetapi dia juga terdiam. Bimbang pula Robot Cabin terguris hati. Elena memang kagum dengan Robot Cabin, dalam masa yang sama sedih mendengar cerita Robot Cabin. Kata – kata nasihat Robot cabin juga sangat menyentuh hatinya, dia sedar semuanya itu memang benar.
“Err… kalau begitu mengapa awak ada di sini pada hari ini wahai Robot Cabin?,” Elena memberanikan diri bertanya kepada kawan baharunya itu.
“Elena, tadi saya dalam perjalanan ke sekolah tetapi terjatuh ke bumi ini kerana laluan kami ke sekolah telah dibom oleh pihak musuh. Jarak sekolah saya sekarang semakin jauh kerana pihak musuh cuba menghalau kami dari planet kami sendiri. Banyak robot bangsa kami yang terkandas di stesen angkasa dan menjadi pelarian. Sukarnya perjalanan hidup kami. Oleh itu belajarlah bersungguh – sungguh Elena, di sini awak sangat bernasib baik. Planet awak aman, segalanya ada di sini. Kebahgiaan, ketenangan dan kesejahteraan akan bakal awak kecapi sekiranya awak rajin dan sedar tentangnya”. Kata Robot Cabin.

Elena berkata pula, “wahai Robot Cabin, bukankah ramai lagi budak lain di sekolah saya dan di ladang ini, kenapa hanya saya yang awak perhatikan?.
“Oh…suatu hari nanti awak akan tahu juga kenapa awak terjumpa saya hari ini Elena. Awak jangan risau, saya Robot Cabin dari Planet Masa Depan, saya harap awak akan berjaya dalam hidup. Kita akan jadi kawan pada masa depan. Janganlah jemu berusaha, hormati ibu bapa dan sayangilah kawan – kawan awak. Kalau awak dalam kesusahan saya akan bantu awak selagi saya ada. Jumpa lagi pada masa depan Elena, saya Robot Cabin dari Planet Masa Depan, saya sentiasa ada di atas sana dan akan terus memerhatikan awak walau di mana awak berada.

Wednesday 12 December 2012

SENYUMLAH SAUDARAKU




Saudaraku
bersabarlah, tenang
bisa sudah menjalar
racun menyerap di segenap
urat beruratmu sehalus

Saudaraku
sambung kembali senyummu
dahulu ia penghembus semangat
penawar parah luka
kepada penabur keringat
pejuang wasiat

Saudaraku jangan bersedih
tahan kesakitan ini
terimalah ia seadanya
bahagian kita ini

Memang perit lagi menahan
teruslah bertahan
putih tulang sekalipun
pantang kau undur langkahmu
dan kita kan sampai jua
hidup mahupun mati

Muhammad Farihin Hassan
Kg Sinaran Baru, Johor Bahru
12.12.12

Tuesday 11 December 2012


Seolah Gerimis Senja

Merasakan adanya
titisan demi titisan ini
beerti awan mengayuh cuaca
hati pula masih mendambakan

Keluhan bergelut
dan gumpalan sesal di dada
membeku setelah menyatu
membentuk corak dan warna
mengeluh berkaca – kaca berkilat
menghela dalam hembusan
yang mengapung hampa
dan membiaskan harapan

Gerimis boleh teduh
walau lamanya masa
seteguh langit teguh lagi ia
dan sudahnya kebasahan juga

Senja ini bukan biasa
seolah tiada mengapa
berpaut terus dengannya
hujan lebat bertemu malam


Muhammad Mizan

(Disiarkan Harian Metro, 4 Disember 2012)