Friday 15 February 2013

SELAMAT TINGGAL 2012


MERIAHNYA TAHUN BARU CINA 2013,

tetapi kurang dapat buah limaulah tahun ni, apa tandanya?


Seminggu cuti rasa terlalu lambat putaran jam bergerak. Di sana sini kemeriahan rakan - rakan berbangsa tionghua menyambut tahun baru dapat kita lihat. Sebenarnya cuti yang agak lama ini menjadikan kita lebih merasakan kemeriahahan sesuatu perayaan betul tak?, sepanjang cuti memberi saya banyak masa untuk diluangkan bersama keluarga di kampung yang penuh dengan sejarah hidup, cuti juga memberi ruang kepada saya melaksanakan tugas sebagai Setiausaha dalam sebuah badan bukan kerajaaan yang saya sertai dan entah dari mana kerajinan saya muncul untuk menelaah nota dan menaip serba sedikit tugasan universiti saya yang bertimbun - timbun di atas meja itu. Walaubagaimanapun nyata saya gembira dengan kesibukan kerja ini. Ternyata cabaran hidup yang melanda dua atau tiga minggu ini langsung tidak melemahkan semangat saya apatah lagi untuk melunturkan tenaga dan kekuatan jiwa saya tidak sama sekali bahkan saya bertambah kuat dan perkasa. Untuk berjaya kita mesti tukar semua masalah kita kepada peluang, itu yang dipesan seorang budak perempuan kepada saya suatu masa dahulu yang saya masih ingat dan amalkan sampai sekarang. Itu resipi utama kejayaan beliau dalam mencapai kecemerlangan pelajaran.

Telah kita tinggalkan 2012 sebulan lebih yang lalu. Ia antara tahun yang terbaik antara yang pernah saya ada di sepanjang hidup ini. Tahun 2011 juga bagus tetapi ketika itu kenangan dikhianati dan hari - hari gelap yang saya lalui pada 2009 hingga 2010 cukup menghantui diri. Rasa kecewa dan kesal masih menebal. Ia pengajaran berguna buat saya dan saya akan rungkaikannya di ruangan khas akan datang jika masih punya umur. Saya mahu orang yang selepas saya tahu cerita sebenar dan jangan terpedaya dengan fitnah orang. Saya pergi tidak membawa sekeping syiling pun melainkan bebanan kerugian, penyeksaan, penganiayaan dan segala bentuk kerumitan selain malu dengan keluarga, teman dan insan terdekat yang mana telah banyak saya susahkan hidup mereka selama ini demi seorang insan yang saya sanjung.  Dalam masa sama ada orang yang saya angkat dan julang dulu senyum sahajalah langsung tidak mempedulikan nasib saya, bertanya khabar pun tidak. Maklumlah dengan poket penuh, mata benda yang menjamin segalanya yang dia ada maka apa perlunya saya lagi. Disampingnya ada dua insan yang penuh kesumat dendam dan iri hati. Hari ini kamu semua bergembiralah, doa orang teraniaya pasti akan dimakbulkan, tunggu sahajalah. Moga Allah ampuni mereka dan saya. Tidak ada untungnya hidup dalam lautan kemarahan, semuanya sudah ditentukanNya. Demi ketenangan sendiri saya redhakan semuanya.

Oh ya di sebalik kegembiraan bercuti ini, saya baru sedar tahun ini limau sangatlah kurang masuk ke pintu rumah saya. Apakah ertinya ini semua?. Bunyi mercun pun berkurangan nak dibanding dengan tahun lalu. Cuti yang panjang terasa lambat habis. Masam manis limau pun rasa tak puas tetapi tetap bersyukur kerana kawan baik saya Ah Chuan ada hadiahkan buah kesukaan saya itu selain yang dihantar oleh sesiapa yang tidak dikenali di pejabat. Ada juga teman yang pesan jangan makan banyak sangat kerana kononnya boleh sebabkan batuk dan seumpamanya. Cuma letusan tahun baru yang agak mendatar kali ini memang saya rasai. Dalam masa sama iklim politik negara sedang berada di kemuncak. Harap - harap situasi ini bukan petanda buruk buat yang sedang demam kuasa dan kepada yang dah cuba - cuba baju baharu tu. Hahaha.

Limau biar kurang, mercun pula biarpun perlahan sedikit bunyinya tahun ini, semua itu tidak mengapa kawan, tapi harapnya janji dan semangat dahulu oleh orang terdahulu daripada kita hendaknya jangan mudah dilupakan. Itu janji kita tu oleh orang tua kita demi kebahagiaan dan kelangsungan hidup kita dan anak cucu kita nanti. Namun begitu pintu kosensus memang sentiasa terbuka. Kalaulah ada tawaran yang lebih baik demi kejayaan Malaysia yang lebih dihormati, makmur dan maju, apa salahnya untuk kita ganding bahu bersama. Gunung tu besar, tinggi, keras dan kukuh. Mari kita mula membinanya bermula dengan menyusun batu -batu kecil dahulu.

ORANG JAHAT AKAN MENANG KALAU ORANG BAIK BERDIAM  DIRI


MUHAMMAD FARIHIN HASSAN