Wednesday 10 July 2013

SUNGAI NAN BERLIKU (I)




SUNGAI NAN BERLIKU (I)

Suatu hari di sungai
yang sentosa aman  
hidupan yang kehausan 
dan hutan kekeringan
dijabat kerakusan buaya - buaya
nan meliar

Lalu segala kawanan haiwan
digamit ke liku sungai
dijanjikan jernih dan segar
asal bangkai - bangkai hanyut
diusik jangan
melata binatang datang
habitat buaya - buaya lapar

Wahai penduduk tebing sungai
bukankah dia buaya merajai hutan
yang kalian nobatkan
lalu diberi sisa habuan
nanti dibalas kemudian
umpan tuk kenangan

Musim hujan pula
semuanya pulang sarang
bangkai - bangkai besar
dalam senyap - senyap
dilapah sendirian - kekenyangan
di kala hari perhimpunan rimba
ketibaan buaya pun diumumkan
semua binatang bangun

MUHAMMAD FARIHIN HASSAN
Johor Bahru
1  Ramadhan 2013

HUJAN BERCURAHAN (Selamat Mencintai Bulan Ramadhan)


HUJAN BERCURAHAN
(Selamat Mencintai Bulan Ramadhan)

Tiba - tiba hujan
hati aman bercurahan
ada titisan memercik
ke wajah hambaNya

Begitu Ramadhan 
mendamaikan insani ini
menyantuni sanubari murni
umat kesayangan ilahi

Dia kasihkan kita
bak hujan mencucuri
setiap hari berdoa
memohonNya mencintai kita
dan Dia berikan cinta itu
buat kita jatuh cinta 

Dalam lebat hujan
angin bertiup membawa sekali
haruman, yang sukar diluahkan
dimiliki maha pemberian
empunya sekalian alam

MUHAMMAD FARIHIN HASSAN
Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

TEMAN PEDOMAN


TEMAN PEDOMAN
 
Haruskah berani
apabila kebenaran mereput
kekuatan melawan hapus
ingin sewenangnya terbang
pegangan pula tegang
 
Kita di sini belum lagi
boleh pulang renggang
ini kerana kita asalnya
dihantar bukannya didatangkan
 
tugas menghimpun lantas
bukannya sekecil anak
apinya marak membakari
jurangnya pula mendalam
mengambus sesiapa sahaja
yang lekas lemah
mudah puas lemas
 
Di penghujung merah
banyak kisah pemergian
kemas tercatit di dada langit
segunung pendahuluan pun
tersejat dalam rekahan
yang bubar kabus
agar adanya jalan
dan teman pedoman
 
MUHAMMAD FARIHIN HASSAN
Asia e University
23 Jun 2013
 
(Mingguan Malaysia, 7.7.2013)

KUARTO KOSONG BERSIH



KUARTO KOSONG BERSIH

Seorang lelaki muda
sedang leka melukis
pada sebidang kuarto kosong
bersih daripada sebarang
warna - warna hilang

Entah apa membawanya
melakar pelangi petang tadi
garisnya bertindihan pergi
warnanya pulang lagi

Tiba - tiba, sekeping akal
menyuruhnya membuat lukisan
yang mengajar masa depan
menulis harapan juga dambaan
bagaikan pokok hutan
yang tumbuh rimbun mengukuh
dari zaman berzaman

Lelaki tadi lama bermenung
perlahan - lahan api dihidupkan
daripada kecil pemetik api
semua lukisannya direnyukkan

MUHAMMAD FARIHIN HASSAN
Asia e University

(Berita Harian Ahad, 30 Julai 2013)