Saturday 6 October 2012

Tiada Guna Bersajak Lagi




Kertas kaca berbahasa
dihempas ke lantai kuasa
pecah berderai menjadi serpihan rasa
terlempar di sudut derita

Harga bukan ukuran
kerana hati bukan juri sebenar
ia cuma lantaran kedangkalan
watak - watak berlagak tuhan
kononnya negarawan
berotak tetapi akal keciciran
bergelar tetapi ibarat hancur berkecai

Musnahlah harapan pencinta peribahasa
penghibur pincang seninya
mengambil alih kebenaran
diraikan, dijulang seisi negara
tingginya menjulang bayaran 
makin berselera picisan
yang berjiwa tegar di pinggiran 

Entah sudah tidak berguna
kesusasteraan tidak berpunya lagi
puisi dan pantun pun bukannya mahal
di lubuk hati tidak, di kaca mata bukan
semua sajak murahan
seni gurindam adalah lawak
pantun cuma satu sen
di gerai peradaban dijaja begitu sahaja
mentanglah harganya bukan dengan kertas berlukis raja

Penulisan di muzium bangsa di akhbar nusa
senasib lelongan atau baik dibakar sahaja
idea terbuang didagangkan nafsu bermaharajalela
bajet pun tiada demi masa depan naskah karangan
penilaian pimpinan dan rakyat era moden 
terhadap karya memang mencurigakan
kita makin maju atau makin berundur ke abad penjajahan
buta sastera bererti tuli peribadi
justeru untuk apa bersajak lagi

Muhammad Farihin Hassan
Jalan Kapten Mohd Amin, Johor Bahru


No comments:

Post a Comment