Friday 14 December 2012

CERITA KANAK - KANAK :


ELENA TERJUMPA ROBOT CABIN
Oleh : Farihin Mohamad

Elena termenung di jendela rumahnya. Dia cuba mencari ketenangan dengan melihat cantiknya bulan yang terang dan bintang yang berkelip – kelip. Langit pula cerah dan lapang tanpa awan. Tetapi hati Elena masih tidak gembira. Dia masih risau memikirkan peperiksaan yang bakal menjelma. Apa akan jadi kalau dia gagal mendapat keputusan cemerlang. Tentu cita – citanya untuk menjadi juruterbang tidak akan tercapai dan ibu bapanya juga pasti kecewa. Elena juga merajuk dengan kedua ibu dan bapanya, kerana Elena menganggap mereka terlalu mendesak mahu dia berjaya dan menjadi anak yang baik. Ibu sering berleter kalau dia malas membantu mengemas rumah. Ayah pula akan marah sekiranya Elena tidak membaca buku dan mengulangkaji pelajaran. Namun Elena sedar yang mereka hanya mahukan yang terbaik untuk anak kesayangan mereka.
‘Kasihan ibu dan ayah, tentu mereka kecewa kalau saya tidak lulus nanti,’ kata hati Elena sendirian. Dia rasa seperti mahu terus berlari ke arah langit, mungkin dengan itu masalahnya akan pergi jauh. Hatinya memang gundah gulana malam itu. Suasana malam pula agak berlainan daripada biasa. Ia amat sunyi disusuli dengan angin bertiup kencang. Tiada bunyi unggas dan burung yang selalunya riuh pada waktu malam. Dalam kesepian malam itu, tiba – tiba Elena terpandang sebuah objek aneh melintas sepantas kilat di langit. Cahaya daripada objek itu begitu jelas terpancar menuju ke sebuah bangsal di atas bukit yang tidak jauh dari rumah Elena. Cahaya tersebut menerangi kawasan sekelilingnya buat seketika kemudian ia mengecil dan terpadam. Elena ternyata amat kaget melihat kejadian tidak dijangka itu.



Dia agak cemas tetapi segera terfikir untuk menyiasat apakah objek itu sebenarnya. Walaupun dia takut tetapi perasaan ingin tahu mengatasinya. Dengan senyap – senyap dia menyelinap keluar supaya ibu bapanya tidak tersedar. Elena mencapai basikal dan dengan bertemankan lampu suluh dia terus mengayuh basikalnya ke bangsal yang terletak tidak jauh dari sebuah ladang gandum yang terletak bersebelahan rumahnya. Berpeluh – peluh Elena, dia agak kepenatan berkayuh menaiki bukit untuk menuju ke bangsal itu. Setibanya di hadapan bangsal Elena memberanikan diri untuk melihat tempat objek aneh bercahaya itu jatuh tadi. Kali ini Elena melihat ada cahaya seperti lampu kapal terbang yang berkelip – kelip berwarna merah keluar dari celahan dinding bangsal using itu. Rupanya objek aneh yang jatuh melayang dari langit tadi jatuh merempuh bumbung bangsal. Elena merapati pintu bangsal dan membukanya perlahan – lahan. Sebaik daun pintu terkuak alangkah terperanjatnya Elena sebaik melihat apa yang ada di dalam bangsal itu.
Rupanya objek aneh tadi adalah sebuah robot yang diperbuat daripada sejenis kertas keras. Kepala, badan, tangan dan kakinya seperti bahagian – bahagian kotak yang disambung atau dicantumkan. Asap putih nipis berkepul – kepul keluar di sekelilingnya. Cahaya merah tadi terhasil daripada mentol lampu di dadanya. Badannya berwarna merah jambu, sepasang matanya kuning seperti lampu kereta. Robot itu terbaring di atas timbunan makanan kuda. Pada mulanya Elena menyangkakan ia telah mati kerana robot itu sudah tidak bergerak – gerak tetapi Robot itu bingkas bangun sebaik menyedari Elena masuk merapati dirinya. Elena menjadi panik. Dia takut melihat robot itu seperti mahu menangkapnya dan seakan mahu memberitahunya sesuatu.
“ Jangan takut Elena”, kata robot itu selepas melihat Elena ketakutan dan mahu lari. Suaranya bergetar seperti terkena aliran elektrik. Elena pula tersentak kerana robot itu tahu namanya dan boleh berkata- kata. “Siapa awak ? dan bagaimana awak tahu nama saya? ”, soal Elena kepada robot yang bertubuh kecil itu. Saiznya lebih rendah daripada Elena. “Oh saya ialah Robot Cabin,” datang dari Planet Masa Depan. “Setiap hari saya lalu di sini memerhatikan awak Elena”. Jawab Robot Cabin. Elena terpaku sejenak. “Saya sering melihat awak dimarahi ibu kerana tidak membasuh pinggan selepas awak makan, awak juga selalu malas mengemas bilik dan lain – lain lagi,” sambung Robot Cabin sambil tersenyum sinis. “Oh ya, ayah awak pun selalu menasihati awak supaya tekun belajar, jangan malas dan leka menonton televisyen sahaja, malah saya selalu melihat awak menunggang basikal pergi ke sekolah dan membeli aiskrim Elena.” Ujar Robot Cabin lagi. Perasaan Elena bercampur baur sebaik mendengar kata – kata Robot Cabin. Dia kehairanan bercampur geram kerana seolah Robot Cabin mengintai gerak gerinya selama ini, sedangkan dia sendiri tidak pernah kenal Robot Cabin. “Apa awak nak sebenarnya?”, soal Elena. “Saya tidak kenal awak, kenapa awak mengganggu hidup saya?,” Desak Elena lagi melontarkan persoalan yang terpendam di dadanya kepada Robot Cabin.
Robot Cabin bergerak ke arah Elena. Terdapat sepasang sayap seperti roket di belakangnya yang mengeluarkan cahaya laser. Robot Cabin mengapungkan dirinya seperti helikopter yang mahu terbang. Tapak kakinya mula mengeluarkan cahaya, ia tidak menjejak tanah. Robot Cabin bergerak terbang, dia di awang – awangan sambil merenung Elena. Lampu merah di dadanya telah bertukar menjadi warna hijau. Tubuhnya nampak canggih sekali. “Elena, saya ini robot berteknologi canggih, saya juga murid sekolah seperti awak di planet saya, saya rajin pergi ke sekolah setiap hari untuk belajar dan mendapat ilmu, suatu ketika dahulu planet saya aman dan damai tetapi sekarang tidak lagi kerana ada robot dari planet lain yang cemburu melihat kejayaan kami telah menyerang planet kami yang tercinta itu,” terang Robot Cabin panjang lebar. Dia menyambung lagi, “ramai askar robot kami yang tewas dan ramai juga yang masih bertahan, planet kami huru hara dan kacau bilau tetapi saya masih perlu ke sekolah. Ibu bapa saya pula sudah tidak lagi perlu menasihati saya supaya belajar kerana mereka sudah tidak ada lagi. Oleh kerana itu semakin hari semakin saya rajin dan gigih belajar untuk mendapatkan ilmu walaupun planet kami sedang berperang” nada suara Robot Cabin tersekat – sekat kerana sedih.
“ Saya dan ramai lagi kawan sekelas saya yang lain tidak berputus asa. Kami rajin mengulang kaji pelajaran. Oleh kerana itu kami tidak risau untuk menghadapi peperiksaan dan tidak akan bersedih kerana gagal di kemudian hari seperti yang awak akan alami sekiranya awak masih malas belajar dan suka membuang masa”. Kata Robot Cabin, dia tertunduk menahan sebak selepas itu kerana teringatkan ibu bapanya yang hilang dalam peperangan. Elena mahu bertanya lagi tetapi dia juga terdiam. Bimbang pula Robot Cabin terguris hati. Elena memang kagum dengan Robot Cabin, dalam masa yang sama sedih mendengar cerita Robot Cabin. Kata – kata nasihat Robot cabin juga sangat menyentuh hatinya, dia sedar semuanya itu memang benar.
“Err… kalau begitu mengapa awak ada di sini pada hari ini wahai Robot Cabin?,” Elena memberanikan diri bertanya kepada kawan baharunya itu.
“Elena, tadi saya dalam perjalanan ke sekolah tetapi terjatuh ke bumi ini kerana laluan kami ke sekolah telah dibom oleh pihak musuh. Jarak sekolah saya sekarang semakin jauh kerana pihak musuh cuba menghalau kami dari planet kami sendiri. Banyak robot bangsa kami yang terkandas di stesen angkasa dan menjadi pelarian. Sukarnya perjalanan hidup kami. Oleh itu belajarlah bersungguh – sungguh Elena, di sini awak sangat bernasib baik. Planet awak aman, segalanya ada di sini. Kebahgiaan, ketenangan dan kesejahteraan akan bakal awak kecapi sekiranya awak rajin dan sedar tentangnya”. Kata Robot Cabin.

Elena berkata pula, “wahai Robot Cabin, bukankah ramai lagi budak lain di sekolah saya dan di ladang ini, kenapa hanya saya yang awak perhatikan?.
“Oh…suatu hari nanti awak akan tahu juga kenapa awak terjumpa saya hari ini Elena. Awak jangan risau, saya Robot Cabin dari Planet Masa Depan, saya harap awak akan berjaya dalam hidup. Kita akan jadi kawan pada masa depan. Janganlah jemu berusaha, hormati ibu bapa dan sayangilah kawan – kawan awak. Kalau awak dalam kesusahan saya akan bantu awak selagi saya ada. Jumpa lagi pada masa depan Elena, saya Robot Cabin dari Planet Masa Depan, saya sentiasa ada di atas sana dan akan terus memerhatikan awak walau di mana awak berada.

No comments:

Post a Comment