Sunday 1 April 2012


                                                JATUH BANGUN SEBUAH EMPAYAR

            Menurut pandangan saya, Kerajaan Melaka telah wujud lebih awal daripada abad ke 15 masihi, ini mungkin disokong oleh sebuah artikel dalam Journal Asiatique Mai – Juin et Juilet – Aout yang berjudul “ Melaka.le Melayu et Melayur “ tulisan G.Ferrand, 1918 yang menyatakan Melaka sebenarnya wujud sejak kurun ke – 8 masihi walaupan ramai sejarawan yang menyanggahnya termasuk sejarah melayu.
            Ahmad Jelani Halimi dalam bukunya Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu (2008) menguatkan lagi pendapat saya ini, berikutan penghijrahan secara besar – besaran manusia dari utara ke Kepulauan Asia Tenggara sebagaimana catatan sejarah akhirnya telah membentuk ketamadunan bangsa melayu itu sendiri khususnya di Tanah Semenanjung. Bermakna adalah tidak mustahil andai saya katakan sememangnya sebelum kurun ke 19 Melaka sudah mempunyai asas kepada terbentuknya sebuah negara maju sebelum ia muncul sebagai sebuah lembah dagangan dan pusat ekonomi antarabangsa. Ali rustam
            Manusia pra sejarahlah menurut saya yang mungkin terlebih awal merintis kewujudan Melaka dan mereka giat menjalankan ekonomi secara setempat dan luaran di sana. Dipercayai terdapat dua kumpulan manusia yang berhijrah ke Kepulauan Asia Tenggara (walaupun terdapat beberapa pendapat sejarawan lain) iaitu kumpulan Mongoloid dan Melanisiod Tua yang mana kepada saya salah satu kelompok mereka ini mula merintis Melaka. Ia tidak mustahil kerana kumpulan Mongoloid dan Melanisiod Tua dikatakan adalah komuniti purba yang mula mencipta peradaban menjelang 12000 – 8000 SM.

Didalam perbincangan ini kita akan memperkatakan tentang faktor perkembangan dan kejatuhan empayar Melaka. Dengan tujuan supaya pembaca akhirnya dapat membuat kesimpulan bahawa seagung manapun sesebuah kerajaan seandainya mereka melakukan sesuatu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh sejarah maka kerajaan itu akhirnya akan musnah dan seandainya mereka tidak melakukan usaha ke arah transformasi maka mereka tentu akan terus rebah. Samaada berubah atau terus rebah.
            Tiga faktor utama perkembangan pembangunan kerajaan Kesultanan Melaka yang dibincangkan adalah Pemerintahan Kuku Besi (sistem politik dan ekonomi) Melaka yang sistematik, Manipulasi Negara Luar (dasar hubungan antarabangsa) Melaka dan Peranan Peranan Penjajah Kecil (Dasar Perluasan Kuasa) yang akan dikupas satu persatu dan penulis akan membawa pembaca melihatnya daripada segenap sudut. Tiga faktor kejatuhan kerajaan Melaka turut dibincangkan dan dihurai iaitu Gejala rasuah yang berleluasa, dan wujudnya tindakan pengkhianatan.
            Kepada saya penulis sejarah terdahulu yang mana kita menjadikan tulisan mereka sebagai panduan hari ini turut tak terlepas daripada menulis atas faktor mempunyai agenda besar diri sendiri mahupun pihak tertentu. Mungkin mereka penulis upahan yang ditaja ataupun mereka sendiri ialah politikus murahan dengan matlamat besar yang menulis dengan tujuan memanipulasi dan berkepentingan. Oleh itu di zaman yang dikatakan serba moden ini setelah ratusan tahun sejarah Melaka kita tinggalkan seharusnya kita boleh mula mentafsirkan segala peristiwa yang berlaku secara realiti bukannya terperangkap dengan persepsi sedia ada. Mesti ada reformasi dengan cara kita berfikir dan mentafsir bahkan pembaharuan dalam cara kita menerima segala maklumat dan input sedia ada. Saya katakan dalam sejarah dan realiti hari ini sudah tidak wujud lagi watak orang  jahat dan orang baik seperti yang ada dalam filem hindustan dan gelanggang WWF sebaliknya yang ada adalah orang jahat yang jadi jahat kerana tidak ada gunanya dia menjadi baik manakala dan orang baik yang kerap lupa bahawa orang jahat akan menang kalau orang baik berdiam diri. Justeru segalanya mesti diislahkan, segala bentuk pemikiran lama jangan dibuang tetapi direformasikan. Dengannyalah tamadun dunia bangkit dan dengan itulah kita mula berfikir dalam perbincangan di sini.

SISTEM POLITIK DAN EKONOMI
            Pada pendapat saya kerakusan Parameswara untuk mendapatkan kuasa politik telah mendorong beliau ke arah membina sebuah Melaka yang maju. Sejarah hidup beliau yang penuh dengan pergelutan, rampasan kuasa, pembunuhan politik dan manipulasi rakyat bawahan telah membentuk karakter seorang pemimpin politik kecil bercita – cita besar. Baginda dan sepanjang dinastinya memerintah secara mencengkam secara kuku besi. Cengkaman politik dan penguasaan agresif ekonomi berjaya menaikkan nama Melaka.
Parameswara ialah raja yang banyak terlibat dengan perang untuk mempertahankan kuasa. Empat kali melarikan diri menjadikannya anak raja buangan selain menjadi orang buruan kuasa besar Siam. Di tanah asalnya Palembang baginda mencetuskan pergolakkan politik dengan mencabar kuasa kerajaan pelindungnya. Provokasi tersebut menyebabkan kerajaan kecilnya itu diserang sehingga baginda dan pengikutnya melarikan diri ke Singapura. Di sana baginda mewujudkan kerajaan palsu sebelum merancang konspirasi pembunuhan politik ke atas Temagi. Temagi ialah wakil kerajaan Siam, pembunuhannya sudah tentu mencetus kemarahan Siam sehingga membawa kepada penyerangan ke atas Singapura. Parameswara lari pula ke Sungai Bertam. Setelah membentuk kerajaan pelarian di sana akhirnya dikatakan akibat peristiwa anjing dan pelanduk, Parameswara membina Melaka.
            Itulah ceritanya yang ditulis, mereka sebenarnya boleh tulis apa sahaja bukan setakat cerita anjing dan pelanduk. Kadangkala saya fikir cerita itu semacam membodohkan Parameswara, menggambarkan baginda tidak punya asas penilaian yang baik kerana sekadar pandai menilai kualiti hanya dengan bersandarkan cerita dua ekor binatang. Sedangkan sebagai pemimpin agung yang dengan beraninya mencabar dua kuasa besar mana mungkin Parameswara sebodoh itu. Realitinya saya yakin Parameswara dah menilai sendiri penempatan itu yang memang amat sesuai dijadikan tempat tinggal dan selaku anak raja yang kehausan kuasa pemerintahan sudah tentu baginda mempunyai asas yang kukuh untuk membentuk kerajaan di situ, Perasaan dendam dengan saudara di Palembang dan musuh tradisinya iaitu Siam bercampur baur. Parameswara mesti membuktikan baginda bukanlah si bodoh yang sentiasa mudah dikalahkan (losers) sebaliknya dia akan datang semula untuk membalas dendam (pay back). Ketibaannya di Melaka adalah pada waktu dan tempat yang betul (right place right time). Kisah pelanduk dan anjing mungkin sekadar bahan penyedap cerita bagi memperbodohkan rakyat yang tak berpengetahuan waktu itu yang dilakukan pengikut ataum orang kuat raja yang berpendidikan rendah dan dungu agar menerima baginda dan kesultanannya sebagai raja dan pemerintah yang berkuasa.
            1400, Parameswara mengasaskan Melaka. Perkara pertama yang dibuat adalah mewujudkan sistem politik untuk kepentingan diri sendiri. Empayar kesultanan Melayu Melaka yang diasaskan baginda mengamalkan struktur politik pentadbiran berasaskan amalan kronisme, meletakkan sanak saudara menjawat jawatan penting di sekelilingnya yang sudah tentu membuatkan raja rasa lebih selesa untuk memerintah dan memperkukuh kuasa. Sebagai bekas anak raja buangan dan orang buruan yang melarikan diri ke sana dan kemari sudah tentu Parameswara dan keturunannya punya ramai pengikut setia dan pengampu maka orang – orang ini diberi jawatan penting dan diberi kontrak – kontrak besar kerajaan. Pengagihan harta negara kepada kelompok tertentu mewujudkan golongan koperat yang pandai berniaga dan berharta yang ramai di tanah Melaka. Golongan ini menjawat pelbagai jawatan penting yang diwujudkan secara sistematik iaitu jawatan Bendahara yang mengetuai kuasa eksekutif, Temenggung pula sebagai ketua polis yang mempunyai kuasa dan pasukan penguatkuasa undang – undang, Laksamana pula bertanggungjawab selaku ketua armada tentera laut yang kuasanya meliputi perairan dan pesisir pantai manakala Penghulu Bendahari berperanan seperti pihak kastam yang menguatkuasa cukai dan seumpamanya. Perlabuhan yang menjadi aset paling utama Melaka turut mempunyai jawatan shahbandar, ia seolah pihak berkuasa wilayah mengawal lalu lintas perlabuhan, mengeluarkan kebenaran kapal berlabuh dan menentukan sebarang perancangan pembangunan wilayah perlabuhan.
            Saya yakin melihat struktur politik dinasti kesultanan Melaka sudah cukup untuk menyatakan bahawa kesultanan Melaka mengamalkan dasar politik yang mencengkam dan kuku besi dalam masa yang sama kita dapat melihat mereka cukup strategis dalam memanipulasi segala sumber yang ada hingga membawa perkembangan sebuah empayar. Pemerintahan secara keras mungkin pada awalnya tak dapat diterima rakyat tetapi setelah melihat ketegasan tersebut membawa kepada kejayaan dan peningkatan keupayaan untuk maju maka semakin lama pendekatan itu mula disokong rakyat terbanyak. Walaubagaimanapun tetap ada pembangkang yang kesannya akan kita nyatakan di akhir nanti.
            Dalam bab ekonomi pula Kerajaan Melaka memang bijak, mereka membuka segala pintu yang ada. Kerajaan memberi peluang, kebebasan dan kemudahan kepada semua pedagang. Dapat saya nyatakan usaha menarik pelabur asing adalah melalui penghantaran delegasi ke negara luar. Tentu ia penting kepada Melaka memandangkan kedua musuhnya iaitu majapahit dan siam mungkin masih berdendam sejak turun temurun walaupun setelah kemangkatan Parameswara ataupun bakal menjadi ancaman atas sebab persaingan. Usaha pengukuhan politik sahaja tidak cukup untuk mempertahankan diri selanjutnya membalas dendam. Melaka bijak kerana memilih untuk berdagang dengan kuasa besar, bayangkanlah seawal 1404 Laksamana Yin Ching telah melawat Melaka dari Tanah Besar China seterusnya mereka mengikat hubungan perdangangan dan diplomatic antara kuasa besar dunia itu dengan Negara baharu Melaka. Hubungan yang pada awalnya dilakukan atas faktor ekonomi itu akhirnya menyebabkan Melaka mendapat pengiktirafan dan perlindungan China sebagaimana yang pembaca boleh jangkakan.
                  Kerancakan ekonomi berterusan, pemimpin politik yang menguasai kerajaan dalam kesultanan ini memainkan peranan berkesan sehingga ramai namanya yang terpahat dalam sejarah keagungan empayar tersebut. Uniknya adalah dasar ekonomi yang mereka bentuk, ia sangat terbuka untuk zaman itu dan selari dengan kehendak pedagang antarabangsa yang mana dating dari seluruh pelusuk dunia. Diantara yang menarik minat kerajaan Melaka menyediakan segala kemudahan di Perlabuhan Melaka, melantik Shahbandar satu jawatan yang tinggi disandang oleh koperat yang kaya raya, pendapat saya pada mulanya timbul rasa hairan sejenak, ini kerana sistem komunikasi waktu itu tidaklah secanggih hari ini oleh itu, ketika itu juga berita tidak dihantar oleh seekor burung. saya curiga bagaimana dalam jangka masa yang ada kehebatan perlabuhan Melaka begitu cepat tersebat dan apakah yang benar – benar menarik perhatian pedagang antarabangsa utuk berdagang di sana walhal Melaka bukan satu – satunya perlabuhan yang ada di nusantara. Kerna itu saya jangkakan keterbukaan sistem ekonomi Melaka bukan sekadar dilihat melalui kenaan cukainya yang berpatutan, kadar cukai ikut tempat asal pedagang, cukai serendah 6% untuk pedagang luar dan pedagang tempatan 3%, syarat lessen yang fleksibel dan lain – lainnya sebaliknya Melaka sudah tentu menjadikan perlabuhannya ketika itu sebagai hab sumber hiburan serantau yang cukup berjaya. Kemungkinan di situlah segala bentuk hiburan dapat diperolehi sehingga mewujudkan banyak amalan kemungkaran seperti seks bebas, perdagangan manusia dan seumpamanya. Mungkin sesetengah setuju bahawa sudah tentu ia wujud, perdagangan waktu itu tak mengenal apa bentuk, arak memang jadi bahan dagangan oleh pelbagai latar belakang pedagang, bila sudah ada arak dan wanita penghibur tak mustahil bercambahnya rumah pelacuran, pusat perjudian, kumpulan gangster dan atas faktor kerancakan inilah menjadi faktor permulaan tertariknya minat mereka berlabuh di sana. Mujur catatan sejarah menunjukkan Melaka menerima kedatangan islam, betapa hebatnya gerakan dakwah golongan pendakwah terutamanya dari timur tengah saat itu, ajaran islam meresapi kepercayaan rakyat sehinggalah pihak istana sendiri menerima islam dan mengamalkannya secara mutlak hingga pada zaman Sultan Muzzafar Shah baginda membina masjid, madrasah dan surau malahan di Melaka pernah mempunyai pusat pengajian tasauf, istana menjadi tempat pendakwah mengajar dan golongan istana belajar agama. Giatnya usaha dakwah islam di Melaka membawa kepada Melaka menjadi tempat melahirkan pendakwah islam yang berdakwah ke tempat lain dan di sebalik dasar terbuka Melaka juga akhirnya mencatatkan Melaka mula mengguna pakai undang – undang yang mirip dengan hukum hudud. Saya percaya sehingga ke tahap kesultanan Melaka menerima dan serius dengan islam juga merupakan factor perkembangan empayar ituyang berkaitan dengan sistematiknya dasar politik dan ekonomi mereka. Sebagaiman hiburan berjaya menarik perhatian manusia, keamanan dan ketenangan roh dan jiwa akibat dari pengamalan islam juga terbukti berkesan sepanjang zaman. Di suatu tahap, sistem politik dan ekonomi Melaka semakin pesat dan kompetitif disebabkan dunia tidak lagi melihat kepada keterbukaan tanpa batas yang ditawarkan sebalik usaha pembangunan modal insan dilaksanakan kerajaan Melaka lebih berjaya menarik minat pelabur dan pedagang asing.

DASAR HUBUNGAN ANTARABANGSA
                  Melaka memang memerlukan kuasa besar untuk melindungi kepentingan mereka. Ternyata Melaka tidak silap percaturan dalam dasar hubungan antarabangsanya kerana memilih China. Sejarah politik kesultanan Melaka yang bermusuhan dengan kuasa majapahit dan siam tentu akan menyukarkan Melaka untuk terus ‘hidup’ (survive) dalam era antarabangsa. Betapa baiknya hubungan Melaka dengan China yang menghantar diplomatnya melawat Melaka disusuli parameswara sendiri mengunjungi negara tersebut pada selepas itu.
                  Kepada saya hubungan diplomatik ini berjaya kerana ia menjurus ke arah kerjasama ekonomi dan politik kedua buah negara. Keyakinan pedagang asing untuk terus menjadi Melaka pusat dagangan di nusantara semakin bertambah kerana Melaka dibayangi kuasa besar China. Melaka juga turut menjadi rakan dagang kepada Pasai, Jawa dan negeri naungannya seperti Kampar dan Siak. Sebahagian mereka mendatangkan pula surat sembah dan ufti kepada Melaka. Saya melihat Melaka bijak memanipulasi kedudukan tersebut dan saya yakin sebaik parameswara ligat mempromosi Melaka, kedudukannya pula sudah mula terancam, majapahit dan siam tentu telah mengintai peluang menjahanamkan musuh mereka itu, kemungkinan kalau hubungan Melaka – china tidak ada bakal berlaku peperangan di bumi itu. Negeri Melaka mungkin akan bersimbah dengan darah rakyat.
                  Melaka terus menongkah arus, kemangkatan Parameswara (1414) langsung tidak mematahkan perjuangan Melaka menguasai ekonomi antarabangsa. Legasi itu diteruskan anakandanya Sultan Megat Iskandar (1414-1424) dan Sultan Muhammad Shah (1424-1444). Saya melihat bermula dalam fasa tertentu Kesultanan Melayu Melaka ada keunikan dalam strategi menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar kerana memperlihatkan seolah ia dilakukan atas faktor ekonomi, perkahwinan anak raja dan seumpamanya meskipun faktor keselamatan Melaka adalah factor sebenar. Di zaman Sultan Muzaffar Syah (Raja Kassim) (1445 – 1456) baginda melaksanakan dasar hubungan antarabangsa dengan lebih bijak dan kreatif lagi iaitu sebaik mengishtiharkan bahawa agama islam menjadi agama rasmi di Melaka maka faktor agama tersebut telah menarik lebih ramai pendakwah islam terutamanya dari timur tengah untuk datang mengunjungi Melaka. Di sini saya mengatakan Melaka bukan sahaja telah menjadi lebih mahshur berbanding sebelum itu malahan mendapat nilai tambah baharu iaitu Melaka yang terkenal sebagai pusat dagangan antara benua juga sudah menjadi hab penyebaran islam dan tempat berkumpulnya golongan ulama dan cendikiawan muslim. Dan sejarah ini sememangnya hebat dan agung memandangkan kebanyakan pendakwah berasal dari tanah arab ketika itu merupakan pedagang, ahli perniagaan mahupun tokoh koperat.
                  Pendapat saya,  jikalau dalam catatan sejarah menyatakan Melaka pernah mempunyai  pusat pengajian ilmu dan istana turut menempatkan guru yang mengajar, tidak mustahil di zaman itu Melaka telah mempunyai universitinya sendiri. Melalui universiti tersebut Melaka menjadi inkubator melahirkan ramai ulama dan pendakwah islam di mana mereka telah dihantar oleh kerajaan (sultan) ke seluruh Kepulauan Melayu seperti Tanah Jawa, Borneo dan juga Filifina pada ketika itu seterusnya menjalinkan hubungan antarabangsa terpenting dalam sejarah diplomatiknya yang tersendiri. Teori ini bertepatan dengan segala fakta yang ada walaupun tidak mempunyai bukti fizikal, ini kerana selepas itu Melaka dijajah selama ratusan tahun oleh imperialis yang silih berganti bukan muslim.

PERANAN PENJAJAH KECIL (DASAR PERLUASAN KUASA)

                  Melaka kepada saya adalah penjajah kecil di zaman kegemilangannya, mungkin ramai yang tidak bersetuju tetapi itulah hakikatnya yang jarang diketengahkan sejarawan hari ini. Selain disegani antarabangsa kerana pengukuhan ekonominya Melaka turut digeruni lawan atas faktor kekuasaan pertahanan dan dasar imperialisme yang diamalkan. Saya amat  yakin Melaka memang penjajah kecil di semenanjung, selain kerana kaedah pemerintahan secara cengkaman dan kuku besi yang diamalkannya ia juga berdasarkan fakta sedia ada. Ini mungkin tak ditulis secara terus oleh penulis yang saya katakan mempunyai agenda sendiri atau penulis upahan pihak tertentu bertujuan menutup kemampuan sebenar empayar melayu itu. Melaka memang gigih menjajah kerajaan – kerajaan kecil disekelilingnya terutama apabila ia sendiri diancam kuasa luar. Kewujudan negeri – negeri naungan mungkin salah satu buktinya.
                  Pengalaman kerajaan Melaka mendepani pelbagai ancaman peperangan dan permusuhan menjadikannya bertambah kuat. Perkembangan pembangunan Melaka bukan sahaja dicemburui kuasa pesaing malahan Melaka pernah diserang kuasa luar, ia berlaku dalam zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1445) sendiri apabila Panglima Awi Chakra mengetuai angkatan Siam menyerang Melaka namun tewas. Serangan kedua turut dipatahkan pada tahun 1456. Melaka diserang melalui darat dan laut. Semua kejayaan tersebut bukan sahaja disebabkan kebijaksanaan Pembesar Tun Perak tetapi melalui pengamatan saya adalah pemerintah Melaka memang mempunyai keazaman yang sangat tinggi untuk melakukan imperialisme bermula dengan membuat persiapan pertahanan yang lengkap dan menyeluruh. Sebab itu Melaka dalam diam membuat strategi bawah tanah iaitu dengan memanipulasi orang melayu dengan menjadikan mereka pemimpin dalam masyarakat setempat, ia seperti melantik orang melayu menjadi penghulu dan ketua kampung. Secara tidak langsung mereka telah menjadi mata dan telinga kerajaan sekiranya ada sebarang gerakan penyerangan dan pemberontakan di mana – mana. Kerajaan Melaka turut menjaga kaum orang asli yang mendiami banyak kawasan strategik di puncak bukit dan gunung dalam hutan. Mungkin orang asli ini diberi kontrak pembekalan barangan hutan seperti kayu kayan, makanan dan ubat – ubatan yang amat diperlukan dalam industri perlabuhan ketika itu. Ternyata sifat taat dan membalas jasa orang asli banyak memberi kelebihan kepada Melaka. Saya turut percaya orang laut bukan sekadar dijadikan askar upahan sebabnya dengan kepadatan penduduk pelbagai lapisan bangsa dan budaya di Kota Melaka, sumber makanan sudah tentu menjadi industri dan sistem keselamatan juga menjadi isu utama, manipulasi orang laut yang sedia menguasai selat dan perairan Melaka adalah taktik jelas gerakan Melaka selaku imperialis. Tatkala semboyan perang berbunyi maka angkatan musuh seperti Siam (ada juga yang mengatakan Siam cuba menyerang Melaka sebanyak tiga kali) akan berhadapan dengan barisan pertahanan Melaka yang dating dari segenap pelusuk negeri.
                  Saya nyatakan Melaka memang penjajah. Melaka menjadi penjajah untuk terus menjadi negara membangun dan maju. Demi mencapai kegemilangan dan mahu menjadi empayar kuasa besar menguasai ekonomi dunia, kaedah menjajah dipilih dan ternyata ia memang berbaloi. Keagungan Melaka Berjaya menenggelamkan Srivijaya bahkan nasib Majapahit lebih malang apabila banyak tanah jajahannya sendiri mula dijajah kerajaan Melaka secara rela dan paksa. Kejayaan aktiviti perdagangan dan memiliki armada perang yang perkasa menyebabkan mereka tidak menoleh ke belakang lagi. Kerajaan Siam dan Srivijaya terus jatuh termasuk dalam peranan meraka menguasai ekonomi selama ini di Kepulauan Melayu. Semuanya telah beralih kepada Melaka. Semakin banyak kerajaan kecil yang dinaunginya perlabuhan Melaka menjadi semakin sibuk dan bertambahnya kemudahan infrastruktur menjadikannya moden dan canggih sesuai dengan citarasa pedagang antara benua.
                  Saya perhatikan di suatu tahap Melaka telah melalui zaman tranformasi di mana jika sebelum itu Melaka memerlukan perlindungan tetapi akhirnya Melaka sendiri menjadi pelindung, contohnya kepada Patani (sebelumnya dikuasai Siam), Sungai Ujung (nama lama bagi Seremban), Kedah (pernah dijajah Srivijaya kemudian Siam), Selangor (selepas kejatuhan Melaka ia menjadi rebutan Johor, Acheh dan Portugis), Kelang (menurut Hikayat Merong Mahawangsa Kelang dijumpai seorang Raja dari Kedah semasa baginda menuju ke Melaka) dan Bernam (pada 1720 diperintah Perak).

KEJATUHAN KERAJAAN MELAYU MELAKA.
                  Ada saya nyatakan sebelum ini tentang tertabalnya Sultan Muzzaafar Shah ataupun Raja Kassim memerintah Melaka. Di sebaliknya Raja Ibrahim telah dibunuh dalam satu konspirasi yang didalangi pembesar istana yang tidak menyenangi kedudukan baginda. Disini dapat kita lihat dalam fasa tertentu Kesultanan Melayu Melaka istana telah dikuasai golongan pembesar ( ahli potik ). Ia menunjukkan kedudukan raja yang lemah atau tidak cukup dominan sehinggakan kelompok politikus boleh berpakat melaksanakan jenayah terancang membunuh seorang raja. Walaubagaimanapun dalam versi lain ia mungkin berlaku disebabkan oleh daripada mana seseorang raja itu datang mempengaruhi kedudukan dan corak pemerintahannya. Lagipun golongan politik memang terkenal dengan seribu taktiknya.
                  Legasi Sultan Muzzafar Shah yang cemerlang dalam pemerintahannya saya lihat memadam titik hitam itu. Namun ia cuma melengkapkan petanda kejatuhan Kerajaan Melaka itu sendiri kerana pemerintahan baginda juga tidaklah lama dan tak bisa menghalang segala faktor kejatuhan yang baginda sendiri tak terjangka. Pembunuhan Raja Ibrahim yang digelar Sultan Abu Syahid itu harusnya disedari Sultan Muzzafar dan penasihat baginda walaupun kejadian itu mungkin sekadar cerita rekaan atau kisah sahih yang sengaja ditokok tambah. Ironinya dalam pemerintahan Sultan Mahmud Shah ( 1488 – 1511 ) zaman gelap Melaka muncul jua.
                  Saya membaca dan ada yang mengatakan Melaka jatuh disebabkan kematian Tun Perak di mana ketika itu Melaka ketandusan pemimpin yang berkebolehan seperti Tun Perak. Kononnya Bendahara Paduka Tuan ( 1510 – 1511 ) terlalu lemah untuk menggantikan pemimpin tersohor itu. Tetapi kepada saya bak kata pepatah cina ‘ikan busuk bermula daripada kepalanya’. Yang salah mestilah raja sebab baginda ialah ketua. Setelah memperkatakan tentang tiga faktor mendorong perkembangan Melaka sebelum ini, dalam perbincangan seterusnya kita akan melihat dua faktor utama yakni Gejala Rasuah dan Tindakan Pengkhianatan yang menurut saya menyebabkan kejatuhannya pula. Memang banyak penulisan yang merungkai dan membuat pecahan kepada faktor yang lebih teliti. Manakala saya nyatakan di sini secara menyeluruh dan lebih kritis dengan hasrat membuka lembaran pemikiran baharu yang lebih segar. Iaitu menyelami kesalahan yang berpunca daripada Raja Melaka sendiri yang apabila semakin meninggi kedudukannya di arena dunia, Melaka rupanya mencetuskan lebih banyak elemen yang bakal meruntuhkannya. Dalam masa sama saya juga mahu pembaca menyelami kejatuhan Melaka adalah daripada kedudukannya yang sangat tinggi.
                 
GEJALA RASUAH
                  Saya akui Sultan Mahmud Shah pemimpin yang lemah menyebabkan di zaman pemerintahannya gejala rasuah berleluasa. Saya melihat baginda tidak memerintah dengan sepenuh integriti menyebabkan para pembesar terjerumus ke dalam gejala rasuah. Kegagalan mengawal tingkah laku buruk tersebut memulakan langkah menuju kejatuhan Melaka. Rasuah umpama barah. Ia menyebabkan ekonomi merosot kerana menimbulkan prejudis di kalangan pelabur mahupun pedagang asing. Rasuah turut menguatkan persepsi yang pentadbiran Melaka mula goyah. Tambahan pula munculnya perlabuhan lain sebagai pesaing, angin rebut kencang semakin membadai keutuhan Kesultanan Melayu empayar tersebut.
                  Pembesar mempunyai kuasa yang sangat besar dan meluas. Ia mirip jawatan menteri dan timbalan menteri masa kini. Bendahara Melaka misalnya ialah seperti Perdana Menteri hari ini. Menasihati sultan dan berperanan sebagai menteri utama adalah antara tugas terpenting yang Bendahara laksanakan. Tun Mutahir mengamalkan rasuah dalam pentadbirannya. Beliau dicemburui dan disakiti bukan kerana beliau berketurunan india muslim sebagaimana ditulis dalam sumber tertentu tetapi beliau ditentang kerana di kalangan pembesar dan rakyat terutama orang melayu amat membenci orang yang tidak jujur, lain di depan lain di belakang. Orang india pula menganggap pemimpin sebegitu bagaikan ular malah lebih bahaya daripada ular.
                  Rasuah di Melaka merebak disusuli dengan amalan kronisme yang nyata. Perasuah memang biasanya mengamalkan budaya tersebut untuk memudahkan laluannya melakukan pelbagai bentuk sogokkan lagi.Itulah yang dilakukan sesetengah pemimpin politik hingga hari ini. Termasuklah Bendahara Tun Mutahir ketika itu. Apabila beliau sendiri mengamalkan korupsi maka amalan tersebut menular kepada menteri – menteri lain dan pegawai kerajaan.Mungkin usaha mengekangnya dilakukan tetapi sekadar mengaburi mata orang ramai.
Mungkin pihak yang ditugaskan menentang rasuah juga hanya boneka pemerintah semata – mata di zaman itu.
                  Apabila Perdana Menteri (Bendahara) korup, Penghulu Bendahari (Menteri Kewangan) pun telah turut korup. Sedangkan beliau bertanggungjawab menjaga perbendaharaan negara dan mengetuai semua syahbandar. Perbendaharaan negara Melaka tak mungkin macam sekecil yang digambarkan Tan Sri Pramlee dalam filem Nujum Pak Belalang. Tapi peranannya mungkin semacam Bank Negara pada hari ini. Masakan negara tidak hancur kalau orang yang memegang kontrak dan segala tender kerajaan mengamalkan budaya rasuah. Sesiapa yang sudi menyogoknya dengan komisen yang besar pasti akan mendapat sebarang projek.
                  Besarnya kuasa yang diselewengkan di zaman Melaka telah terlalu maju di persada dunia. Melaka bukan setakat sebuah perlabuhan besar tetapi ia adalah perlabuhan entreport di mana barang dagangan dari Kepulauan Melayu dikumpulkan untuk dibawa ke serata benua. Manakala barangan dari timur dan barat didagangkan dari situ ke seluruh kepulauan. Di Melaka juga sudah ada pusat membaiki kapal. Saiz kapal sahaja sudah sebesar bukit dan kaki gunung apatah lagi bengkel untuk memperbaikinya. Bahkan Melaka juga mungkin menjadi hab pengeluar dan pembinaan kapal memandangkan Melaka ada sumber asli untuk membinanya dan Melaka mempunyai segala peralatan yang diperdagangkan di perlabuhan serata dunia. Melaka juga mempunyai ramai tenaga kerja yang boleh dibayar dengan upah yang murah ataupun mungkin terdapatnya amalan penghambaan di sana. Membuktikan kebenaran fakta sejarah tertentu tentang kemodenan dan kelengkapan infrastruktur di Melaka. Orang kaya juga ramai di Melaka, pembesarnya menjadi pemilik kepada syarikat perkapalan. Pembangunan wilayah berteraskan perlabuhan seperti itu dijaga pembesar bertaraf menteri yang mengamalkan rasuah. Boleh dijangkakan apa yang berlaku terhadap pemberian tender, kontrak, pembekalan dan peruntukan besar melibatkan belanjawan kerajaan kala itu. Ia melahirkan ramai jutawan baharu.

                  Saya katakan Temenggung dan laksamana juga mengamalkan rasuah apabila melihat kepada manifestasi serangan kedua Portugis yang meranapkan Melaka.Semua sistem sokongan pertahanan di darat dan laut langsung tidak membantu dan begitu mudah dipatahkan pihak musuh. Temenggung dan laksamana umpama Menteri Dalam Negeri, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara. Mereka berkuasa ke atas semua elemen utama keselamatan dan pertahanan negara seperti ketumbukan tentera, pasukan polis dan pelbagai agensi kerajaan. Malah mereka juga ibarat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak Kastam yang memungut hasil cukai di laut, darat dan perlabuhan utama. Kuasa yang diberi sultan itu meliputi seluruh tanah jajahan dan negeri naungan. Perkembangan Melaka sudah tentunya berlaku sebelum itu akibat daripada perkhidmatan yang bersih, efisyen dan berintegriti dalam semua jentera awam di atas tetapi apabila semua itu sudah tiada dimana moraliti pemerintah sudah mula merosot dan dipersoalkan tiada kebolehpercayaan maka tahap sokongan dan kesabaran rakyat mula menurun sebagaimana menurunnya tahap kecekapan sistem itu sendiri.
                  Ini kerana rasuah di kalangan orang kenamaan telah menindas rakyat. Rakyat terpaksa menanggung beban manakala ramai pemimpin kerajaan hidup kaya raya dengan wang rasuah. Kebajikan rakyat yang selama ini dijaga juga terabai dalam masa sama banyak ketirisan berlaku dalam pengurusan dana awam. Saya menggambarkan penderitaan rakyat Melaka di zaman itu bahkan saya jangkakann berlakunya pemberontakkan kecil dan besar sebelum serangan kedua Portugis. Ia mungkin terjadi ketika rakyat sudah mula turun ke jalanan meminta pihak istana melakukan transformasi dalam kerajaan terutama dengan menghukum semua menteri (pembesar) yang mengamalkan rasuah. Rakyat tentu bergelut dengan keperitan yang memperlihatkan sesiapa yang ada wang akan mendapat apa sahaja. Si kaya semakin kaya raya dan si miskin semakin papa kedana. Menurut saya sekumpulan rakyat yang marah akan melahirkan penentang, sekumpulan penentang akan melahirkan pembangkang dan sekumpulan pembangkang akan melahirkan pengkhianat.

TINDAKAN PENGKHIANATAN           

                  Ironinya ketempangan (paradox) yang berlaku lewat disedari oleh Melaka. Penerimaan rombongan Lopez de Squeira  yang kononnya datang untuk berdagang menunjukkan mereka tidak serius ataupun tiada maklumat risikan bagi mengenal pasti permasalahan besar yang bakal berlaku. Walhal tanda – tanda awal amat jelas. Melaka seperti yang saya utarakan juga berdepan dengan krisis perpaduan sesama sendiri dan pertembungan ketara dengan bangsa asing. Ajaran islam turut saya percaya tidak lagi dipegang kukuh. Terlalu banyak penyelewangan menjadikan Melaka mempunyai ramai pemimpin tak berprinsip dan mudah diperalat pihak luar. Lopez bukan sahaja dibenar tinggal bahkan diberi perlindungan istimewa, apakah Melaka tidak mempunyai ilmuan yang cukup pandai untuk mentafsir niat sebuah negara yang baru bangkit dari perang salib yang berlangsung selama ratusan tahun. Ini menunjukkan adanya pemimpin tempatan yang sudah menjadi pengkhianat, diperalatkan pihak asing bagi tujuan menjajah.
                  Ia memang berlaku. Menggunakan seorang pengkhianat untuk menjajah tentunya lebih mudah daripada menggunakan segerombolan askar. Pengkhianat di zaman itu muncul dengan pelabagai cara yang taktikal seperti menyamar baik dengan berperwatakan seorang agamawan dan sebagainya. Dalam masa sama menghasut rakyat menentang pemerintah melalui tipu daya dan sebagainya. Sesiapa yang menguasai Melaka bererti telah menguasai dunia, Portugal menjalankan dasar imprealisme atas faktor 3G iaitu Gospel, Gold dan Glory. 1488 Putera Henry mengirim Bartholomew Diaz ke timur hingga sampai di Selatan Afrika, Tanjung Harapan. Ia membuka dimensi baharu pendek timur dan barat, menjejaskan fungsi Melaka.
                  Saya percaya dalam strategi menakluk Melaka, Portugal menggunakan khidmat perisik untuk merekrut kumpulan pengkhianat. Mereka mencetuskan kecurigaan rakyat terhadap sultan dan mengambil kesempatan ke atas banyak kepincangan dan salah laku pembesar. Potong kayu guna kayu, potong melayu guna melayu. Si Kitol muncul daripada pergerakan pengkhianatan ini. Walaubagaimanapun saya yakin Si Kitol hanyalah watak yang bukan menggambarkan seorang individu semata – mata.
                  Si Kitol mungkin berkonspirasi secara terus dengan Si Lopez. Banyak maklumat pertahanan Melaka dibocorkon pembelot itu kepada Portugal. Golongan seperti Si Kitol semakin ramai yang muncul dari kumpulan rakyat marhaen juga orang ternama sendiri yang ramainya sudah mula bosan, rasa kecewa kerana tak dapat pangkat dan projek dan yang memang sedia menjadi pembangkang kepada pemerintah. Istana turut mungkin mempunyai krisis tersendiri di kalangan kerabat ketika itu sehingga semua kelompok ini sanggup membelot memilih untuk menjadi pengkhianat menggadaikan maruah negara. Gejala fitnah memfitnah dalam masa sama juga merebak terutama di kalangan politikus yang suka dengan isu murahan. Fitnah adalah ramuan perisik dan diterjemahkan oleh pengkhianat. Fitnah bukan setakat mewujudkan persepsi buruk terhadap pemimpin di kalangan rakyat Melaka waktu itu, ia juga berputar dengan ganas di istana sehingga membawa kepada hukuman bunuh seisi keluarga yang dijatuhkan sultan ke atas Perdana Menteri (Bendahara) Tun Mutahir.
                 
                  Tun Mutahir walaupun dibelenggu dengan pelbagai reputasi buruk tetapi beliau mempamerkan ketegasan dalam menghadapi ancaman terhadap kepentingan Melaka. Sebaik mendapat berita niat jahat wakil Portugal yang berada di Melaka, beliau menasihati Tuanku Sultan agar semua orang asing itu dihukum bunuh atas alasan mengintip. Sebahagian kumpulan Lopez dapat dibunuh pasukan keselamatan Melaka ketika itu. Lopez berjaya melarikan diri, saya yakin dia dilindungi dan dibantu orang Melaka sendiri daripada kumpulan pengkhianat. Saya juga percaya Tun Mutahir mendapat maklumat tentang pengintipan Portugal daripada pedagang arab yang sudah tentu rapat dengan beliau. Mungkin Tun Mutahir ketika itu sedang mengkaji mengapa pedagang arab yang selama ini memonopoli ekonomi Melaka menarik balik pelaburan dan banyak barang dagangan mereka dari Melaka sehinggakan ekonomi menunjukkan kemerosotan mendadak. Apabila ini berlaku tentu Tun Mutahir mendapat terlalu banyak tekanan. Pemberhentian kerja beramai – ramai, mogok, piket pekerja dan rusuhan mungkin berlaku di sana sini akibat situasi ekonomi yang tak menentu. Gerakan pengkhianat berwajah pembangkang membakar api kemarahan rakyat berlaku di mana – mana. Kumpulan – kumpulan kecil penentang muncul di sebaling anasir pembelotan yang menggila. Saya andaikan sehinggakan ramai antara mereka yang merasakan tentu bagus kalau Portugal masuk ke Melaka dan memerintah. Dalam keadaan getir sebegiru selaku Perdana Menteri Tun Mutahir telah mati di mata rakyat. Pembunuhannya sekadar menamatkan penderitaannya sendiri. Hakikatnya Melaka juga bukan mati kerana Tun Mutahir mahupun Portugal tetapi Melaka mati akibat tindakan pengkhianatan yang amat radikal.

                  Perihal tindakan Sultan membunuh pengikut kanan Lopez menyebabkan Raja Portugal naik darah lalu dikirimkan Alfonso de Albuquerque dan angkatan perangnya ke Melaka. Tanpa memberi muka, dua serangan dilancarkan. Membayangkan betapa dahsyatnya kesan serangan tersebut terhadap rakyat Melaka ketika itu saya menyesuaikannya dengan impak serangan tentera Maharaja Jepun di Tanah Melayu dahulu. Banyak bangunan musnah, istana, pusat pengajian, pusat perniagaan, masjid dan rumah penduduk kampung tentu dibakar. Portugis mempunyai teknologi tinggi dalam tembakan meriam jarak jauhnya yang tepat. Kemusnahan berlaku di serata negeri. Perlabuhan yang menjadi aset utama pasti diletupkan. Tindakan orang laut, pedagang asing dan tentera upahan yang melarikan diri adalah sebahagian pengkhianatan yang memudahkan laluan penjajah menakluk Melaka. Pasti ramai anak kecil dan warga tua yang mati terbunuh. Kerakusan tentera benggali putih memperkosa dan melarikan anak gadis mungkin berlaku. Pertahanan keselamatan Melaka lumpuh serta merta. Malapetaka ini pasti dilihat sesetengah pihak sebagai pembalasan tuhan berdasarkan penyelewengan yang dilakukan oleh orang yang diberi amanah memimpin oleh rakyat.
                  Tanggal 25 Ogos 1511 tentera Raja Portugal diketuai     Laksamana Perang Alfonso de Albuquerque berjaya menakluk Melaka. Ia lembaran baharu dalam dunia penjajahan barat di timur. Pahlawan Melayu yang berani berjuang mempertahankan maruah Sultan hingga ke titisan darah yang terakhir. Mereka mati dicincang lumat dan jenazah mereka dibakar di khalayak ramai mungkin. Sultan Mahmud dan pengikut setianya berundur diri ke Muar kemudian ke Pahang dan mendirikan kerajaan di Bentan. Kegemilangan Melaka dibina atas faktor sistem Pemerintahan kuku besi yang berjaya kerana pemimpin awalnya amat berintegriti membentuk sistem dan mengamalkan  politik yang menggalakkan perpaduan dan mengelakkan perpecahan sesama sendiri. Melaka yang gemilang juga berjaya kerana ekonominya dipimpin oleh Sultan yang berwawasan dan pembesar yang pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan selain amanah dalam menjalankan tanggungjawab. Melaka maju juga kerana bijak memanipulasi negara luar dengan menjalinkan hubungan antarabangsa yang begitu erat dan berlandaskan semangat setiakawan yang tinggi.  Melaka terbilang hingga disegani kawan dan digeruni lawan kerana mereka berdaya saing dan berani menjadi penjajah timur, agresif dan kompetetif dalam mengamalkan dasar perluasan kuasa yang mungkin belum pernah dilakukan mana – mana kuasa di timur semenanjung pada waktu itu.
                  Saya tidak setuju dengan tanggapan Melaka jatuh disebabkan faktor fizikal semata – mata yang kebanyakannya menyalahkan orang lain. Menjustifikasikan pendapat saya bahawa perlu ada reformasi dalam penafsiran dan penerimaan sejarah sebagaimana saya sebutkan di awal tulisan ini. Kesimpulannya, Kesultanan Melaka sebenarnya tewas kepada diri sendiri. Pemimpinnya lemah kerana nafsu sudah mengatasi akal fikiran. Melaka bangkit daripada kejatuhan banyak kali Parameswara tetapi ia tumbang di saat perkembangannya. Kewujudan pemerintah yang korupsi dan tindakan mereka yang berpaling tadah adalah iktibar daripada peristiwa bersejarah ini. Sejarah Melaka mungkin akan mengahantui mana – mana kerajaan di dunia ini. Kalau dilihat situasi semasa dengan Keruntuhan Empayar Kesultanan Melaka, kelihatan masih ada di antara kita masa kini ramai yang belum belajar apa – apa daripadanya. Kebanyakannya leka dengan hiburan, aktiviti jenayah dan masalah social yang kian menular. Sayangnya setakat belum ada orang melayu mahupun pemimpin melayu yang beriltizam dan berjaya memfilemkan sejarah agung ini. Bimbang generasi akan lebih buta daripada yang sedia ada hari ini. Dikalangan pembesar masa kini juga mungkin akan teralpa bahawa tentang di saat kejatuhannya, Melaka tak perlu Portugis pun untuk jatuh.

ORANG JAHAT AKAN MENANG KALAU ORANG BAIK BERDIAM DIRI

Mohd Farihin bin Hassan

1 comment:

  1. Thank you for sharing this.
    bagi saya, sejarah kejatuhan Melaka ni masih ada banyak tanda tanya.

    Baru semalam saya tanya member ada tak sejarah Melaka ni difilemkan. Cerita dari buku-buku mungkin ramai yang tak ingat atau hanya tahu setakat yang dibaca dalam buku teks sejarah zaman sekolah dulu. Kalau difilemkan mungkin boleh bagi kesan dlm hati penonton.

    ReplyDelete