Sunday 1 April 2012


KISAH PEMBENTUKAN MALAYSIA

      Saya berpendapat Tunku berani apabila menyatakan idea penubuhan Malaysia pada 27 Mei 1961 dalam satu ucapan beliau di Singapura walaupun beliau sendiri maklum idea tersebut tentunya akan menimbulkan polemik besar antara negara bekas jajahan yang terlibat. Ia juga bakal meledakkan konteraversi besar melibatkan banyak pertembungan pendapat antara pemimpin negara dan parti politik. Banyak yang tersirat dapat kita lihat di sebalik cadangan Tunku membentuk Malaysia yang terdiri daripada 13 buah negeri ketika itu. Terdiri daripada 9 negeri beraja dan 4 buah negeri tidak beraja. Ia menggabungkan negeri melayu bersekutu, negeri melayu tak bersekutu, negeri selat dan negeri borneo.
      Ternyata Tunku tidak mencadangkan idea ini tanpa matlamat besar demi menjaga kepentingan bumiputera yang merupakan kaum majoriti di gugusan semenanjung tanah melayu ini. Beliau mengadakan jelajah bagi menerangkan tujuan, objektif dan konsep dalam penubuhan Malaysia. Kunjungan ke Brunei, Sabah dan Sarawak sekitar Jun 1961 menunjukkan beliau amat seriau merealisasikan agenda penubuhan Malaysia ini. Turut diadakan rundingan terus dengan semua pegawai British dan Pegawai Persekutuan Tanah Melayu di Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura membawa kepada tertubuhnya Jawatankuasa Perundingan Antara Kaum yang dipengerusikan Donald Stephans pada Jun 1961.
      Menurut saya pentingnya Malaysia ditubuhkan pada waktu itu adalah selari dengan tindakan Tunku. Malaysia perlu wujud bagi mengekang pengaruh atau ideologi komunis secara langsung di mana ketika itu ancaman pergerakan radikal tersebut amat bahaya kepada rantau ini. Ia juga perlu dibuat demi menjaga dan melindungi hak kaum bumiputera yang merupakan majoriti. Bagi tujuan kepentingan ekonomi pula setiap negeri yang merangkumi Malaysia mempunyai keistimewaannya daripada sudut tertentu contohnya Singapura dan Brunei yang mungkin lebih berpeluang muncul sebagai pemain ekonomi yang aktif. Dengannya juga jaringan pasaran menjadi lebih meluas dan membuka banyak peluang kerjasama. Manakala penubuhan Malaysia juga perlu untuk mempercepat kemerdekaan Singapura, Sabah dan Sarawak. Pembebasan mutlak daripada British juga amat penting setelah Malaysia diwujudkan kerana ia akan menjurus kepada usaha kerajaan yang bakal memerintah membina keseimbangan dan perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum.
      Semua faktor diatas amat signifikan kepada rantau ini, tetapi rupanya Singapura adalah antara yang lebih mendesak. Lee Kuan Yew saya lihat lebih beria – ia menjayakannya. Ini kerana dia tahu hanya dengan langkah penggabungan ini Singapura dapat dibebaskan daripada segala belenggu penjajah dan komunis.
Saya yakin Jawatankuasa Perundingan Antara Kaum yang dipengerusikan Donald Stephans ditubuhkan dengan fungsi yang sangat jelas bagi menjayakan penubuhan malaysia. Ia bertanggungjawab memberi penjelasan dan penerangan kepada seluruh rakyat yang tinggal di dalam negara anggota tentang cadangan penubuhan gagasan Malaysia. Selain itu jawatankuasa bertindak ini turut berfungsi sebagai sebuah badan yang mendorong rakyat bertindak dan terlibat dalam aktiviti terancang yang menyokong gagasan itu secara langsung.
Walaubagaimanapun saya lihat Stephans tidak menggerakkan jawatankuasa itu secara sehala sahaja sebaliknya demi memastikan keberkesanan dan mendengar suara hati rakyat maka ia juga berusaha mendapatkan pungutan suara dan pendapat daripada masyarakat seluruh pelusuk negeri. Empat perjumpaan utama dibuat jawatankuasa ini di Kuala Lumpur, Singapura, Sabah dan Sarawak. Pada Februari 1962, satu kata sepakat dimeterai bahawa memorandum akan dihantar kepada British melalui Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan penjajah itu.
Suruhanjaya Cobbold pula ditubuhkan untuk mengemukakan cadangan selepas membuat penilaian dan meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak. Di mana suruhanjaya ini akhirnya mendapati rakyat di kedua negeri itu menyokong Gagasan Malaysia asalkan kepentingan mereka terpelihara. Mereka menyokong gagasan tanpa mengenakan syarat selepas diberikan kemerdekaan.
Dalam pra penubuhan gagasan, suruhanjaya itu telah membuat beberapa langkah yang agak penting seperti rakyat Sabah dan Sarawak diberi kuasa dalam hal imegresennya selain memelihara hak yang tersendiri, bahasa melayu harus dijadikan bahasa rasmi, pemberian nama Malaysia dan tarikh rasmi penubuhan dan suruhanjaya turut mencadangkan perlembagaan dibentuk atas rujukan tertentu.
REAKSI DALAM NEGERI
            Umumnya rancangan penubuhan Gagasan Malaysia yang dibawa Tunku Abdul rahman diterima semua rakyat. Sambutan baik turut diterima daripada parti-parti politik, Mereka bertanggapan usaha ini baik kepada pemimpin dan rakyat dalam negara anggota. Cuma mereka berbeza pandangan tentang aspek pelaksanaannya. UMNO bersetuju dengan penggabungan Sabah, Sarawak dan Brunei tanpa Singapura. Parti PAS dan Barisan Sosialis pula mahu diadakan perbincangan dan rundingan dahulu di kalangan rakyat.
REAKSI SINGAPURA
            Lee Kuan Yew dan Parti PAP pimpinannya menyokong usaha ini. Ia saya yakin dibuat atas faktor ancaman komunis yang kian memuncak. Pada tahun 1961 dalam bulan Disember Singapura mengemukakan usul menyokong Gagasan Malaysia walaupun ditentang Barisan Sosialis, Parti Buruh dan Parti Rakyat di sana yang menganggapnya adalah usaha British mengekalkan penjajahan. Usul itu menunjukkan Singapura di awal rancangan penubuhan Malaysia percaya ia adalah langkah tepat memandangkan ia juga tindakan pengelakkan daripada golongan berhaluan kiri. Paling penting ia jalan pintas memerdekakan Singapura atau dengan kata lain kalau mahu mendapat merdeka dengan segera mahu atau tidak Singapura mesti menyertai gagasan. Sungguhpun begitu adanya referendum yang dikemukakan menyebabkan saya terfikir mungkin tindakan banyak kerenah  itulah yang menyebabkan UMNO awal – awal lagi menolak penyertaan negara Temasik itu.
REAKSI SABAH, SARAWAK DAN BRUNEI.
            Saya dapati mereka di Sabah, Sarawak dan Brunei pada awalnya tidak mendapat maklumat lengkap dan sebenar daripada Tanah Melayu. Reaksi Parti – parti politik di Sabah, Sarawak dan Brunei adalah mereka berasa agak terperanjat. Ini kerana mereka baharu mendapat kesedaran politik dan semangat menuntut kemerdekaan sehinggakan ada yang mahu merdeka dengan sendiri secara berasingan. Wujud pula idea Kesatuan Negeri – negeri Borneo yang merdeka di bawah satu pentadbiran sendiri. Mereka berprasangka buruk bahawa usaha penubuhan Malaysia adalah salah satu langkah perluasan kuasa Tanah Melayu yang diambil alih daripada tangan pihak British. Prasangka ini membawa kepada tertubuhnya Barisan Bersatu pada Julai 1961. Ia dianggotai wakil kadazan Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO), wakil Sarawak Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan SNAP (Parti Kebangsaan Sarawak dan Pengerusi Parti Rakyat Brunei A.M Azahari. Mujur reaksi melulu dan tindakan terburu – buru tanpa usul periksa itu berjaya diredakan. Ia setelah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu memberi penjelasan menyeluruh.
 REAKSI SABAH
            Akhirnya Tun Mustapha bin Datu Harun dan Donald Stephans memimpin Parti Perikatan Sabah menang besar dalam pilihanraya Majlis Daerah pada 1962. Perpaduan rakyat Sabah menyertai Malaysia amat menyerlah kerana Tun Mustapha turut disertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Demokratik dan Parti Bersatu. Pada pendapat saya rakyat Sabah lebih bereaksi secara rasional, mereka tentunya tidak mahu berada di bawah pemerintahan Filifina kerana tidak yakin dengan kemampuan negara itu menjaga kepentingan rakyat Sabah berdasarkan reputasi Filifina di masa itu.
REAKSI SARAWAK
            Pada pendapat saya reaksi keras Sarawak sememangnya berkait rapat dengan kebangkitan rakyatnya dan kesedaran politik yang lebih menjurus untuk mengahalau penjajah daripada tanah air. Akhirnya penentangan Parti Negara Sarawak (PANAS) bersama Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) terurai bersama parti – parti lain seperti Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BERJASA), Persatuan Cina Sarawak (SCA) yang mana semua parti ini akhirnya menyokong gagasan. Ia kecuali Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
REAKSI BRUNEI
            Menyifatkan cadangan itu amat menarik hati kerana bakal mewujudkan hubungan agama, bangsa, adat resam kesemua negeri anggota, Sultan Omar Ali Saifuddin menyokong rancangan Malaysia. Baginda percaya negaranya akan lebih terjamin dari sebarang ancaman luar. Walaubagaimanapun A.M Azahari menentangnya kerana tidak berpuas hati dalam isu minyak, bayaran tahunan dan kedaulatan sultan. Pendapat saya tentang reaksi ini adalah sebagai sebuah negara yang mementingkan kedaulatan sultannya dan kesejahteraan rakyat jelata mustahil Brunei akan melibatkan diri dalam apa jua bentuk penyatuan. Selain itu pegawai kolonial dan korperat yang berkepentingan tentunya bimbang dengan kepentingan perniagaan mereka.
REAKSI INDONESIA
            Kepada saya reaksi Indonesia agak keterlaluan dalam berhadapan dengan rancangan menubuhkan Malaysia. Walaubagaimanapun ketegasan dan keazaman Sukarno mahu menubuhkan Indonesia Raya memang mengkagumkan. Sementalahan beliau juga dikatakan marah kerana kononnya Tanah Melayu tidak mengajak Indonesia berbincang terlebih dahulu. Indonesia juga berpandangan penyatuan tersebut ibarat penjajahan semula negara garuda itu selepas ia dibebaskan dan merdeka dengan cara kekerasan bukan perundingan. Indonesia meletakkan dirinya di posisi yang saya tampak lebih berdikari dan berpendirian individualistik berbanding memikirkan keamanan serantau. Ironinya terdapat insiden penyerangan kapal nelayan Tanah Melayu, pencerobohan udara dan penyerangan ke atas Tanah Melayu yang dilakukan mereka di mana sepatutnya ia tidak berlaku. Membakar amarah rakyat, mencetuskan peperangan antara negara jiran semata – mata untuk berkuasa kepada saya adalah bukan tindakan seorang nasionalis suci.
 REAKSI FILIPINA
            Saya melihat Filipina tamak ketika menuntut Sabah. Walau dengan alasan Kesultanan Sulu dan seumpanya. Mungkin mereka ada asas sejarah tertentu tetapi penolakkan rakyat Sabah sendiri sudah membuktikan negara itu tidak cukup baik untuk Sabah. Tanah Melayu dan Malaysia hari ini juga mempunyai alasan dan pengangan kukuh untuk terus bersama Sabah. Tentangan Filipina kepada penggabungan kepada saya amatlah menguntungkan rantau ini yang sentiasa menghormati hak orang lain dan mengamalkan nilai sejagat.
                Kesimpulannya, terdapat banyak hikmah di sebalik kejayaan menubuhkan pada 1963, antaranya kepada Malaysia sendiri akhirnya sebuah negara berdaulat dan berlembagaan dapat kita wujudkan. Selagi kita berpegang teguh kepada semangat perlembagaan dan setia dengan kontrak sosial yang terjalin selagi itulah negara kita akan terus maju. Malaysia telah menyelesaikan penentangan Indonesia dan Filipina secara diplomatik. Manila dan Jakarta bersetuju menjalin kerjasama politik, sosial, budaya dan ekonomi. Sehingga kini kedua buah kerajaan ini amat akrab dengan Kuala Lumpur. Buktinya MAPHILINDO yang selama ini komited dengan suara bersama. Konfrontasi cetusan Indonesia berjaya ditamatkan di Bangkok pada 1966. Tindakan Singapura keluar daripada persekutuan pada pendapat saya adalah tindakan terancang. Menyertai Malaysia hanyalah sekadar batu loncatan Singapura untuk bebas merdeka. Lee Kuan Yew  dalam bukunya Kisah Singapura Memoir Lee Kuan Yew (2001) di muka surat 739 menggambarkan seolah Tunku yang mahukan Singapura keluar daripada persekutuan. Namun ramai yang tetap melihat pendekatan mengambil kesempatan oleh negara itu seolah suatu kecurangan masa lampau yang sukar dilupakan.

ORANG JAHAT AKAN MENANG KALAU ORANG BAIK BERDIAM DIRI
Mohd Farihin bin Hassan








No comments:

Post a Comment