Sunday 1 April 2012


SEDIKIT CATATAN


Pentingnya Menerapkan Jiwa Pendidik

            Sepanjang menjadi guru di sekolah antara cabaran utama yang selalu saya hadapi adalah betapa sukarnya untuk sentiasa memastikan diri ini mempunyai jiwa seorang guru. Agak mudah menjadi pengajar mahupun penceramah dalam kelas. Begitu juga menjadi guru yang menjawat jawatan pentadbiran di sekolah juga sebenarnya tidaklah sesukar untuk benar – benar menjadi guru yang berjiwa guru. Pengarah maktab saya dahulu Tuan Haji Abdullah@Zawawi bin Daud pada 2003 pernah berpesan kepada kami yang ketika itu bergelar guru pelatih bahawa seseorang cikgu yang baik adalah dia menyayangi dan mengambil berat tentang kepentingan seseorang murid walaupun apabila dia melihat seorang murid dari sekolah lain sekalipun. Beliau memberikan contoh apabila seorang guru melalui sebatang jalan berhadapan sebuah sekolah yang bukan sekolah tempatnya mengajar, tiba – tiba ternampak murid yang ponteng sekolah atau cuba melintas jalan dalam keadaan yang berbahaya, maka seorang cikgu yang berjiwa guru perlulah menegur dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengekang perkara tersebut sebaliknya guru yang tidak mempunyai jiwa seorang guru akan tidak mengendahkannya kerana beranggapan itu bukanlah tugas dan tanggungjawabnya kerana murid itu bukan anak didiknya dan sekolah itu adalah sekolah orang lain.
            Saya turut menilai diri sendiri untuk memastikan diri saya sentiasa mempunyai jiwa seorang guru. Saya mendapati ketika mula mengajar di sekolah kita betugas di sekolah umpa robot yang melakukan sesuatu sebagaimana yang sudah ditetapkan dalam etika dan peraturan keguruan. Bertugas tanpa sebarang perasaan tetapi lama kelamaan ia berubah. Ternyata semua teori dan pesanan yang diajar pensyarah suatu ketika di maktab dahulu mengambil masa untuk diadaptasikan. Dalam jangkamasa satu hingga dua tahun mengajar sebenarnya saya memperuntukkan waktu tersebut untuk belajar menjadi seorang guru. Saya belajar daripada guru yang lebih lama berkhidmat, saya juga belajar daripada persekitaran sekolah, melalui pembacaan, mendapatkan reaksi orang luar iaitu masyarakat dan saya juga belajar sesuatu tentang jiwa keguruan itu daripada anak murid saya sendiri bahkan saya belajar untuk menjadi guru daripada menilai diri saya sendiri di hadapan cermin. Menjadi guru bukan kerana soal duit, kedudukan dan harta sebaliknya ia melibatkan jiwa dan naluri. Dengannya kita akan ‘hidup’ lama dalam bidang ini.
            Jiwa guru macam mentol lampu dalam diri seseorang pendidik. Ia tidak boleh padam kerana ia mencerminkan daya intelektual dan inspirasi kita yang perlu sentiasa ikhlas bertugas dan sentiasa melakukan sesuatu tanggungjawab diberi dengan sebaiknya tidak mengira masa dan ketika. Pendidik yang sentiasa berjiwa guru amat mudah dikesan. Melalui pengamatan saya pendidik yang berjiwa guru menjalankan tugas dengan penuh berkesan, pengajarannya sentiasa mencapai objektif dan biasanya guru itu ialah pengurus yang baik untuk tugasa luar bilik darjah. Paling penting pendidik yang berjiwa guru sentiasa disayangi anak murid, dihormati ibu bapa penjaga murid dan disegani rakan setugas. Sungguhpun begitu dia tak semestinya akan disayangi ketua jabatan atau pentadbir di sekolahnya kerana menjadi pendidik berjiwa guru langsung tidak ada kena mengena dengan menjadi pekerja yang baik apabila berada di hadapan bos ataupun menjadi seorang pengampu yang dibenci ramai orang.
            Rupanya menjadi pendidik yang berjiwa guru tidak cukup untuk memastikan kita berada dalam kedudukan terbaik dalam bidang perguruan ini. Banyak cabaran yang mesti kita tempuhi. Mengekalkan kompetensi bukannya mudah. Tugas di sekolah bukanlah tugas bersendirian, ia adalah hasil kerjasama semua pihak terutamanya pentadbir dan rakan setugas. Disitulah cabarannya bermula kerana manusia ini rambut sama hitam hati lain – lain. Untuk menjadi yang terbaik dalam erti kata sebenar cukup susah berbanding berusaha supaya sentiasa dilihat baik. Pentingnya keikhlasan hati menganggap semua tugasan adalah ibadat kadangkala hanya sekadar manis di bibir tetapi untuk merealisasikannya bukan mudah. Berdepan dengan cabaran semasa yang pelbagai bentuk memerlukan kita berganding bahu dengan mereka yang boleh dipercayai. Disini saya melihat pentingnya kita memilih kawan dalam kelompok guru di sekolah. Biasanya seorang guru baharu akan mudah dipengaruhi guru lama yang sedia ada di sekolah. Mereka akan terikut – ikut dengan budaya sedia ada. Perjalanan yang panjang bermula daripada langkah pertama, sekali kita silap membuat pilihan kawan dan ikutan mungkin selamanya akan memajukan dan memundurkan diri kita sendiri. Alhamdulilah seawal dulu saya dirapati oleh rakan guru yang berjiwa kental seorang guru. Mereka berani dalam menjalankan tugas dan amat menyayangi anak murid. Dengan mereka saya belajar menjadi seorang guru seterusnya berdepan dengan cabaran semasa yang sentiasa datang dan pergi. Tugas guru adalah unik kerana cabarannya berbeza mengikut arus. Kaedah menanganinya juga sentiasa berbeza berdasarkan tahap kematangan diri. Selama mana kita dalam perkhidmatan ini kepada saya kita haru berani berdepan, jangan takut kerana orang yang takut akan mati berulang kali sebelum kematiannya kata seorang tokoh.

Cabaran 1 :
Sistem Pengajaran Berteraskan Teknologi

           
Perkembangan pesat bidang sains dan teknologi pada masa kini menjadikan kegiatan Pendidikan semakin mencabar dan lebih canggih dari masa ke semasa, saya mendefinasikan cabaran semasa guru adalah sebagai sesuatu yang menguji lari kekuatan, keterampilan dan kompetensi seseorang guru dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi dalam era globalisasi pada masa kini menjadikan dunia pendidikan memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi yang selaras dengan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan selain sejauh mana objektif pengajaran dapat dicapai.
Pada awal tahun 2004 adalah peringkat awal dasar Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijalankan. Selaku mata pelajaran sains saya memang terlibat secara langsung membantu kerajaan melaksanakan dasar ini. Kami diberi latihan berpanjangan memakan masa hamper setahun dalam kursus pengajaran menggunakan bahasa inggeris. Tuntutan kerja seperti menyebabkan bukan sahaja kepakaran guru itu perlu dibekalkan pihak kerajaan sebaliknya kami juga dibekalkan dengan pelbagai bahan bantuan mengajar berteknologi tinggi yang kerajaan yakin dapat membantu guru mendidik murid dengan lebih efektif. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pengurusan di sekolah menjadi semakin kompleks. Tambahan pula, masalah sekolah juga semakin bertambah apabila bilangan murid yang sukar menguasai pelajaran yang tidak menggunakan bahasa ibunda menjadi semakin ramai. Situasi ini seterusnya memperlihatkan persediaan seseorang guru berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam sistem pendidikan yang sering berubah.
Selaku seorang guru saya mengambil langkah sentiasa memajukan diri dengan mengikuti kursus pengendalian peralatan, kelas bahasa inggeris secara atas talian dan membina lebih banyak jalinan komunikasi dengan rakan – rakan guru. Selain itu saya mengamalkan kaedah memindahkan kepakaran dalaman melalui pertemuan professional dengan pihak pentadbir dan guru – guru kanan. Ternya ia membuahkan hasil walaupun perubahan mendadak sukar dicapai kerana sebarang bentuk penilaian haruslah selari dengan tahap pencapaian dan perkembangan seseorang murid di sekolah.

Cabaran 2 :
Dilema Antara
Mendidik Untuk Lahirkan Orang Berguna
Dengan Mengajar Untuk Lahirkan Murid Yang Lulus Peperiksaan.


            Dalam fasa tertentu hidup saya sebagai seorang guru saya seperti berada di dalam delima persimpangan antara melaksanakan tanggungjawab untuk mendidik seseorang supaya menjadi insane berguna pada masa depan atau sekadar mahu melahirkan seorang murid yang lulus atau dapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Bukanlah saya seorang yang anti peperiksaan tetapi hati saya seringkali memberontak mempertikaikan sistempeperiksaan yang banyak tidak dapat membantu anak murid yang berada dalam sesuatu tahap sederhana lemah, lemah dan gagal. Saya yakin di zaman serba moden di mana Negara sedang menuju kea rah sebuah Negara maju, system peperiksaan konvensional sudah tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa. Tetapi tidaklah kepada saya sistem penilaian sudah tidak diperlukan kerana tanpa penilaian sudah tentu kita tidak dapat mengkur sesuatu tahap untuk menjana kemajuan akan datang.
Apa yang nak saya utarakan adalah sudah tiba masanya pendidikan Negara harus dijalankan sejajar dengang semangat falsafah pendidikan Negara itu sendiri yang jelas menyebut bahawa pendidikan direka bentuk bagi memperkembangkan potensi indivi berdasarkan elemen tertentu. Ironinya yang berlaku hari ini pendidikan beroreantasikan peperiksaan semata – mata telah membunuh matlamat falsafah sistem pendidikan negara itu sendiri.
            Memperkembangkan potensi individu akan melahirkan rakyat yang kreatif dan inovatif seterusnya akan membentuk masyarakat berwibawa dan mengamalkan nilai murni yang akan menjadikan negara ini kian produktif dan progresif. Saya sentiasa berpegang dengan falsafah tersebut walaupun terhadapat halangan ketara berikutan peperiksaan adalah kehendak pihak atasan, sebagai guru yang kreatif dan cintakan anak didik, saya kerap mengolah kaedah pengajaran dalam masa menetapkan objektif sebagaimana dalam sukatan. Namun begitu ternyata kerajaan sentiasa peka dengan cabaran dan perkembangan masa bidang pendidikan era ini. Bermula 2011 dasar KSSR mula diperkenalkan. Melaluinya amalan peperiksaan dan pengelasan murid dihapuskan dan digantikan dengan penilaian guru berasaskan perkembangan kebolehan murid.

Cabaran 3 :
Menjadi Guru Dalam Masa Yang Sama Menjadi Pelajar

            Kerajaan saya lihat peka dan serius dalam usaha memartabatkan profesion keguruan. Dalam zaman yang mendepani dunia tanpa sempadan ini. Tahap profesionalisme guru juga adalah cabaran besar semasa yang dihadapi guru – guru di sekolah. Ini berikuta pada hari ini murid boleh mengakses maklumat dari banyak sumber dan cara hidup juga sudah banyak berubah. Ibu bapa murid juga memiliki pelbagai latar belakar selain pengisian sukatan pelajaran yang semakin maju, penggunaan bahan pengajaran, tugasan pengkeranian sudah tentu mencabar profesionalisme guru.
            Dengan itu kerajaan menggalakkan guru terutamanya pegawai bukan siswazah menyambung pelajaran dengan bantuan penuh pihak kerajaan. Gaya baru kehidupan seorang pendidik hari ini terbentuk dimana disamping tugas utamanya mengajar mereka juga menjadi pelajar di universiti. Sebagai pelajar universiti secara jarak jauh seperti sekarang, tuntutan mengajar anak murid tidak boleh sama sekali diabaikan dalam masa sama ada pelbagai tugasan yang perlu disempurnakan. Saya melihatnya daripada sudut positif sehingga saya sentiasa memikirkan bagaimana kaedah terbaik menjadikan semua ini tidak terlalu membebankan kami golongan pendidik yang pada setiap hari bergelut dengan pelbagai tugas dalam kelas, luar bilik darjah dan kerja pengkeranian yang sentiasa bertambah.
            Saya mengambil langkah merancang pengurusan masa yang betul dan tersusun untuk mengatasi cabaran ini. Dilihat jika kita gagal mengurus masa dengan betul banyak perkara akan terabai atau dibuat secara sambil lewa. Saya juga yakin guru yang berlajar jarak jauh mesti berkongsikan kesulitan ini dengan rakan ang senasib. Ia penting bagi mengelakkan stree melampau. Berbincang tentang topik dan mengadakan pertemuan di alam maya tentu banyak membantu situasi tersebut. Dalam masa sama rutin biasa seperti bersantai dan meluangkan masa bersama keluarga janganlah kita lupakan kerana ia turut membantu membina ketenangan.Bahayanya seorang guru yang tidak dapat mengatasi sesuatu cabaran seperti ini adalah terhadap anak murid yang dahagakan ilmu dan perhatian daripada kita.
           

GURU PERLU MENEPATI KEHENDAK SEMASA

Kesimpulan saya adalah cabaran sebenar guru hari ini adalah bagaimana seseorang guru dapat menerapkan elemen jiwa seorang guru dalam masa sama melihat perkembangan pesat ilmu pengetahuan sebagai satu nilai tambah berguna bukannya membebankan. Guru mesti sentiasa kompeten dalam usaha menempatkan diri dalam ledakkan bidang pendidikan yang semakin rumit saban hari. Guru juga mesti mengatasi cabaran dengan menambah ilmu keguruan, meningkatkan tahap profesionalisme dan sentiasa memindahkan kepakaran daripada luar. Cabaran demi cabaran akan mematangkan seorang pendidik yang bukan sahaja perlu bertanggungjawab terhadap tugas pendidik tetapi pada masa sedekad lagi saya yakin cabaran semasa guru akan lebih cenderung kepada sejauh mana kita dapat mengaplikasi teknologi mengatasi kepintaran anak murid kita sendiri. Kerana itu cabaran masa hadapan adalah mewujudkan konteks pembelajaran sepanjang hayat dalam hidup.



‘ Orang Jahat Akan  Menang  Kalau  Orang  Baik Berdiam  Diri ’

Mohd Farihin Hassan

No comments:

Post a Comment