Wednesday 17 October 2012


DUIT RAKYAT JANGAN DIGUNA BAGAI MENAMBAH KERAK NASI

Oleh : Mohd Farihin bin Hassan
(bersama di laman mukabuku / facebook : mohdfarihinhassanmohd)



Dalam minggu ni komentar pemimpin – pemimpin kita banyak berkisar tentang laporan audit yang sudah dibentangkan. Banyaknya komen balas yang keluar dari mulut mereka yang dibaca oleh kita di dada akhbar mahupun yang dapat kita tonton dan dengar di kaca televisyen dan radio.
Seperti biasa ada bermacam versi komen. Ada yang baharu pertama kali kita dengar dan tak kurang juga komen yang sama diulang – ulang saban tahun. Kesimpulannya laporan audit dikeluarkan setiap tahun. Ia melaporkan segala kelebihan dan kelemahan agensi kerajaan yang mengurus harta Negara.
       Pembentangan ini penting kerana yang dijaga dan dibelanja itu adalah wang rakyat, wang pembayar cukai. Manakala yang mentadbir dan mengurus itu pula pegawai kerajaan yang dibayar gaji menggunakan wang rakyat juga.
        Laporan audit terbaru ini seperti selalunya sangat terpeinci. Ia wajar disanjung kerana laporan tersebut menyatakan sesuatu tanpa berpihak kepada mana – mana pihak, maklumlah dalam Negara kita ini bukannya semua negeri diperintah oleh parti yang mewakili kerajaan pusat sahaja. Kerana itu ia wajar dilihat seimbang, telus dan berani. Tahniahlah kepada pegawai yang mengetuai jabatan tersebut.
       Kepada jabatan yang menerima laporan yang tidak memuaskan pula, seharusnya ia dijadikan iktibar. Kesilapan yang sama tak sepatutnya berulang kembali. keraguan terhadap cara kita mengurus akan mengikis kepercayaan rakyat terhadap kita selaku pegawai kerajaan. Aset utama kita tentunya bukan berdasarkan apa yang kita ada,  jumlah gaji kita, pencapaian lampau kita mahupun segala darjat dan prestij yang pernah diberikan kepada kita. Sebaliknya aset utama kita adalah maruah kita sendiri iaitu integeriti. Seandainya itu yang rakyat ragui, maka apalah gunanya kita diamanahkan berkhidmat di situ. Kelemahan yang sama janganlah diulang – ulang, orang dungu sahaja yang mengulang kesalahan yang sama. Sebagai muslim juga takkanlah kita nak membiarkan kita dipatuk dilubang yang sama berkali – kali. Masalah mesti dikenal pasti dengan segera. Cari puncanya dan hapuskan halangan. Jangan dibiarkan sampai naik ke mata.
       Di kalangan rakyat biasa, laporan itu dilihat daripada pelbagai versi. Lebih banyak komen yang dapat kita dengar. Cuma banyaknya yang emosi pula, menyatakan pendapat dan saranan berdasarkan persepsi yang dangkal. Sedangkan kita sendiri tidak berapa faham dan mendalaminya secara betul. Hal perbelanjaan mengurus sesuatu agensi kerajaan memang biasanya diumumkan tetapi ia sebenarnya bukan sesuatu yang boleh difahami secara umum.
        Pengurusan kewangan perlu dilihat dengan betul dan daripada sudut yang betul dan ia jangan pula dikaitkan dengan fahaman politik kita yang biasa – biasa tu. Kerajaan melalui Jabatan Audit telah mempamerkan ketelusan. Terdapat pihak yang patut dipuji maka sanjungan dan penghargaan diberikan manakala ada juga pihak yang perlu ditegur maka teguran malahan amaran dinyatakan tanpa mengambil kira daripada negeri mana atau kerajaan daripada parti mana, juga harus dielakkan persepsi buruk yang keterlaluan sebahagian anggota masyarakat kita terhadap  jabatan tertentu atau pegawai kerajaan tertentu.
        Sebagai rakyat memang kita ada hak menilai tetapi kalau kita mahukan kerajaan yang berwibawa maka kita perlulah menjadi rakyat yang berwibawa terlebih dahulu. Memberi komen secara bodoh akan menunjukkan kebodohan kita secara percuma.

Kebijaksanaan amatlah mahal harganya.

Orang Jahat Akan Menang Kalau Orang Baik Berdiam Diri.

No comments:

Post a Comment