Thursday 18 October 2012




PARTI BUKAN MELAYU KALAU BERJALAN PELIHARAKANLAH KAKI, 
KALAU BERKATA PELIHARAKANLAH LIDAH

Oleh : Mohd Farihin bin Hassan
(bersama di laman mukabuku / facebook : mohdfarihinhassanmohd)


Inilah akibatnya apabila sesetengah ahli politik melayu islam dalam negara kita memperalatkan agama dalam kancah politik. Islam diheret dalam kempen dengan tujuan mendapat laba. Bermodalkan agama, mereka mendapat undi yang banyak daripada rakyat hinggalah akhirnya mereka berjaya menjadi menteri atau presiden. Akhirnya islam yang dicagarkan itu terbengkalai terapung diawang – awangan di ruang perdebatan semasa, ia dibahas di pentas umum pula sedangkan pemimpin yang ‘menjual’ isu agama itu hilang entah ke mana. Contohnya suatu masa dahulu dia dan partinyalah kononnya juara negara islam tetapi kini ada yang hanyut dibawa ombak duniawi, lenyap di arus selebriti dan ada juga yang buat pusingan U tak kurang yang masih kekal di hirarki utama hari ini. Dalam keadaan islam yang dijajanya dahulu terus dimanipulasi, dia dan partinya dengan mudah mengubah prinsip!

DAHULU NEGARA AL ISLAM SEKARANG NEGARA AL KEBAJIKAN.


      Saya mengatakan ini setelah mengambil kira situasi hari ini bagaimana dengan sewenangnya islam dijadikan bahan politik sesetengah parti politik bukan melayu demi kepentingan mereka yang tersendiri. Contohnya ada pemimpin bukan melayu yang dengan bangganya menolak hukum hudud dan konsep negara islam. Baru – baru ini pula ada pemimpin parti mewakili bukan melayu yang juga salah sebuah parti komponen yang mengatakan jika hudud dilaksanakan maka ekonomi negara akan jatuh dan sebagainya. Apa ini?  apakah ini caranya menakutkan pengundi bukan melayu agar tak mengundi parti melayu islam yang cenderung untuk melaksanakan islam. Perkara ini amat tidak boleh diterima sama sekali. Hukum islam adalah hak islam, mengapa pula ahli politik dari parti majoriti bukan islam di negara ini mahu berpolemik tentangnya.
Hal islam biar orang islam yang menanganinya, jangan sesekali masuk campur tidak kira daripada parti mana kamu datang. Kuah tak seberapa jangan sudu pula nak berlebih – lebih. Apa jadi pula kalau orang islam Malaysia mengambil tindakan yang sama terhadap tokong dan kuil kamu di Malaysia?. Lagipun beginikah caranya ahli politik bukan islam di Malaysia melayan melayu islam di negara ini. Tidakkah mereka belajar tentang sejarah tamadun islam, setidaknya belajarlah menghayati sejarah dunia. Bacalah, sesungguhnya hanya kerajaan islam yang melayan manusia yang lain fahaman agamanya dengan baik. Seratus tahun lagi Malaysia akan jadi sebahagian daripada sejarah itu.
       Cuma orang melayu islam pula sebelum mahu menunjukkan rasa marah, harap dapat berfikir terlebih dahulu, usah tunggu dah terhantuk baru nak terngadah. Kegilaan ahli parti politik bukan melayu mensensasikan ajaran islam bukanlah datang daripada mereka sendiri. Ia dimulakan oleh orang melayu sendiri juga. Masih ingatkah kita terhadap pemimpin melayu yang bersyarah di sana sini atas pentas politik dengan bertemakan agama. Islam mereka canangkan hanya akan tertegak sekiranya mereka diberi undi dalam pilihanraya. Ya, orang kita juga yang memulakannya, kebenaran islam dijadikan senjata untuk menyerang pemimpin islam lain yang berkuasa di negara sendiri.
            Dengan senjata itu, reputasi seteru politik dibunuh dengan tuduhan tidak islamik, sekular dan penentang hukum islam. Lebih malang lagi penguasa melayu islam yang diserang dengan senjata berjenama tuhan itu pula membalasnya dengan segala kedangkalan dan kebodohan. Semua serangan dijawab dengan jawapan bodoh sehinggakan pengikut sendiri pun naik rimas dan buntu mencari jalan keluar. Akar umbi pening serta kacau bilau untuk menjawab isu tersebut di kalangan masyarakat peringkat bawahan dek kerana jawapan Pak Menteri yang mengarut berkaitan islam. Kalau tak tahu mengaku sahajalah tak tahu. Kekeliruan rakyat tentunya merebak kerana yang menyerang bergelar agamawan, manakala yang diserang berstatus negarawan saling berlawan semata – mata nak meraih sokongan. Mereka bercakaran, masing – masing mendabik dada nak menunjuk depan rakyat siapa lebih islam. Sedangkan pada ketika itu bayangkan kalau mereka bergabung? Apakah nasib islam akan jadi seteruk seperti hari ini. Kita mungkin boleh marah kepada bukan islam yang merepek tentang agama islam, dalam masa yang sama jangan pula kita lupa bahawa kita juga yang memulakannya.
            Kepada jaguh – jaguh islam, yang sibuk di sana sini konon membela islam demi agama dan segalanya di luar sana. Harapan rakyat agar semua ini dapat diperbetulakan. Sehingga ke setakat ini dua organisasi besar dalam negara kia sudah melahirkan bantahan terhadap tuduhan yang mengatakan kononnya jika hudud dilaksana maka ekonomi negara akan terjejas, tahniah kepada kumpulan PERKASA yang berani dan angkatan Pemuda PAS yang segera memberi reaksi balas. Tetapi cukupkah semua itu? dapatkah ia menjamin apa - apa.  Komitmen ke arah Gaya Politik Baharu mesti dipacu sederasnya. Kalau perlahan mesti disegarkan dan kalau ada masalah kefahaman maka buatlah sebanyak mana pencerahan. Bagi saya sudah sampai ketikanya perpecahan sesama kita dihentikan. Umat islam di Malaysia bertanggungjawab menjaga nama baik islam tanpa mengira apa fahaman politik kita. Sebaiknya kita lebih sedar dan insaf akan tanggungjawab memberi imej yang baik dan mulia kepada islam sebagaimana selayaknya agama suci ini dipersembahkan kepada golongan bukan islam. Bukankah itu antara metadologi dakwah islamiah yang sebenar. Bukannya disebabkan kita pula islam itu dipandang rendah dan sinis oleh bukan islam.
          Saya tidak bertujuan menyarankan pengasingan agama dalam konteks politik masa kini yang sememangnya subjektif itu, cuma saya lebih rela untuk membuat apa sahaja daripada membiar islam dicemarkan biarpun kita rugi dalam berpolitik, ini kerana islam bukan barang dagangan atau lelongan. Kejahilan bukan islam pula janganlah menjadi kemarahan kita kerana sesungguhnya mereka daripada golongan yang belum mendapat hidayah. Menjaga kerukunan masyarakat berbilang kaum juga adalah tuntutan agama islam kita lantaran islam  adalah agama sarwajagat. Pada masa sama sebagai orang melayu beragama islam yang  berprinsip dan bermaruah dalam mendepani sikap ahli - ahli politik daripada parti bukan islam ini yang tebal stigma mereka terhadap islam maka kita harus berpakat dalam memilih kaedah mana paling baik untuk kita gunakan demi menjaga rapi kesucian islam. Patah lidah alamat kalah, patah keris alamat mati.


ORANG JAHAT AKAN MENANG KALAU ORANG BAIK BERDIAM DIRI.

No comments:

Post a Comment